Isnin, 17 Julai 2017

Malaysia perlukan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebenar, bukan selebriti



Negara memerlukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang efektif dan substantif bukannya seorang selebriti, bidas Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai ketinggalan zaman apabila memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Saifuddin Nasution Ismail"Adakah beliau sedar rasuah hanyalah satu hasil daripada banyak masalah integriti dan tadbir urus yang lebih luas dan perlu difahami?

"Ketua Pesuruhjaya SPRM yang nampak gayanya seperti ahli politik atau selebriti yang tidak lebih hanya untuk mendapat perhatian daripada pihak media sahaja.
"Kita tidak berminat dengan hanya 'public relation exercise'. Ikrar tanpa pengisiannya tidak ada maknanya.
"Lebih teruk lagi apabila ikrar itu mengecilkan skop kepada isu yang ingin ditangani," tegasnya.
Menurutnya, ikrar tersebut menunjukkan kedangkalan fikiran dan kurangnya kreativiti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu walhal SPRM sebelum ini mempunyai langkah pencegahan rasuah yang lebih sofistikated.
Institut Integriti Malaysia (IIM), jelasnya, sebagai contoh dilihat mempunyai inisiatif dan instrumen yang jauh lebih berkesan dalam konteks pemupukan dan pembudayaan integriti berbanding Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Jikalau sekalipun Ketua Pesuruhjaya SPRM benar-benar serius hendak berikrar, mengapa  menghentikan usaha Ikrar Integriti Korporat yang diperkenal Datuk Paul Low serta dilaksanakan Tan Sri Abu Kassim dan Datuk Sri Mustafar Ali dahulu?
"Ikrar Integriti Korporat dilihat lebih menyeluruh. Dengan 'follow up' pengisian kepada ikrar di mana agensi, badan yang membuat ikrar harus turut serta melaksanakan beberapa program seperti 'whistle blowing' dan lain-lain.
"Kenapa 'Ikrar Integriti Korporat' ini dihentikan? Adakah kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini ingin menunjukkan bahawa KP dan TKP sebelum ini tidak tahu apa yang mereka lakukan?" bidasnya dalam satu kenyataan.
Mengulas pelancaran revolusi Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) oleh SPRM pada 8 Mei lalu, Saifuddin mempersoal sejauhmana lawatan dan bermesra dengan rakyat sambil memberi bantuan makanan dan berikrar sahaja akan menyelesaikan masalah rasuah.
"Apa makna bebas rasuah jikalau isu-isu salah guna kuasa dan masalah yang wujud dalam laporan audit terus berleluasa? Adakah dengan menangkap pesalah rasuah setiap minggu akan menyelesaikan masalah?
"Sejak Ogos tahun 2016 sehingga kini, berapa ramai individu yang telah ditangkap telah didakwa dan disabit kesalahannya?" soalnya.
Menyentuh kenyataan Dzulkifli yang kesal dengan keengganan kerajaan Pulau Pinang menandatangani IBR bagi menunjukkan komitmen negeri itu memerangi serta membanteras gejala rasuah, beliau mempertikaikan bukti empirikal bahawa isu rasuah dapat diselesaikan dengan berikrar.
"Negara mana dalam dunia ini yang mampu membanteras rasuah dengan hanya berikrar? Tunjukkan kepada kita bukti-bukti dan dalil-dalil serta kitab mana yang beliau rujuk dan kita boleh pertimbangkan.
"Adakah kerana KP dan TKP sebelum ini lebih berani dan sanggup menyiasat kesalahan MO1 (Malaysian Official 1) menyebabkan semua inisiatif mereka perlu ditukarkan? Hanya semata-mata untuk menghentikan usaha mereka sebelum ini?

"Kita melihat drama dan sandiwara Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini sebagai usaha mengalih pandangan daripada melihat 'the elephant in the room' kepada perkara-perkara runcit sambil menaikkan nama beliau di media.
"Adakah beliau sedang menonjolkan diri sebagai calon Peguam Negara (AG) yang mampu mempertahan dan melindungi MO1?" tempelak Saifuddin.
Menurutnya, kenaikan pangkat Dzulkifli bermula pada kedudukan Jusa C ketika dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Ogos tahun lalu dan kini Turus 2 dalam tempoh setahun dianggap cukup luar biasa yang hanya layak untuk seorang penjawat awam yang luar biasa prestasinya.
"Soalnya apa yang luar biasa itu kalau sekadar bercakap soal ikrar bebas rasuah! Tindak tanduk dan cara beliau ini meragukan.
"Galak menyerang kerajaan Pulau Pinang hanya kerana belum menandatangani suatu ikrar. Ikrar bebas rasuah yang beliau perkenalkan ini adalah satu inisiatif secara sukarela bukan secara paksaan.
"Jadi apa maksud Pulau Pinang ingkar? Ingkar kepada perintah siapa?" soal Saifuddin lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA