Ahad, 25 Jun 2017

Erdogan sifatkan 13 tuntutan kepada Qatar langar peraturan antarabangsa


Erdogan sifatkan 13 tuntutan kepada Qatar langar peraturan antarabangsa
Turki mempunyai pangkalan tentera di Qatar dan menyifatkan 13 tuntutan negara Teluk kepada Qatar melanggar undang-undang antarabangsa. 
PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan mengalukan tindakan Qatar mengenetepikan tuntutan Arab Saudi dan sekutunya ketika krisis Teluk semakin membahang dan menyifatkan tuntutan itu “melanggar undang-undang antarabangsa.”
“Kami mengalukan (pendirian Qatar) kerana kami merasakan senarai 13 tuntutan itu melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Erdogan seperti dipetik agensi berita negara Anadolu.
Qatar semalam mengumumkan yang tuntutan itu tidak berasas dan mencabuli kedaulatan negara itu.
Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir mahukan Qatar memenuhi 13 tuntutan itu sebagai balasan menghentikan larangan dan sekatan diplomatik dan ekonomi yang sudah berlanjutan selama tiga minggu.
Kerajaan empat negara Arab itu menyampaikan tuntutan itu kepada Qatar menerusi pihak ketiga Kuwait pada Khamis lalu, selepas lebih dua minggu memutuskan semua ikatan dengan Qatar dan melaksanakan embargo.
Dokumen itu yang masih tidak diterbitkan tetapi sudah bocor termasuklah penutupan agensi berita Al-Jazeera, punca konflik utama antara Doha dan negara jiran yang menuduhnya menyemarakkan krisis di negara mereka.

Pemuda Bersatu desak belia beri segalanya demi PRU14


Pemuda Bersatu desak belia beri segalanya demi PRU14
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata belia di Malaysia tahu fasal politik, walaupun mungkin tiada pengetahuan mendalam terhadap isu politik tertentu. 
PADA usia 24 tahun, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sudah pun mencipta imej dirinya sebagai seorang ahli politik berkeyakinan dan bercita-cita tinggi, tidak gentar dengan halangan, atau berdepan dengan musuhnya.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata dia gembira dengan imej itu kerana dia jelas dengan sebab utamanya masuk politik – dia mahu memberi semangat kepada belia untuk bangkit dan membantu pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.
“Kini sangat penting bagi malaysia, kerana PRU14 adalah ibu kepada pilihan raya untuk menentukan masa depan Malaysia lagi 20 tahun akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pemenang tiga kali anugerah Pembahas Terbaik Asia pada Kejohanan Debat Parlimen British Asia dan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja itu berkata menyertai politik bukanlah rancangan asalnya, tetapi ia kini menjadi minatnya.
"Bila mula-mula saya sertai Bersatu, saya tidak menyangka akan mainkan peranan besar dalam Bersatu, hanya sertai jadi ahli. Dan waktu itu saya sudah pasti untuk sambung pengajian dan tidak mahu jadi ahli politik sepenuh masa,” katanya.
Bagaimanapun, sejak itu dia sedar hanya dengan menyertai politik, dia dapat melakukan perubahan.
Katanya, pesanannya kepada belia, dan sentiasa menjadi pegangannya agak kontroversi tetapi sangat perlu – ketepikan semua kepentingan lain, dan masuk dalam perjuangan untuk menjadikan Malaysia lebih baik.
“Ini adalah masa tepat untuk melabur sebanyak mungkin dalam politik. Dan jika kita menang, saya akan pergi (meneruskan) belajar atau melakukan apa-apa yang saya mahu.” katanya.
Syed berkata belia di Malaysia tahu mengenai politik, walaupun tidak semestinya mereka mempunyai pengetahuan mendalam terhadap isu politik tertentu.
“Mereka ada kesedaran politik. Mungkin mereka tidak tahu secara mendalam (politik) contohnya 1MDB, tidak tahu terperinci tetapi mereka tahu ada salah guna kuasa tetapi masa sama mereka tahu juga masalah pembangkang. Mereka sangat cerdik. Cuma (pembangkang) kena capai lebih lagi ( penglibatan anak muda).” katanya.
Syed yang juga salah seorang daripada tujuh pengasas Bersatu berkata parti itu sangat berusaha untuk menjadi platform kepada belia untuk turut serta dalam membuat dasar masa depan.
Katanya, Pemuda parti itu membentuk 55% daripada keseluruhan jumlah ahli parti dan bekas perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sangat menyokong program belia dan aktiviti dianjurkan sayap itu.
Syed berkata beliau berharap dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, dan mengintai kerusi di kampung halamannya di Johor, yang juga kawasan kubu kuat Umno.
"Kalau boleh hendak (bertanding) di Johor. Sebab itu tempat asal saya. Saya tahu kawasan (Johor) susah untuk menang dan saya tidak kisah kalau kalah," katanya.

LAWAK ZAHID HAMIDI....

Pandai Zahid Hamidi, hari raya pertama lagi dah buat lawak jenaka - katanya kehadiran  orang ramai di Seri Perdana adalah tanda sokongan kepada Najib Razak.

Dilaporkan jumlah yang hadir untuk berhari raya di Seri Perdana tahun ini ialah seramai kira-kira 75 ribu orang.

Adakah 75 ribu itu tanda sokongan yang memadai buat Najib?

Adakah semua yang hadir itu juga benar-benar menyokong atau sekadar mahu makan?

Mungkinkah juga sebahagian yang datang ini hanya ingin melihat-lihat perhiasan mewah yang dipakai Rosmah Mansor sebagaimana yang digembar-gamburkan media jika dapat bersalam atau memandangnya daripada jarak lebih dekat?

Selain itu, kalau ikut logik Zahid bahawa 75 ribu itu tanda sokongan kepada Najib, bagaimana dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak hadir ke Seri Perdana?

Adakah dalam baik dan memuji, Zahid dalam masa yang sama juga untuk cuba "mengenakan"  Najib?

NEGERI YANG TAK TAHU MENILAI KEINDAHANNYA


Semua sudah berkampung untuk menyambut Aidilfitri,yang tidak dapat pulang atau tiada siapa lagi  yang masih ada untuk pulang ,tetap merindui kampung halamannya dalam kenangan yang memilukan.
Ada kalanya kerinduan tidak seindah realiti yang kita hadapi.Oleh kerana tidak dapat pulang ke kampung tahun ini kerana hendak berhari raya bersama anak dan cucu-cucu di Dungun Terengganu maka saya pun pulang ke Kedah di bulan puasa untuk menziarahi lebih dahulu kubur ibu bapa  yang biasanya di ziarahi di pagi raya di Bedong dan di Alor Setar.
Dan seperti kebiasaannya saya kembali ke Kota Kuala Muda Kedah tanah tumpah kelahiran saya yang bersejarah dan Indah dengan harapan untuk berbuka puasa di Masjid Kota yang meriah di bulan puasa semasa  kecil di kampung,di sinilah kami  bersembahyang tarawih bersama kawan-kawan tetapi alangkah sedihnya masjid ini gelap ketika kami hendak pergi  berbuka puasa baru baru ini malah tidak ada azan berbuka puasa ketika kami menunggu berbuka di sebuah kedai kopi berhampiran. Apakah masjid ini tidak ada bilal dan imam. Bukankah mereka  di bayar gaji atau adakah mereka merasa tidak pernah diawasi oleh Pejabat Agama Daerah?
Adakah ini hanya berlaku di masjid Kota Kuala Muda sahaja atau di masjid-masjid lain juga di Kedah yang di bawah pengawasan Jabatan Agama?
Maka itu apa yang  dikhayalkan tentang kampung saya yang indah,meriah dan damai untuk dirasakan kembali sempena puasa dan Hari raya tidaklah lagi dalam realiti.
Kota pun  tidak banyak berubah,masih dengan pasar lama sejak 70 tahun lalu malah keindahannya telah dirosakan dengan rumah-rumah haram  dalam pekan di bekas stesen bas lamanya. Kotor sekali pandangan disini.
Sayang sekali ini terjadi kepada bandar tertua di negeri Kedah dengan sejarah gemilangnya sebagai tempat bermulanya kesultanan bagi negeri-negeri Melayu (Lihat Sejarah Alor Setar)
Bagaimanapun saya tetap akan kembali ke Kedah kerana tidak ada negeri yang seindahnya di semenanjung dengan kehijauan sawahnya, kebiruan Gunung Jerainya dan sekarang diindahkan pula oleh tanaman pokoko-pokok besar yang berbunga warna-warni di beberapa batang jalanraya termasuk di bandar Alor Serar, tetapi sayang kerajaan negeri tidak tahu untuk mempromosikannya sebagai tarikan pelancong. Bila berbunga, indahnya lebih daripada sakura di Jepun tetapi kita tidak dapat merasakan nyaman dan segar udaranya kerana negara kita panas. Demikianlah sedikit catatan dari seorang yang tetap merindui kampung halamannya kerana tidak dapat pulang ke kampung di Hari Raya walaupun lebih lama tinggal di Kuala Lumpur.
Sawah hijau dikaki gunung,
Sungai mengalir  ke muara,
Sepinya  hati di pantai Dungun,
Badan di sini hati di Kota.

Skandal 1MDB: Kenyataan Majlis Peguam tak masuk akal, kata AG

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menempelak Majlis Peguam Malaysia yang meminta kerajaan supaya tidak mengketepi atau membebaskan individu yang disebut dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
Menurut Apandi, permintaan itu sebagai tidak masuk akal.
“Apa dan bagaimana hendak mengulas apabila Majlis Peguam memberi kenyataan tidak masuk akal,” katanya yang dipetik portal Free Malaysia Today.
Jumaat lalu, Presiden Majlis Peguam, George Varughese melahirkan kebimbangan mengenai cara pihak berkuasa Malaysia meremehkan tuduhan serius dalam saman sivil terbaru DOJ itu.
Varughese berkata tuduhan yang dibuat oleh DOJ itu membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pegawai 1MDB serta sekutu dan ahli keluarga mereka, yang mewajarkan siasatan dalam negara.
Peguam kanan itu berhujah bahawa liputan media tempatan mengenai saman DOJ seolah-olah dipendam, walaupun tuduhan yang dilemparkan adalah agak serius.
Beliau memberi amaran bahawa integriti dan kredibiliti institusi kewangan dan badan kawal selia negara ini akan menjadi pertaruhan memandangkan perkara itu dipantau bukan sahaja di dalam negara tetapi di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Varughese menggesa Apandi mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka semula siasatannya ke atas1MDB dan mendapatkan bantuan daripada DOJ.

Perutusan Aidilfitri Presiden KEADILAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dengan ingatan tulus ikhlas, saudara Anwar dan saya mewakili keluarga, kepimpinan dan keluarga besar KEADILAN mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitr 1438 Hijrah kepada semua sahabat handai, rakan taulan serta muslimin muslimat sekalian dengan lafaz minal eidil walfaizin wal maqbulin. Kemaafan dipohon andai ada silap dan salah, terlanjur kata mahupun perilaku.
Takbir dan tahmid yang berkumandang di pagi hari menandakan tibanya Eidul Fitri. Eidul Fitri merupakan hari kemenangan buat umat Islam. Sebulan menjalankan ibadah puasa. Menahan lapar dan dahaga. Mengajar kita erti ketabahan dan kesabaran dalam perjuangan.
Ramadhan juga mengajar kita kemenangan tidak diperolehi dengan mudah. Namun, ia akan hadir buat mereka yang beriman, bertaqwa dan isitiqamah. Eidul Fitri adalah hari merayakan kemenangan.
Lafaz minal eidil walfaizin wal maqbulin membawa erti semoga kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada fitrah dengan memperolehi kemenangan serta diterima amalan dan segala kebaikan.
Kita harus menginsafi firman Allah S.W.T di dalam Surah At-Tin ayat 4-6. Di mana Allah S.W.T berfirman bahawa DIA-lah yang mengangkat darjat insan dan DIA jugalah yang meletakkan kembali insan di darjat yang hina. Kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Moga kita adalah golongan yang beroleh kemenangan. Golongan yang beriman dan bertakwa. Golongan yang istiqamah memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Kesuraman ekonomi negara tidak mengurangkan kemeriahan hari raya. Hari raya disambut dengan penuh kegembiraan bersama keluarga, sanak-saudara dan handai taulan. Namun, sambutlah kemenangan kita dengan penuh kesederhanaan. Sepertimana kembalinya kepada fitrah.
Dalam kerancakkan pulang ke kampung halaman dan ziarah-menziarahi, haruslah sabar dan cermat di jalanraya serta memandulah dengan berhemah.
Di hari yang mulia ini panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. Rayakanlah kemenangan. Pupuk ukhuwwah di antara kita dan eratkanlah silaturrahim.
Salam Eidul Fitri. Taqaballahu minna wa minkum. Kullu am wa antum bi-khair.

DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Malaysia
Presiden KEADILAN

IGP Wajib Siasat 1MDB, Jangan Lindungi Perompak Atasan Negara


Oleh Saiful Izham Ramli
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk melihat 'beberapa bahagian' dalam siasatan mereka berhubung tuduhan penyelewengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai pelbagai pembelian barang-barang mewah.


TS Khalid berkata, siasatan telahpun bermula tahun lalu (2016) selepas pembentangan laporan Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang memasukkan petikan daripada laporan itu ke dalam dapatannya, dan kemudian dibentangkan di Parlimen pada April 2016, tahun lalu. Laporan Ketua Audit Negara itu kemudiannya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
1. Saya berharap TS Khalid dapat menyiasat isu yang melibatkan maruah negara secara menyeluruh, telus dan sempurna.
Seluruh negara sedang bercakap soal dakwaan wujud "penyalahgunaan" dana 1MDB yang ada kaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
TS Khalid tidak boleh sesekali mengambil sikap acuh tidak acuh dalam menangani skandal terbesar yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara yang bermasalah, iaitu 1MDB ini.
Beliau juga tidak boleh mengecewakan harapan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan kebenaran dan keadilan ditegakkan demi mengembalikan maruah negara, sekiranya pihak polis gagal bertindak secara telus dan tuntas.
Siasatan perlu dibuka semula dan dilakukan segera tanpa sebarang rasa takut atau pilih kasih terhadap semua penjenayah, tanpa mengira status dan kedudukan mereka.
Memandangkan TS Khalid dijadual bersara wajib pada September tahun ini, sesuatu harus dilakukannya segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi Polis Di-Raja Malaysia.
2. Apa yang saya nampak ketika ini, ianya seolah-olah sudah menjadi suatu kelaziman atau 'trend' pihak polis untuk hanya menyiasat pembocor maklumat, dan bukannya si pelaku yang didakwa dalam skandal tersebut.
Najib Razak dirujuk sebagai 'Malaysia Official 1' (MO1) sebanyak 36 kali dalam saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, untuk merampas aset yang dipercayai diseleweng dari syarikat pelaburan strategik 1MDB.
TS Khalid sepatutnya menyiasat apa yang didakwa oleh DoJ sebelum ini.
Mengapakah PDRM seolah-olah tidak berminat untuk menyiasat sedangkan sudah jelas pendedahan yang dibuat bahawa lebih daripada AS$4 bilion telah disalahgunakan dari syarikat pelaburan strategik 1MDB dan sejumlah AS$731 juta telah didakwa secara tidak langsung oleh DoJ, telah dimasukkan ke dalam 'poket' Perdana Menteri?
Dana syarikat pelaburan strategik 1MDB didakwa telah diselewengkan untuk membeli sebuah kapal layar, perniagaan pusat kecergasan, lukisan mewah, barangan kemas dan berlian.

RCI bakal dedahkan lebih banyak mengenai kerugian forex, kata Sidek


RCI bakal dedahkan lebih banyak mengenai kerugian forex, kata Sidek
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat kerugian perdagangan forex Bank Negara Malaysia mengetahui kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia 'adalah lebih besar daripada apa yang didedahkan'.
SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) boleh membantu mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kerugian pertukaran asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1980-an dan 1990-an, kata mantan Ketua Setiausaha Kerajaan Mohd Sidek Hassan kepada Bernama hari ini.
Sidek berkata, Pasukan Petugas Khas mengetahui "angka itu lebih besar daripada apa yang didedahkan".
Bagaimanapun, ia tidak dapat meneliti lebih lanjut kerana batasan-batasan yang dihadapi, katanya dalam temu bual dengan media terpilih semalam.
"Sebagai pasukan petugas, kita mempunyai batasan. Kami ditubuhkan secara pentadbiran dan tidak di bawah undang-undang. Justeru, pasukan petugas itu tidak mempunyai kuasa untuk memaksa sesiapa sahaja untuk mengemukakan sebarang perbincangan atau memberi sebarang maklumat, "jelasnya.
Pasukan itu hanya mempunyai akses kepada dokumen yang tersedia kepada orang ramai, contohnya laporan tahunan BNM dan konsultasi antara BNM dan Tabung Kewangan Antarabangsa.
Sidek berkata pasukan petugas itu tidak boleh memaksa sesiapa sahaja untuk mengemukakan bukti.
"Walaupun anda meminta mereka datang dan mereka tidak mahu datang, tidak ada masalah mengenainya. Dan walaupun mereka datang dan kami menyoal mereka, dan mereka enggan menjawab, kami tidak boleh berbuat apa-apa. "
"Dan ia bukan bersumpah. Walaupun mereka menjawab, kami tidak tahu sama ada itu benar. Oleh itu, itulah sebabnya RCI lebih baik, walaupun selamat untuk mengatakan pasukan petugas khas mempunyai alasan untuk mempercayai kerugian sebenar adalah berbeza dan lebih banyak daripada angka yang diberikan sebelumnya, "kata Sidek.
Walau bagaimanapun, RCI boleh mempunyai akses kepada dokumen yang berkaitan dengan kerugian pertukaran asing, contohnya daripada Kementerian Kewangan atau BNM.

Skandal 1MDB: JASA dakwa denda bank berkaitan IPIC bukan 1MDB

Unit propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendakwa denda €8.985 juta (RM43 juta) yang dikenakan ke atas bank swasta Edmond de Rothschild kerana kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram adalah berkaitan dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), milik Abu Dhabi dan bukan 1MDB .
Panel penasihat JASA, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ini adalah kerana tokoh utama yang terlibat adalah bekas pengarah urusan IPIC, Khadem Abdulla Al-Qubaisi.
Beliau menuduh Reuters dan Finews Asia dengan sengaja mengaitkan 1MDB dengan denda yang dikenakan oleh Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF).
“Jika kita benar-benar menganalisis berita ini, kita akan dapati, pertama, cubaan untuk mengaitkan denda ke atas Bank Edmond de Rothschild dengan 1MDB dibuat oleh Reuters tanpa sebarang sumber rasmi yang dinamakan. Malangnya ia telah dipetik oleh semua agensi berita lain secara tidak bertanggungjawab.
“Kedua, jika kita membaca laporan Finews Asia, individu yang dikatakan mengakibatkan Rothschild terbabit dalam 'skandal' ini adalah Ambroisien dan Ambroisien tidak dikaitkan dengan Arul Kanda, Shahrul Azral Ibrahim Halmi atau 1MDB sebaliknya dengan Khadem.
“(Oleh itu) adalah lebih tepat jika Reuters dan Finews Asia mengaitkan denda ini kepada IPIC kerana 1MDB tidak mempunyai akaun dengan Rothschild,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam melalui Whatsapp.
Justeru, Tun Faisal bertegas bahawa dana yang diselewengkan itu adalah milik IPIC, dan bukannya 1MDB.
“Seperti yang dinyatakan berulang kali, pihak yang kehilangan wang atau dana adalah IPIC dan bukan 1MDB.
“Seharusnya agensi berita melaporkan skandal ini sebagai skandal IPIC dan menyebut dana dan akaun yang terlibat sebagai IPIC linked fund atau IPIC linked account dan bukannya sebagai skandal 1MDB atau 1MDB linked fund dan 1MDB linked account,” katanya.
Menurut akhbar Luxembourg itu - Luxemburger Wort, meskipun kenyataan bank itu tidak menyebut skandal 1MDB tetapi perkara itu memperincikan mengenainya dalam laporan tahunannya yang diterbitkan bulan ini.