Tindakan SPR meletakkan syarat baru, termasuk menghalang penggunaan
gambar Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah
tindakan untuk menekan PH.
Ia perlu dilawan dengan pemikiran di luar kotak bukan dengan
bersedih, kecewa dan mengalah dengan tekanan ini, kata penulis Biro
Undang-undang AMANAH, Kanun.
“Tun Mahathir kini bukan sahaja menjadi ancaman kepada BN bahkan menjadi ancaman kepada SPR itu sendiri.
“SPR sudah dibayangi dengan bayang-bayang PH sehingga SPR mudah sekali menjadi alat untuk memenangkan BN,” kata tulisan itu.
Katanya, tiada rasionalnya untuk menghalang penggunaan gambar Tun Mahathir.
“Tun Mahathir bukanlah pengganas malah Tun Mahathir telah begitu
berjasa kepada negara sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri untuk
tempoh 23 tahun,” katanya.
Tindakan SPR ini
sangat pelik dan aneh. SPR terang-terang ingin mengikat PH daripada
menggunakan gambar Tun Mahathir sebagai daya penarik kempen Pakatan
Harapan, katanya.
“Hal yang sama tidak dihalang ke atas BN dan PAS,” tulis penulis
Kanun dalam akhbar Mingguan Amanah yang bakal terbit Jumaat ini.
Bagi beliau, PH telah ditekan semenjak belum bermulanya penamaan calon.
“Selepas diikat sebegitu, PH akan ditendang dan dipukul sebelum dibenarkan bertarung atas padang yang tidak sama rata.
“Di manakah janji SPR untuk melaksanakan pilihan raya yang adil dan bersih?” kata tulisan itu.
Katanya, syarat yang sebegitu pelik tidak pernah dilaksanakan dalam mana-mana PRU yang lepas.
“Kali ini nampaknya ancaman PH begitu besar kepada BN,” katanya.
Ia bermula dengan persempadanan semula yang memihak kepada BN,
kemudian diikuti dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan yang telah
mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan seterusnya penwartaan
hari Rabu sebagai hari mengundi, tulisnya.
“Kini terbaharu, SPR menggunakan kuasanya untuk menghalang pengunaan bahan kempen yang tidak adil,” katanya.
Bagi beliau, tindakan ini adalah tindakan yang berat sebelah dan tidak adil bagi PH.
“Namun, PH tidak seharusnya cepat kecewa dan mengalah dengan tindakan berat sebelah ini.
“PH masih lagi mempunyai cara-cara yang ampuh untuk menentang BN dan kuncu-kuncunya ini,” katanya.
Katanya, jika dilihat kepada Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya
1954 (Akta 5), ianya hanya dirujuk kepada calon dan wakil calon (ejen
pilihan raya) sahaja.
“Ini bermakna jika ianya dilakukan oleh pengundi itu sendiri maka
ianya tidak bersalahan dengan mana-mana peruntukan undang-undang,”
katanya.
Keduanya, bahan kempen yang dirujuk dalam seksyen tersebut adalah
bahan kempen tradisional iaitu iklan, risalah, brosur, bendera,
panji-panji, sepanduk, tetunggul, poster, pelekat, surat sebaran, label
atau apa-apa bentuk papan iklan sementara sahaja.
“Ini bermakna bahan kempen moden tidak terikat dengan seksyen ini seperti penggunaan dalam laman web, facebook dan whatsapp.
“Begitu juga dengan wajah Tun Mahathir jika dicetak di atas baju atau
topi tidaklah boleh dikatakan melanggar garis panduan tersebut.
“Justeru, PH perlu memaksimakan penggunaan teknologi terkini supaya
tidak terikat dengan garis panduan SPR itu,” kata tulisan itu.
Maka, katanya, tindakan yang perlu dibuat oleh PH adalah untuk
membanjirkan seluruh media sosial dan persekitaran dengan bahan kempen
yang tidak termasuk dalam definisi bahan kempen di bawah Seksyen 24B
itu.
“PH juga perlu menggalakkan pengundi untuk berpakaian yang mempunyai wajah Tun Mahathir.
“Bayangkan mesej yang boleh disampaikan kepada orang ramai jika jutaan pengundi memakai baju yang bercetak gambar Tun Mahathir.
“Oleh itu, penyokong PH usahlah berduka dengan garis panduan SPR ini.
Yang penting adalah berfikir di luar kotak untuk mengakali akal SPR
yang sempit ini,” katanya.