Sabtu, 24 Jun 2017

SELAMAT HARI RAYA

Di kesempatan ini, wargakerja Rakyat Marhaen ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca dan penjenguk blog ini, juga kepada seluruh umat Islam di mana juga berada.

Setelah sebulan berpuasa, Hari Raya adalah hari kemenangan dan ruang untuk kita saling bermaaf-maafan.

Namun, dalam konteks Malaysia, di sebalik Hari Raya dan bermaaf-maafan, ia sama-sekali tidak harus mengubah keinginan kita untuk terus berjuang melakukan perubahan kepada negara.

Daripada demokrasi bertukar menjadi kleptokrasi adalah titik hitam yang sangat memalukan dan menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memulihkannya semula.

Jika tidak dipulihkan, titik hitam itu akan terus membesar dan membesar sehingga akhirnya menggelapkan masa depan kita serta generasi seterusnya.

Bergembiralah bersama keluarga, jiran dan kawan-kawan sempena Hari Raya ini, tetapi agenda lebih besar iaitu melakukan perubahan, jangan sesekali diabaikan.

Akhirnya, semoga Tuhan sentiasa merahmati niat murni kita dan dalam masa yang sama memberi kesempitan kepada semua makhluk perosak dan penipu wang rakyat yang selalu merasakan melakukan penipuan adalah suatu kebanggaan.

Makhluk perosak dan penipu wang rakyat mesti ditentang sehingga ke garisan kemenangan.

PRU14: Pembahagian kerusi mesti maksimumkan kemenangan



Pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam kalangan komponen Pakatan Harapan mesti ditujukan untuk memaksimumkan kemenangan, kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, pemilihan calon bertanding sama ada daripada Amanah, Bersatu, PKR atau DAP di setiap kerusi mengambil kira faktor keputusan pilihan raya umum lalu dan komposisi pengundi.
Dzulkefly Ahmad"Bagi penyandang (DAP dan PKR), mereka akan mengekalkan kerusi yang mereka telah menang. Bagi Amanah dan Bersatu, kita melihat kerusi yang pernah dipegang oleh Pas dan Umno serta kerusi yang dipertandingkan PKR dan DAP tetapi tidak pernah menang.
"Kubu Umno pula adalah tempat yang sesuai untuk Bersatu dan bukannya Amanah. Amanah bergantung kepada kerusi campuran kerana kekuatan teras Amanah adalah dalam kalangan rakyat Malaysia kelas pertengahan yang tidak lagi menyokong Pas," jelasnya dipetik daripada wawancara dengan akhbar dwimingguan The Edge.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya pemilihan calon bertanding daripada keempat-empat parti itu perlu ditentukan secara bersama.
"Ini bagi memastikan sesiapa yang (dipilih untuk bertanding) mana-mana kerusi, dia boleh menang, dan ia mestilah diputuskan oleh semua secara jujur ​​dan secara kolektif," ujarnya.
Ditanya tentang pola ramai pengundi yang tidak yakin untuk mengambil risiko memilih pembangkang, Dr Dzulkefly berkata, Pakatan Harapan akan melaksanakan apa yang dijanjikan jika diberi peluang menguasai Putrajaya.
"Kami mahu pilihan raya ini menjadi pertandingan dasar dan kepimpinan kompetensi, keupayaan dan akauntabiliti. Rakyat mempunyai peluang untuk membuat keputusan.
"Apabila orang mengundi untuk kita, mereka akan mempunyai pilihan. Kami mempunyai dasar yang jelas mengenai ekonomi, penjagaan kesihatan, pendidikan, hubungan kaum dan agama, pembaharuan politik dan menegakkan kedudukan institusi kritikal," tegasnya lagi.

USTAZ, USTAZAH MUDA LIHAT SISI LAIN AL-QURAN


Mohd Syazreen Abdullah berumur 29 tahun. Aina Wafi Ab Kadir pula baru 23 tahun. Selain sama-sama masih muda, kedua-dua mereka berkongsi minat mendalam dalam bidang penulisan.
Syazreen dan Aina bukan saja berani menulis buku tetapi juga mengupas isu yang dianggap berat, memuatkan sudut pandang tidak klise mereka terhadap al-Quran.
Syazreen misalnya banyak mengupas pendekatan golongan Melayu yang lebih banyak menekankan pembacaan al-Quran dan bukan pemahaman terhadapnya.
Aina pula dengan berani melihat sisi-sisi melawan dalam al-Quran, tetapi bukan menyeru ke arah berperang secara melulu seperti yang disalahtafsirkan oleh kumpulan pengganas.
Syazreen mendapat pendidikan awal sebagai pelajar tahfiz di Darul Quran, Kuala Kubu Baru, sebelum menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda dalam Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan.
Beliau juga terlibat sebagai Felo Lingkaran Islam Tradisional (LIT), sebuah kumpulan pengkaji khazanah keilmuan serta kebudayaan Islam di Nusantara dan menjadi felo penyelidik di Abduh Study Group dan Islamic Renaissance Front (IRF).
Beliau juga penulis bersama buku Wacana Pemikiran Reformis (2014) terbitan IRF dan penulis buku Alif Lam Lam Ha (2014) terbitan Dubook Press.
Aina pula seorang pelajar tahun satu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dalam pengajian Ilmu Wahyu, pengkhususan dalam bidang al-Quran dan sunah.
Beliau pernah terlibat dalam projek The Wakaf Buku, gabungan aktivis yang menyediakan perpustakaan percuma untuk anak yatim dan kanak-kanak di kawasan pedalaman.
Bercerita tentang idea terbarunya melalui Bercakap dengan Al-Quran, Syazreen menekankan kitab suci itu memerlukan tafsiran yang sesuai dengan zaman dan masyarakat majmuk.
“Kesilapan besar masyarakat MelayuMuslim hari ini adalah mereka masih melihat Quran sebagai kitab yang mesti dibaca, dihafal, diulang, dibaca, dihafal, dan diulang sahaja!” kata Syazreen dalam temu bual di pejabat Malaysiakini baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas buku Kisah-kisah melawan dalam Al-Quran, Aina berkata beliau mahu mengetengahkan perjuangan manusia menegakkan kebenaran, baik kepada diri sendiri atau terhadap orang lain.
“Sebelum ini ada orang tanya adakah buku saya menggalak kepada peperangan atau pembunuhan, buku ini kalau dibaca dari kulit pertama hingga hujung tidak ada perlawanan fizikal yang digalakkan dalam buku ini.
“Kebanyakan saya mulakan dengan bagaimana kita nak kenal diri kita sendiri serta macam mana kita nak lawan dengan pergelutan dalaman diri kita.
“Jadi, perkara pertama itu bagaimana kita nak lawan diri kita, kemudian bagaimana kita dengan struktur masyarakat, bagi respon kepada masyarakat, apa perlawanan dari sudut masyarakat dengan cara yang tidak menyakitkan fizikal tetapi menyedarkan seperti mana Ibrahim menyedarkan kaum-kaum dia,” cerita Aina pada Malaysiakini.
Sebagai contoh, kata Aina, beliau melihat kes pembunuhan pertama antara dua anak Adam, Habil dan Qabil, sebenarnya manifestasi pertembungan kelas dalam masyarakat dan bukan untuk berebut isteri.
Gadis kelahiran Labis, Johor itu juga mendedahkan beliau mula serius dalam bidang penulisan sejak tahun lepas selepas menulis artikel berkaitan insiden pelajar Malaysia yang dipeluk artis K-pop yang mencetuskan kontroversi tahun lalu.
Kedua-dua penulis ini sempat berkongsi pandangan dengan Malaysiakiniberkaitan beberapa isu melibatkan umat Islam di negara ini.

Hang Jolo, pulanglah perantau

Bagi orang-orang Melayu Umno Islam, tiada ertinya Syawal kali ini tanpa kepulangan ikon usahawan global yang bertaraf dewa. Tiada kemeriahan untuk bersama dengan lelaki romantis, pemurah dan banyak berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Persetankan segala tohmahan ciptaan pembangkang berniat jahat melalui DOJ yang asyik mengulang tuduhan palsu, fake news, fitnah dan pembohongan. Mana ada bukti 1MDB kehilangan duit dan dirompak, seperti kata peguam negara, ketua polis negara dan semua pemimpin Umno yang tentunya tidak berbohong dalam bulan Ramadan.
Lelaki montel yang genius itu, dengan nama Melayunya, Hang Jolo bukan sahaja masih virgin, teruna, suci malah tidak langsung merompak dan menyamun di mana-mana pun di dunia.
Bertaubatlah kalian, lupakah yang sesiapa pun innocent until proven guilty? Tiada mahkamah di dunia yang mendakwa hero nasional ini.
Tiada! Apalagi semua agensi pihak berkuasa di Malaysia, dari perdana menteri, isteri, anak-anak hingga ke majlis-majlis bandaran tidak pernah menangkap Hang Jolo. Mana ada menteri-menteri, apalagi macai-macai seperti Jamal Yunos berani menyebut nama Hang Jolo?
Mereka semua menyanjung dan menjunjung kehebatan Hang Jolo.
Merajuk kesepian...
Kesian dan simpati tidak terhingga kepada tokoh niaga ulung yang merentas planet dari pulau ke pulau, kota besar ke kota besar dan dari bumi ke tujuh pelata langit.
Harum nama batang tubuh yang terpaksa jauh membawa diri, merajuk, kesepian bersama kapal layar taraf bilionair, Equanimity.
Khabarnya kini bersendirian merenung laut di persisiran Kemboja. Seakan mahu melepaskan gundah gelana dan segala kemurungan dibulan Ramadan yang mulia.
Semenjak beberapa kali putus cinta, dari Paris Hilton, Elva Hsiao kepada Merinda Kerr dengan puluhan juta perbelanjaan hadiah, hiburan demi kasih sayang, Hang Jolo tetap tabah dan meneruskan kehidupan dengan menjadi penderma badan-badan kebajikan.
Begitulah pahlawan yang berjiwa besar.
Sumbangan derma tentu tidak sebesar sumbangan derma Raja Arab, RM2.6 biliion kepada ‘Malaysian Official 1', pahlawan Bugis dan tokoh Islam Wasatiyyah itu, tetapi keikhlasan Hang Jolo jangan sekali dipertikaikan.
Tiadakah para pemfitnah nampak kebaikan Hang Jolo ini? Malah Hang Tuah sekalipun yang frust menonggeng dengan Puteri Gunung Ledang dan Tun Teja tidak sehebat Hang Jolo memberi hadiah hasil keringat sendiri.
Bayangkan betapa gigihnya dengan keringat, darah dan airmata, Hang Jolo membina empayar bisnes merentas planet. Dengan dana sendiri dan mengembangkannya sekelip mata. Sesuatu yang tentu tidak diajar di Wharton Business School, apalagi di UiTM dan mana-mana universiti tanahair.
Tutup tiga bank Yahudi
Tidak tahu kenapa, amat mengherankan kenapa Hang Jolo tidak menjadi suri teladan Transformasi Nasional (TN50) dan menerima anugerah Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk dan Datin sekaligus.

Apa lagi yang perlu dilakukan bagi kembalikan ketelusan SPR, tanya Nurul Izzah


Nurul Izzah Anwar

"Apa lagi cara yang kami di barisan Pakatan Harapan dan PKR perlu lakukan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mendengar rintihan kami," tanya  Nurul Izzah Anwar mempertikaikan sikap badan yang sepatutnya bebas itu dalam menjalankan tugasnya.
Menurut naib presiden PKR itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Pakatan Harapan untuk membuatkan SPR mendengar rintihan kami agar badan yang sepatutnya bebas untuk mengembalikan proses demokrasi yang sebenar kepada rakyat Malaysia, namun SPR terus menghampakan.

Kelmarin (22 Jun 2017), ADUN Hutan Melintang, YB S. Kesavan melakukan mogok lapar di hadapan ibu pejabat SPR, Putrajaya bagi menunjukkan rasa kecewa dan sebagai tanda protes kepada pihak SPR kerana menidakkan hak beliau.

Kekecewaan beliau berasaskan kepada manipulasi SPR dalam daftar pengundi di kawasan DUN Hutan Melintang serta keengganan SPR untuk menerima 200 keping Borang Bantahan C (berkaitan isu pengundi tidak bermastautin yang dikemukakan).

Kata ahli parlimen Lembah Pantai itu, ini bukan kali pertama beliau mengadakan protes lapar, menunjukkan SPR langsung tidak ambil peduli atas semua kebimbangan dan desakan pelanggan mereka, seolah-olah bertindak selaku ejen BN/UMNO.

"Sebenarnya saya, selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN sudah berkali-kali meminta untuk bertemu dengan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Bin Abdullah, namun permohonan kami ditolak mentah-mentah," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, setelah penafian pertemuan dengan Pengerusi SPR, ia menyaksikan keengganan SPR memberi mereka salinan cakera padat yang memuatkan data daftar pemilih tambahan; 28 000 pendaftaran pengundi POS mengikut pintu belakang; pewartaan daftar pemilih yang dilakukan secara tergesa-gesa dan pemindahan pengundi tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah.
Semua kebingungan serta manipulasi ini yang berakhir dengan protes tanpa pilihan beserta mogok lapar oleh YB Kesavan, katanya.
Minggu hadapan, katanya, ketika rakyat Malaysia meraikan Aidilfitri, SPR dengan senyap-senyap menetapkan 30 Jun sebagai tarikh terakhir pendaftaran bagi suku kedua daftar pemilih 2017.
"Ini merupakan pendafatran pemilih paling awal dicatatkan dalam sejarah sejak PRU ke 13!," katanya.

SKANDAL 1MDB: JANGAN MALUKAN DIRI SENDIRI, TOK GURU!!!

Umpama hadiah hari raya kepada Najib Razak,  Presiden Pas, Hadi Awang dalam tulisan terbarunya berkata, isu 1MDB perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menjemput pihak asing untuk menyelesaikannya.
“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim pihak dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.

Tambah Hadi lagi, pihak asing selama-lamanya hanya mencari peluang untuk menjaga kepentingan mereka, walaupun mengorbankan rakyat Malaysia.

Aduhhh...adakah Tok Guru Hadi Awang sebenarnya benar-benar tentang isu 1MDB ini sehingga menulis sedemikian rupa?
Kenapa memalukan diri sampai begitu sekali?

Kenapa Tok Guru yang berpengetahuan agama dan tahu halal haram sesuatu perkara boleh mengeluarkan kenyataan yang bagaikan "lebih UMNO daripada luahan hati perut pemimpin UMNO sendiri"?

Mengaitkan penyiasatan terhadap 1MDB dengan campurtangan asing hanya merendahkan pemikiran Tok Guru sehingga sama taraf dengan Annuar Musa dan Salleh Said Keruak yang semua orang tahu pangkat dan jawatan yang diperolehi mereka semata-mata kerana kuat mengampu  saja?

Adakah Tok Guru juga sedang mengampu Najib?

Tok Guru, penyiasatan oleh beberapa negara terhadap skandal 1MDB tidak sama-sekali bermakna jemputan kepada kuasa asing untuk campurtangan, tetapi kerana jenayah berkenaan dilakukan di negara berkenaan?

Di Singapura, beberapa hukuman telah dijatuhkan dan bank ditutup,  di Switzerland dan Luxembourg pula ada bank telah didenda dan Amerika melalui DOJ, proses penyitaan harta sedang dalam prosesnya, ia berlaku bukanlah kerana kita menjemput mereka, sebaliknya kerana kesalahan berkaitan penipuan serta penggubahan wang haram telah berlaku di negara-negara tersebut?

Tanpa dijemput pun, jika jenayah berlaku di negara mereka, tindakan tetap akan diambil oleh berdasarkan undang-undang yang mereka ada tanpa mengira di Malaysia dekat dengan tarikh pilihanraya atau tidak?

Selain itu, sudahkah Tok Guru membaca kenyataan Kedutaan Amerika dua hari lalu yang amat jelas dan mudah untuk difahami.

Jurucakapnya memberitahu, tindakan DOJ berkaitan 1MDB tidak sama-sekali bermaksud campurtangan asing, tetapi suatu inisiatif melindungi pasaran dan sistem kewangan Amerika daripada penipu wang.

Zeti: ‘Perasaan peribadi’ terhadap skandal 1MDB perlu diketepikan


Zeti: ‘Perasaan peribadi’ terhadap skandal 1MDB perlu diketepikan
Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz berkata peranan BNM terhad kepada pelanggaran peraturan perbankan dan objektif utama bank pusat itu dalam mengendalikan kes 1MDB memastikan integriti sistem kewangan negara dikekalkan. 
BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara cabaran paling besar dalam kerjayanya kerana beliau terpaksa mengetuai bank pusat yang kekurangan kuasa pendakwaan ketika masyarakat mengharapkan tindakan diambil.
Dalam satu temu bual dengan Sin Chew Daily yang disiarkan malam tadi, Zeti berkata beliau tidak dapat menyatakan perasaan peribadinya mengenai skandal itu, berkata ia akan mengganggu kerjanya.
“Tidak seperti orang lain, kami perlu belajar untuk fokus kerana hasil kerja kami untuk rakyat dan sektor perniagaan, bukan perasaan peribadi,” katanya kepada wartawan Sin Chew di pejabatnya di ICLIF Leadership and Governance Centre (ICLIF).
“Sudah tentu, saya juga manusia biasa dan ada perasaan, tetapi saya perlu ketepikan. Saya tahu tanggungjawab saya,” katanya ketika ditanya adakah beliau rasa tertewas dengan keputusan kes 1MDB.
Zeti yang kali pertama dilantik sebagai gabenor BNM pada 2000, bersara selepas tempoh penggal perkhidmatannya berakhir April lalu.
Skandal itu terdedah pada Julai 2015 apabila Wall Street Journals menyiarkan dokumen menyatakan AS$681 juta (RM2.6 juta) daripada dana 1MDB dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Najib berulang kali menafikan sebarang salah laku.
“Kami tahu Bank Negara sangat penting kepada negara. Kami tidak mahu ia musnah. Dan itu salah satu pertimbangan saya,” kata Zeti.
Beliau berkata peranan BNM terhad kepada pelanggaran peraturan perbankan dan objektif utama bank pusat itu dalam mengendalikan kes 1MDB ialah untuk memastikan integriti sistem kewangan negara dikekalkan.
“Kami mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada badan berkenaan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB. Saya boleh kata denda yang mungkin tertinggi dalam sejarah,” katanya.
Beliau berkata stabiliti dan “berfungsi dengan baik” dalam sistem kewangan negara dipelihara oleh “undang-undang paling komprehensif” termasuk Akta Bank Pusat Malaysia 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Amanah sedih Hadi guna Islam pertahan kerajaan pencuri dan perompak


 Khalid Samad sedih Hadi guna Islam bela perompak.

Ketika Amanah merasa sedih Islam dipergunakan untuk mempertahankan kerajaan kleptokrak yang mencuri dan merompak wang rakyat, DAP pula menyifatkan presiden Pas sebagai pembela Datuk Seri Najib Razak paling besar berbanding pemimpin Umno sendiri.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, yang paling menyedihkan beliau dengan kenyataan Hadi adalah Islam digunakan untuk berhujjah membela Najib.
"Saya paling sedih Islam telah dipergunakan untuk membela Najib dan kerajaan klpetokratnya," kata Khalid mengulas gesaan Hadi agar jangan membawa negara luar untuk menyiasat isu 1MDB dan lain-lain penyelewengan negara.
Menurut Khalid, Hadi sudah terlalu ketinggalan zaman dalam isu ini.
"Apa yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika adalah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak dari negara ini yang menyalahgunakan sistem di negara itu untuk merompak wang negara.
"Siapa yang nak panggil Amerika untuk menyiasat isu penyelewengan 1MDB di negara ini. Apa yang dilakukan Amerika adalah bertindak ke atas penyelewengan yang berlaku di negara mereka," katanya.
Apa yang hendak dibuat oleh rakyat di negara ini pula, katanya, adalah mahu menukar kerajaan yang merompak wang rakyat bukan mempertahankan kerajaan kleptokrat ini.
Menurut Khalid, hujjah Hadi bahawa kerajaan Islam Sepanyol jatuh kerana campur tangan asing tidak tepat. Yang lebih tepat adalah kerana rakyatnya kekalkan kepimpinan yang rasuah, tidak adil, tidak amanah untuk terus memerintah.
"Itulah yang kita seru rakyat. Tukar pemimpin kerajaan yang merompak wang rakyat, kleptokrat dan tidak amanah ini kepada kerajaan yang adil dan amanah agar negara ini kekal," katanya.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya ketika mengulas gesaan Hadi kepada semua parti politik berkata, Hadi adalah pembela Najib paling hebat berbanding dengan pemimpin Umno sendiri.
"Apa yang tidak boleh dilupakan di bulan Ramadan ini adalah perubahan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pembela Najib dan skandal 1MDB lebih dari sesiapa pun dalam Umno sendiri," katanya.

Selepas tular gambar ahli PKR angkat sumpah...

PAS Kelantan berharap hasil “positif” akan diperoleh berkaitan kedudukan ahli majlis PKR di negeri itu, terutama selepas penularan gambar terbaru menunjukkan dua anggota parti itu mengangkat sumpah baru-baru ini.

"Pelantikan itu lama dah. Saya dah tandatangan pelantikan itu pada 3 Mei lalu. Tetapi sehingga hari ini masih ada beberapa orang yang belum tandatangan sebab arahan presiden parti PKR.
"Itu arahan presiden (PKR) dan kita kena rai. Kita faham arahan presiden itu mesti ada sebab-sebab tertentulah. Cuma saya difahamkan ada maklumat terbaru melalui perbincangan yang dibuat baru-baru ini antara PKR.
"Jadi, sempena Ramadan ini kita berharap ada perkembangan terbaru dan kita harap ahli majlis PKR terus kekal sehingga pilihan raya ini dan menjalankan tugas mereka sebagai ahli majlis," kata exco Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmod.
Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada Rabu lalu memuat naik gambar dua pemimpin akar umbi PKR mengangkat sumpah sebagai ahli majlis daerah di Facebook.
“Tahniah kerana dapat membezakan antara kerjasama politik dan kerjasama membangunkan negeri Kelantan," tulis Zamakhshari Muhamad.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir ketika dihubungi Malaysiakini semalam mengesahkan perkara itu untuk kawasan pasir Mas dan Bachok.

Beliau bagaimana menyifatkan tindakan itu bersifat peribadi dan bukan atas arahan parti.
"Bukan arahan kita atau arahan parti, dia pandai sendiri pergi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau tidak menjelaskan sama ada tindakan akan diambil atau tidak susulan tindakan itu.
Pengerusi jawatankuasa disiplin PKR Abdul Hadi Abdul Khatab memberitahu Malaysiakini, setakat ini tiada aduan berkaitan perkara itu dibuat.
“Kalau ada laporan kami akan siasat. Tetapi buat masa ini belum terima apa-apa, dari negeri pun tak,” katanya.

'Apabila Mahathir kembali ke Kubang Pasu'

Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, majlis berbuka puasa yang diadakan di kawasan lamanya, menerima sambutan positif daripada ahli Umno.
Namun,sayangnya kata beliau 'mereka masih kekal dalam Umno'.
"Saya kembali ke Kubang Pasu, kawasan saya dahulu, buat kali pertama untuk berbuka puasa di Kodiang selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu.
Tun Mahathir "Ramailah juga ahli-ahli Umno Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu.Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam Umno," katanya yang dipetik menerusi perkongsian di blognya www.chedet.
Untuk rekod Mahathir mula bertanding di di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding.
Selepas pilihan raya, Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak.
Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya.
Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Katanya lagi, "Dalam ucapan saya, saya jelaskan bahawa Umno sekarang bukan Umno yang saya pimpin dahulu,".
"Umno sekarang bukan pun Umno yang ditubuh pada 1946 oleh Dato Onn, Umno yang mengalahkan Malayan Union, dan mencapai kemerdekaan.
"Umno sekarang telah dihijack oleh Najib untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya," dakwanya.
Dalam pada itu,dalam perkembangan mengenai tuduhan bahawa beliau terlibat dengan pengeluaran kenyataan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Mahathir berkata, " Amerika Syarikat bukan seperti Malaysia,".

DYMM AGONG: TITAH UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 2017 [24 JUN 2017]

Takbir Hari Raya dan ucapan Presiden Parti Amanah Negara

MARUAH MELAYU - TUN M

1. Saya kembali ke Kubang Pasu, kawasan saya dahulu, buat kali pertama untuk berbuka puasa di Kodiang selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu.
2. Ramailah juga ahli-ahli UMNO Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu. Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam UMNO.
3. Dalam ucapan saya, saya jelaskan bahawa UMNO sekarang bukan UMNO yang saya pimpin dahulu. UMNO sekarang bukan pun UMNO yang ditubuh pada 1946 oleh Dato Onn, UMNO yang mengalahkan Malayan UNION, dan mencapai kemerdekaan. UMNO sekarang telah dihijack oleh Najib untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya. Ia menggunakan duit Kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan, untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya. Sogokan ini dibuat melalui pelbagai cara.
4. UMNO Najib tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. Laporan Department of Justice Amerika menunjuk bagaimana berbillion Ringgit yang diselewengkan disalahguna, selain dari sogokan untuk mendapat sokongan; untuk cara hidup mewah. Duit diguna untuk beli kapal terbang, kapal mewah, hartanah dan bangunan mewah di Amerika dan UK, berlian beratusan juta Ringgit sebiji untuk isteri Malaysia Official 1, iaitu Najib.
5. Sebahagian besar berjumlah berbillion Ringgit yang diselewengkan diperolehi oleh sahabatnya Jho Low. Duit ini diguna untuk beli harta, untuk berjudi dan kehidupan mewah di AS dan UK.
6. Kita juga tahu bahawa di Singapura beberapa bank telah hilang lesen kerana terlibat dengan salahlaku wang 1MDB dan lebih enam orang didenda dan dipenjara kerana terlibat dengan penipuan duit 1MDB.
7. Penyokong Najib menuduh bahawa kononnya parti pembangkang termasuk saya terlibat dengan pengeluaran kenyataan oleh Dept of Justice Amerika. Amerika Syarikat bukan seperti Malaysia. Di Malaysia ada Perdana Menteri yang melalui wang dan ugutan mempengaruhi tindakan dan kenyataan oleh anggota Kerajaan. Di Amerika Presiden pun terpaksa menerima laporan berkenaan dirinya dari pegawai berkaitan dengan apa sahaja salahlaku olehnya. Dan Presiden biasa disingkir kerana perbuatan yang salah yang dilapor oleh pegawai agensi tertentu. Itulah yang menimpa Presiden Nixon kerana skandal Watergate.
8. Menuduh parti pembangkang di Malaysia mampu mempengaruhi Dept of Justice Amerika adalah satu kebodohan yang luar biasa. Dan duta besar Amerika telah menafikan tuduhan ini. Jenayah yang dilakukan adalah jenayah di Amerika, melibat bank-bank di Amerika, harta-harta di Amerika yang menyalahi undang-undang Amerika bernama Kleptocracy Asset Recovery.

Hadi bantah campur tangan asing dalam skandal 1MDB

Bermula dengan kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka, membawa kepada tindakan mahkamah asing ke atas 1MDB, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah mengajar bahawa campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian.
Oleh itu, Abdul Hadi berkata mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah “tidak beriman dan budiman”.
“Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman,” katanya menerusi surat terbuka yang ditujukan kepada semua parti politik hari ini.
Menurut Abdul Hadi, segala skandal dan kemelut negara perlu diselesaikan secara dalaman, tanpa mengira betapa buruknya sistem dalaman itu.
“Jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.
“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.
“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.
Skandal 1MDB sekali lagi menjadi tajuk utama antarabangsa dua minggu lalu apabila Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terbaru untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari firma dana pelaburan negara itu.
Antara lain, tuntutan baru itu mendakwa AS$620 juta yang didakwa dipulangkan oleh “Malaysian Official 1 (MO1)” kepada "penderma" sebaliknya disalurkan kepada hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.
Low kemudian didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$27.2 juta untuk isteri MO1.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nberkata mereka tidak akan menyiasat dakwaan itu dan melepaskan tanggung jawab tersebut kepada polis.
Sementara itu, pihak polis berkata mereka tidak akan mengganggu kes sivil yang dibawa oleh DOJ.
Selain DOJ, Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF) Rabu lalu mendenda bank swasta Edmond de Rothschild sebanyakEUR8.985 juta (RM43 juta) atas kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram membabitkan urusaniaga 1MDB.

Skandal 1MDB: Zeti akui BNM tak boleh dakwa 1MDB

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakui menguruskan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara tugas paling mencabar dalam kerjayanya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau menyedari banyak pihak menaruh harapan tinggi kepada BNM, tetapi mengakui bahawa, bank pusat itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.
“Banyak pihak berharap BNM boleh melakukan lebih banyak, namun kuasa BNM terhad kerana tidak mempunyai hak untuk melakukan pendakwaan.
"Tetapi BNM sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana institusi yang boleh melakukannya,” katanya dipetik dalam temu bual eksklusif oleh akhbar Sin Chew Daily, lapor Sinar Harian.
Inilah kali pertama Zeti diwawancara oleh media tempatan setelah menamatkan kontrak sebagai Gabenor BNM pada April tahun lalu.
Zeti berkata, dalam menguruskan kes 1MDB, tugas utama BNM adalah memastikan sistem kewangan negara tidak dirosakkan.
“BNM memiliki undang-undang yang paling sempurna, termasuk Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan sebagainya bagi melindungi sistem kewangan dikendalikan dengan telus, stabil dan sihat.
“BNM telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB. Saya boleh katakan jumlah kompaun ini adalah ‘paling tinggi dalam sejarah negara’.
“Hanya inilah yang boleh dilakukan oleh BNM dalam kuasa yang terhad,” katanya.
Pada 28 April 2016, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. 1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei, 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
Bagaimana pun, sehingga hari ini, BNM tidak menjelaskan nilai sebenar kompaun pentadbiran yang dikenakan terhadap 1MDB.
Kira-kira dua minggu kemudian, Gabenor BNM yang baru dilantik, Datuk Muhammad Ibrahim memberitahu pihaknya telah menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1MDB.
Katanya, 1MDB telah menyatakan komitmen untuk membayar kompaun sebelum tarikh akhir pada 30 Mei 2016, menandakan tamatnya siasatan tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad enggan memberitahu nilai kompaun yang dikenakan ke atas 1MDB, memandangkan ia bertentangan dengan amalan BNM bagi mendedahkan kuantum yang dikenakan terhadap individu khusus atau entiti kepada awam.

Majlis Peguam: Remehkan saman DOJ tak boleh diterima

Majlis Peguam melahirkan kebimbangan mengenai cara pihak berkuasa Malaysia memberikan reaksi terhadap tuduhan serius dalam saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.
"Tuduhan ini melibatkan pegawai 1MDB, keluarga mereka dan rakan sekutu lain - termasuk individu yang digambarkan sebagai 'Malaysian Official 1', yang sejak itu diakui sebagai salah laku - perdana menteri.
"Memandangkan itu, cara saman sivil itu diremehkan, diketepikan dan bahkan dikecam oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa menangani tuduhan yang dibuat adalah tidak dapat diterima," kata presidennya, George Varughese.
Beliau juga menyatakan mengenai media tempatan yang 'menggelapkan' laporan mengenai DOJ.
"Ini membimbangkan memandangkan ia adalah tuduhan yang teruk. Integriti dan kredibiliti institusi kewangan dan badan pengawalseliaan kita, di mata negara serta pemerhati global, bergantung pada respons kerajaan Malaysia," katanya.
Varughese berkata walaupun tuduhan itu belum dibuktikan sehingga penghakiman dibuat, adalah penting siasatan dibuat oleh kerajaan Malaysia secara menyeluruh dan objektif berasaskan bukti, demi ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Kita patut bangga dengan Riza Aziz

Mohd Fudzail Mohd Nor

Dalam heboh dan hiruk pikuk mengenai pemfailan Jabatan Keadilan (DOJ) mengenai harta yang kononnya dibeli oleh gang Malaysian Official 1 (MO1) di Amerika Syarikat, kita terlupa perkara-perkara positif bersamanya.

Sebagai rakyat Malaysia yang hanya membaca Utusan, Berita dan menonton TV3, RTM, Bernama serta laman-laman prokerajaan, tentu kita wajib percaya yang tiada penyalahgunaan dana 1MDB di mana-mana planet pun.

Kita wajib percaya 100 peratus kerana kerajaan terutama perdana menteri yang dipanggil MO1 itu mana pernah berbohong walau sekalipun.

Dia dan kepimpinan Umno mengamalkan wasatiyyah dan maqasid shariah.

Kerana itu dengan penyucian 1MDB dari segala kemungkaran dan dosa-dosa oleh fitnah DOJ, WSJ, Sarawak Report, ribuan media lain di dunia (selain media perdana Malaysia) serta pembangkang, kita mesti akur yang dua tokoh usahawan negara, Jho Low dan Riza Aziz berjaya melalui usaha dan dana sendiri.

Mereka tidak langsung guna dana 1MDB walau satu sen pun.

Fakta dari peguam negara, ketua polis negara, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan disokong oleh politikus berintegriti seperti Salleh Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan serta Jamal Sekinchan.

Itu sudah cukup jelas, terang lagi bersuluh untuk meyakinkan kebenaran yang 1MDB tidak berdosa walau belum keluarkan laporan audit dan semua berkaitan dengan kes 1MDB tutup kes tanpa bukti.

Pedulikan negara-negara kafir seperti Singapura dan Switzerland yang telah membawa kes berkaitan 1MDB di mahkamah, menutup bank-bank dan meneruskan siasatan menyeluruh.

Itu semua adalah konspirasi Yahudi yang dibantu oleh pembangkang, terutama Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas mahu menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat ini.

Kita patut bangga dengan kejayaan dua muda anak Malaysia yang bertaraf global. Mencapai taraf selebriti dan memiliki pelbagai harta dengan sekelip mata.

Mereka lambang kejayaan transformasi dan 1Malaysia, seorang berbangsa Cina, seorang lagi Melayu-Islam yang berganding tenaga menaikkan nama Malaysia sehingga disebut-sebut seluruh galaksi.

Hairan sekali kenapa media perdana kita yang bertaraf antarabangsa, yang telus dan profesional itu tidak langsung menguar-uarkan, menghebohkan dan menjadikan dua tokoh ini di Malaysia.

Ini adalah satu kesilapan besar yang mesti diperbetulkan. Kenapa mesti malu? Mereka adalah Mark Zuckerberg dan Jack Ma untuk kita. Terutama Riza Aziz.

Bukankah dia anak Melayu pertama berjaya membolos dunia perfileman Hollywood yang dikuasai oleh Yahudi?

Dia berjaya dengan usaha sendiri, bukan melalui bantuan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), PEMANDU, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Portal Rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), mahupun Jabatan Perdana Menteri.

Riza Aziz sepatutnya menjadi suri teladan dan ikon untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) susulan kegigihan beliau sehingga berjaya di Hollywood.

Anak Melayu yang berjaya

DITUDUH PENCURI DAN MELAKUKAN JENAYAH, BILA LAGI NAJIB NAK SAMAN TUN MAHATHIR?


Tun Mahathir Mohamad terus konsisten dan terbuka mengkritik serta menyerang Najib Razak.
Sementara Najib hanya berani main sindir-sindir dan menggunakan kiasan untuk memperlekeh musuh politiknya itu, Tun Mahathir sebaliknya melakukan semua serangan secara terang-terangan dan nyata.
Jika sebelum ini beliau menuduh Najib sebagai pencuri, kali ini dalam tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir lebih terbuka dengan mengatakan Najib telah melakukan jenayah.
Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, menyokong Najib adalah sama seperti menyokong jenayah yang dilakukannya.
“UMNO sekarang sudah dihijack untuk menjadi alat pelindung jenayah yang sudah dan sedang dilakukannya.
“Ia menggunakan duit kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya,” tulis Tun Mahathir.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli UMNO berhenti mengkhianati parti itu.
“Tolaklah Najib dan keluarlah daripada UMNO untuk menyertai gerakan menjatuhkannya dalam pilihanraya.
“Hentikan daripada melindungi makhluk perosak ini,” tambahnya lagi.
Suatu serangan yang jelas, terang, nyata, tidak berselindung dan mudah difahami.
Selain itu, Tun Mahathir, beserta pelbagai dakwaan dan serangannya terhadap Najib, beliau dalam beberapa ucapannya juga mengalu-alukan untuk disaman jika apa yang disebutnya adalah tidak benar.
Beberapa hari sebelum ini, berikutan ugutan Rosmah Mansor untuk menyaman pengguna media sosial yang membuat tuduhan palsu terhadapnya, Tun Mahathir turut sedia untuk disaman oleh isteri Perdana Menteri itu.
“Berani kerana benar, saya tidak takut sebab ini bukan fitnah,” katanya mengulangi dakwaan yang dibuat oleh DOJ yang mengaitkan isteri Malaysian Official 1 menerima pelbagai hadiah barangan kemas bernilai jutaan ringgit yang didakwa berpunda daripada dana 1MDB.
Daripada dituduh pencuri, kini didakwa pula melakukan jenayah, apakah Najib dan Rosmah langsung tiada keberanian untuk menyaman Tun Mahathir?

GWGF Gesa anak peneroka dilantik terajui FGV

Skandal FGV: Lantik semula Zakaria jika beliau betul

Tajuddin Abdul Rahman-Isu Najib Razak & 1MDB,Saman DOJ Adalah Mainan Politik Pembangkang

Peguam cabar polis, SPRM buka balik siasatan 1MDB

Isu DOJ: Kedutaan AS 'buka mulut'

DOJ jawab kenyataan Rahman Dahlan

Skandal 1MDB: Satu lagi bank luar negara didenda RM43j

Jamal Yunos-"Tun Mahathir (Tun M) Adalah Iblis Yang Rasuah DOJ Utk Fitnah Najib Razak"