Isnin, 17 Julai 2017

Pengundi tak lagi termakan janji ‘You help me, I help you’ Najib

KLUANG, 17 JUL: Pengundi khususnya kaum Melayu sudah tidak lagi termakan dengan janji UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk membiayai pelbagai projek di kawasan mereka setiap kali menjelangnya pilihan raya umum (PRU).
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, pengundi juga sudah tidak percaya dengan janji projek ‘You help me, I help you’ yang sering ditabur perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di kebanyakan kawasan yang dilawatinya.
“Hakikatnya, rakyat mahukan kerajaan yang bersih, peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih baik serta kos sara hidup yang tidak membebankan,” tegas Chin Tong dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas lawatan Najib ke Sembrong, Johor yang turut mengumumkan pelaksanaan tiga projek di kawasan itu.
Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, adalah penting untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sembrong – yang kini disandang sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein – di bawah penguasaan UMNO-BN.
Kerusi Hishammuddin dalam bahaya?
Mengulas mengenai ucapan itu, Chin Tong berkata, ada sesuatu yang tidak kena apabila kawasan Parlimen tersebut memerlukan bantuan dan campur tangan di peringkat nasional menjelang PRU ke-14 (PRU-14).
“Mungkin UMNO khususnya Menteri Pertahanan merangkap antara ‘senarai calon menunggu’ Perdana Menteri pilihan Najib ini ada menerima maklumat bahawa kerusi-kerusi di Johor tidak lagi terjamin untuk kemenangan BN pada PRU-14 nanti, termasuklah Sembrong,” ujarnya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menjelaskan, kerusi Sembrong diwujudkan selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1993 dan sememangnya ‘direka’ untuk Hishammuddin yang menyandang kerusi itu sejak 1995.
“Jika Sembrong sudah ‘bergoyang’, mengapa tidak yang lain?” katanya.
Tambah Chin Tong, kerusi Sembrong bukanlah antara 10 kerusi yang dijangka beliau mampu untuk dirampas Pakatan Harapan, namun dengan perkembangan itu tidak mustahil ia akan berlaku.
Beliau sebelum ini menyasarkan kerusi Parlimen Labis, Segamat, Sekijang, Muar, Ledang, Pagoh, Pasir Gudang, Pulai, Johor Bahru dan Terbrau sebagai kerusi yang mampu ditawan Pakatan Harapan dalam PRU akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA