Isnin, 17 Julai 2017

Felda bukan untuk lahir jutawan, Shahrir jawab Dr Mahathir

Shahrir Samad berkata Felda membantu lebih 110,000 peneroka dengan 1.2 juta tanggungan yang lain keluar daripada kepompong kemiskinan.
shahrir-felda-mahathir
ALOR GAJAH: Felda pada awal perencanaannya oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein adalah bermatlamat membasmi kemiskinan dan bukan mewujudkan kumpulan elit yang kaya raya, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Beliau berkata Felda telah membantu lebih daripada 110,000 orang peneroka dengan 1.2 juta tanggungan yang lain keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Ini adalalah kebijaksanaan Allahyarham Tun Abdul Razak yang berjaya mengangkat sebahagian besar masyarakat kampung dan luar bandar keluar daripada garis kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Negaraku Sehati Sejiwa 2017 Peringkat Negeri Melaka dan Sambutan Hari Raya yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Abdul Razak melakukan kesilapan dalam merencana Felda kerana hanya memberikan 10 ekar (4 hektar) tanah kepada peneroka menyebabkan peneroka tidak menjadi jutawan pada satu majlis di Kota Tinggi, Johor semalam.
“Dr Mahathir lupa bahawa pendekatan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam konsep Felda ialah untuk mengangkat seberapa ramai yang boleh keluar daripada kemiskinan dan bukannya untuk mewujudkan 1 kumpulan kecil atau elit atau kroni yang kaya raya.
“Kalau untuk wujudkan yang kaya kena bagi seorang peneroka 100,000 ekar ataupun lebih luas daripada 10 ekar,” katanya.
Menurut beliau, jika setiap peneroka diberi 100,000 ekar maka mereka akan kaya tetapi bilangan yang mendapat manfaat adalah tidak seramai hari ini.
“Jika mengikut cara Dr Mahathir… kroni, kumpulan kecil dan golongan tertentu sahaja yang mendapat faedah daripadanya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA