Sabtu, 12 Ogos 2017

Kurang kesungguhan, undang-undang lemah, halang siasatan terhadap kekayaan Zahid


Kurang kesungguhan, undang-undang lemah, halang siasatan terhadap kekayaan Zahid
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dikatakan takut menyiasat mereka di atas berikutan tiada kesungguhan agensi itu untuk menyiasat dakwaan kekayaan luar biasa milik Ahmad Zahid Hamidi.
KEKAYAAN luar biasa yang dimiliki pegawai kerajaan adalah asas yang cukup untuk siasatan ke atas seseorang individu, kata kumpulan anti rasuah hari ini mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan tiada asas untuk menyiasat dakwaan berhubung kekayaan timbalan perdana menteri.
Peguam yang juga aktivis Ambiga Sreenevasan berkata SPRM hanya boleh memastikan kesahihan dana seseorang menerusi siasatan.
“Sebarang tanda kekayaan luar biasa lebih-lebih lagi ia menimbulkan persoalan rakyat terhadap pejabat kerajaan ialah asas yang cukup untuk siasatan.
“Malangnya Dzulkifli Ahmad menunjukkan dia takut menyiasat mereka di atas,” katanya merujuk kepada ketua pesuruhjaya SPRM.
“Tiada kesungguhan untuk mengejar apa yang rakyat lihat sebagai kecurian dan penyelewengan membabitkan piak atasan adalah memalukan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Dzulkifli.
Ketua SPRM berkata agensi itu akan menjalankan siasatan kekayaan seseorang sekiranya ada asas yang mengesyaki ia diperoleh daripada penyelewengan dan salah guna kuasa. Jumlah duit seseorang individu bukan asas untuk siasatan rasuah, tambahnya ketika menjawab persoalan sama ada agensi itu akan menyiasat dakwaan Zahid miliki RM230 juta ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.
Dzulkifli bagaimanapun terikat dengan Seksyen 36 Akta SPRM yang tidak menjadikan pemilikan harta yang tidak boleh dijelaskan dan luar biasa satu kesalahan.
Ini sebabnya Malaysia perlu segera undang-undang pengisytiharan aset dan rangka kerja yang memerlukan semua ahli politik mengisytiharkan aset mereka kata Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel.
“Sementara Seksyen 36 memberi kuasa kepada SPRM mendapatkan maklumat berhubung apa-apa harta yang dipegang individu, kuasa mereka terhad kerana ia perlu berkaitan dengan kesalahan yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM,” katanya.
“Kerana tiada rangka kerja dan kerana batasan dalam Seksyen 36, Dzulkifli membuat kenyataan terdapat asas yang tidak mencukupi untuk membuka siasatan terhadap Zahid.

“Kami mencadangkan pindaan dibuat dan kami menyokongnya bersama Majlis Peguam, kata Gabriel dan menambha C4 sudah menggesa Putrajaya berhubung perkara itu.
“Terdapat mainan politik yang berlaku di mana pembangkang meminta menteri kabinet mengisytiharkan kekayaan mereka dan begitu juga sebaliknya.
“Kami menggesa agar undang-undang perlu dibuat bagi mengelakkan persoalan dan isu timbul apabila siasatan dibuat ke atas penjawat awam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengarah Eksekutif Lawyer for Liberty Eric Paulsen berkata siasatan adalah wajar sekiranya seseorang itu mengumpul kekayaan dalam amaun yang luar biasa melebihi pendapatannya.
“Ia perlu diperiksa sama ada Zahid miliki RM230 juta atau tidak dan dari mana wang itu diperoleh,” katanya.
Paulsen berkata walaupun SPRM mempunyai tugas yang sukar, agensi itu teragak-agak untuk menyiasat menteri di peringkat tinggi.
“Kita setuju dengan Dzulkifli tiada bukti cukup. Namun dalam masa yang sama dia tidak ikhlas kerana berlaku pilih kasih bila membabitkan individu tertentu.
“Sekiranya mereka benar-benar bebas mereka perlu pastikan menteri tidak salah guna kuasa mereka,” katanya.
SPRM ketika ini dilihat aktif menyiasat kes lain seperti dakwaan rasuah dalam Felda Investment Corporation dan beberapa agensi lain membabitkan perlombongan bauksit.
Ambiga berkata semua kerja-kerja yang sudah dibuat ini tidak bermakna sekiranya SPRM membiarkan “ikan besar” terus mencemar negara.
“Sudah lama saya tunggu kita memiliki ketua sebuah institusi yang berani dan jujur untuk menyiasat walaupun teerhadap Perdana Menteri Najib Razak sekiranya perlu.
“"Sebaliknya kita melihat ketua institusi yang bersedia berkompromi dengan undang-undang. Sekurang-kurangnya mereka harus menyatakan secara terbuka aset mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA