Isnin, 17 Julai 2017

Menyatukan dengan slogan

Menggagalkan kelangsungan Barisan Nasional (BN) ditampuk kuasa bukanlah sesuatu yang mudah.
Sehingga kini Anwar Ibrahim masih meringkuk terpenjara manakala Tun Mahathir pula terpaksa menubuhkan parti baharu. Ini membuktikan betapa menidakkan cengkaman Umno-BN di Putrajaya bukanlah satu kerja yang enteng.
Namun, di sebalik senarai panjang kerosakan yang dilakukan pemimpin Umno-BN pimpinan Dato Seri Najib Razak ini, blok pembangkang juga wajar diperkemaskan agar dilihat lebih bersatu dan lebih tersusun.
Menjenamakan semula Pakatan Harapan berkemungkinan besar boleh melengkapkan tsunami Rakyat ini.
Satukan slogan
Sekitar tahun 1998 dulu, gema laungan Reformasi telah menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
Ketika itu lautan rakyat bukan sekadar membanjiri Dataran Merdeka di Kuala Lumpur malah melimpah ke Batu Pahat, Johor sehinggalah memenuhi jalan-jalan kampung di Derang, Kedah.
Semuanya hanya melaungkan satu slogan yang sama tanda bersolidariti.
Mereka datang dari pelbagai latar belakang politik, bangsa dan agama; kesemuanya bulat tekad menyatakan simpati dan dukungan buat Anwar Ibrahim yang dipecat dan melahirkan penentangan terhadap Perdana Menteri ketika itu – Dr Mahathir Mohamed.
Hanya satu slogan – REFORMASI – yang memenuhi langit luas sehingga memadam lain-lain slogan yang berkepentingan peribadi atau yang mempunyai agenda tersendiri. Pakatan Harapan harus mempraktiskan metod ini.
Kita mesti bersegera mempunyai kesatuan suara dan cara menzahirkan kesatuan tersebut hanya boleh dilakukan apabila kita bersetuju menggunakan satu slogan sahaja.
Muafakat dan kesatuan hati rakyat Malaysia perlu digembleng menjadi satu suara dan tidak hanya menunggu saat-saat akhir parlimen dibubarkan.
Slogan-slogan seperti Malaysia Baru, Bina Semula Negara atau Selamatkan Malaysia (sekadar menyebut beberapa contoh) sebenarnya telah menjadikan fokus rakyat mencapah entah ke mana.
Mengapa kita mahu mengelirukan rakyat dengan pelbagai slogan sedangkan apa yang kita usung hari ini adalah penawar dari pihak yang sama?
Dari situ sahaja, pembangkang telah dilihat tidak mampu mengurus kesatuan hati sesama kita walaupun dalam isu yang mudah seperti ini.
Pembangkang mesti bersatu dan dilihat bersatu
Rakyat mesti disatukan dengan satu slogan yang sama. Slogan tersebut mestilah dipersetujui bersama dan boleh dipasarkan hari ini sehingga boleh diangkat menjadi tema manifesto dalam kempen Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.
Slogan ini wajib diratib dan meniti di bibir setiap pemimpin dan ahli, diwacanakan atau dibuat dialog serta dicetak di atas poster-poster ceramah para pemimpin kita.
Ia mesti ditawarkan sebagai sebuah mesej atau dalam bentuk hashtag di media sosial dan tidak keterlaluan jika dijadikan merchandise serta dijual dalam ceramah-ceramah Pakatan Harapan.
Slogan itu juga perlu diselaraskan ke semua peringkat sehingga masuk ke halwa telinga setiap seorang rakyat Malaysia samada di bandar besar mahupun di kampung-kampung.
Produk harapan rakyat

Pakatan Harapan adalah produk harapan rakyat. Satu slogan yang baik dan berkesan mampu melonjak kesatuan pembangkang di mata rakyat.
Slogan yang dipasarkan dengan baik dan bersistematik pastinya memberi kesan besar.
Menggunakan satu slogan yang sama adalah strategi paling ampuh menjelang pertempuran politik maha dahsyat dalam PRU14 nanti.
Rakyat mahukan kesatuan yang tulen dari pembangkang. Satu slogan yang sama oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan boleh menggilap kesatuan kita itu.
Ia bukan sekadar berkongsi satu slogan, ia lebih besar daripada itu. Ia adalah terjemahan kesatuan pembangkang.
Apakah slogan kita?

2 ulasan:

  1. Tahniah PH. TAHNIAH.

    BalasPadam
  2. "HARAPAN" Memancarkan Aura Tetsangat Positif yang bersesuain menurut kehendak Illahi/Tuhan.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA