
Saya telah tunjukkan semalam bahawa Felda telah menandatangani satu
perjanjian pendanaan dengan sebuah syarikat Singapura yang tidak
mempunyai rekod dalam bidang kewangan. Syarikat bernama Putra Star
Investments Holdings Pte Ltd ini dilaporkan akan memberi dana melebihi
RM1 bilion untuk membolehkan Felda membina rumah-rumah generasi baru
Felda seperti yang dijanjikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Walaupun Felda belum memberi sebarang maklumbalas,
Malaysiakini
semalam memetik wakil dari Putra Star Investments Holdings Pte Ltd
mengesahkan perkara itu dan memaklumkan sebarang reaksi kepada
pendedahan saya diserahkan kepada Felda.
Sudah tentu persoalan yang paling besar ialah: siapa sebenarnya Putra
Star Investments Holdings Pte Ltd ini dan kenapa syarikat yang tiada
rekod kukuh di dalam industri kewangan ini yang memeterai perjanjian
pendanaan dengan Felda?
Saya telah menunjukkan semalam bahawa individu utama di belakang
syarikat ini ialah seorang warga negara Singapura bernama Ng Peter
Titan. Beliau adalah pemegang saham dan juga pengarah di dalam syarikat
ini. Pemegang saham lain dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan
beliau.
Oleh itu, mengetahui latar belakang perniagaan dan rangkaian
perniagaan Ng Peter Titan akan memberi gambaran mengenai urusniaga
pendanaan yang dimeterai oleh Felda dan syarikat milik Ng Peter Titan
ini.
Saya akan tunjukkan bagaimana saya menyelidik menggunakan Google dan
memaparkan setiap bukti yang saya perolehi di skrin agar senang diikuti
oleh orang ramai, seperti berikut:
1. Semakan mudah dengan menaip “ng peter titan” menunjukkan dua carian teratas.
2. Seterusnya saya melawat capaian di laman www.zpec.com yang
memberikan laporan berikut. Walaupun keseluruhan berita di dalam bahasa
Cina, nama “NG Peter Titan” dieja dengan jelas.
3. Saya menggunakan Google Translate untuk menterjemah berita ini. Ia
melaporkan lawatan oleh Ng Peter Titan, pengerusi Titan Petrotrade dari
Singapura, dengan disertai pegawai-pegawai di China Everbright Bank,
yang melawat kilang syarikat itu di Manchukun.
Berita itu juga memberi gambaran mengenai perniagaan Ng Peter Titan:
syarikat pertamanya ditubuhkan dalam tahun 1978, banyak terlibat di
dalam pelaburan bermodal besar, dan mengenali beberapa syarikat pembuat
besi dan peralatan China yang terkenal.
Berita ini membayangkan bahawa Ng Peter Titan adalah seorang ahli
perniagaan yang mempunyai jaringan perniagaan (“networking”) yang luas
dengan industri berat dan perbankan China.
4. Dari senarai carian Google bagi nama “ng peter titan” tadi, carian
kedua tertinggi ialah dari satu blog pelancongan yang memuatkan satu
komen dari seorang bernama “Pok Jak” berkenaan perkara berikut: Ng Peter
Titan (dari Singapura, yang dianggap sebagai mentor oleh penulis)
mengenali seorang wanita bernama Michelle Liu (digambarkan sebagai
“teman tapi mesra”). Michelle Liu adalah pengurus perhubungan pelanggan
(“relationship manager”) di China Construction Bank (atau Bank Pembinaan
China).
Komen-komen sebegini selalunya bersifat benar kerana ia melibatkan
testimoni peribadi seseorang yang mengenali seorang yang lain. Semasa
saya membongkar skandal NFC, saya mengumpul banyak maklumat dari
komen-komen di “Notice Board” di internet seperti ini.
Dari dua carian ini, ia memberi gambaran bahawa Ng Peter Titan
mempunyai jaringan perniagaan yang luas dengan bank dan industri di
China.
5. Saya seterusnya menyemak laman rasmi pihak berkuasa pendaftar
syarikat di Singapura (Accounting and Regulatory Authority atau ACRA)
untuk mengetahui perniagaan lain yang dimiliki oleh Ng Peter Titan.
Carian tersebut menunjukkan Titan Petrotrade (2007) Pte Ltd, mengesahkan
bahawa Ng Peter Titan dan Titan Petrotrade benar-benar wujud.
6. Saya juga menyemak carian di Google untuk mengetahui apa
sebenarnya perniagaan yang dijalankan oleh Titan Petrotrade ini. Secara
umumnya, Titan Petrotrade memasarkan syarikat itu sebagai syarikat yang
menjual beli bahan mineral, minyak dan produk-produk lain. Satu carian
memberi gambaran yang lebih jelas: “our company acts as agent and
commission agent for the supply of minerals, clean petroleum product…..”
Ia mengesahkan tekaan saya bahawa Ng Peter Titan adalah seorang
jurujual yang menjadi orang tengah kepada urusan jual beli pelbagai
produk di rantau Asia ini.
7. Saya seterusnya menyemak secara keseluruhan semua
syarikat-syarikat yang pernah ditubuhkan atau terlibat dengan Ng Peter
Titan. Saya juga menyemak pemegang saham Titan Petrotrade (2007) Pte
Ltd, pengarah-pengarahnya serta rekod pemfailan laporan-laporan wajib
kepada ACRA untuk mengenalpasti sama ada ia masih lagi aktif dalam
perniagaan.
Rujuk laporan-laporan berikut yang saya edarkan kepada wartawan dan akan paparkan ke blog saya di
rafiziramli.com: “People Profile”, “Business Profile” dan “Register of Company Documents”.