Selasa, 27 Jun 2017

Skandal 1MDB: Kabinet digesa umum tindakan diplomatik terhadap AS jika benar saman DoJ bersifat politik


Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesa kabinet mengambil tindakan terhadap saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat jika benar ia bersifat politik sebagaimana kenyataan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hari ini.

"Kenyataan Peguam Negara hari ini yang merumuskan bahawa tindakan saman sivil DoJ adalah bersifat politik adalah satu kenyataan yang cukup serius.
"Saya yakin Peguam Negara mempunyai maklumat yang lengkap mengenai isu 1MDB ini – termasuk laporan Ketua Audit Negara yang masih dirahsiakan, serta pasukan siasatan khas PDRM terhadap isu 1MDB ini – untuk membuat rumusan sedemikian," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Apandi hari ini dipetik berkata, DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
Apandi berkata,tindakan DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bersifat politik.
Fahmi menegaskan Apandi perlu menasihatkan Perdana Menteri untuk segera menerbitkan laporan Ketua Audit Negara tersebut agar orang ramai akan dapat memahami isu 1MDB dan saman DoJ, dan tidak meragui kenyataan yang dibuat Apandi sendiri.
"Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia juga tidak boleh bertolak ansur terhadap tindakan mana-mana kuasa asing terutama yang bersifat politik dengan niat mencampuri urusan dalaman negara.
"Oleh itu, dalam mesyuarat kabinet esok, Perdana Menteri Najib Razak serta jemaah menteri perlu membincangkan kenyataan Peguam Negara ini dan segera mengumumkan tindakan diplomatik yang tegas terhadap Amerika Syarikat demi mempertahan martabat dan kedaulatan negara, termasuk dengan memanggil Duta Besar AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan, serta mengarahkan Duta Besar Malaysia ke AS untuk pulang segera ke Malaysia," ujarnya yang turut mengingatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mengadakan demontrasi di hadapan kedutaan AS sekiranya benar wujud kuasa asing seperti AS yang ingin mencapuri urusan dalaman negara.

KEADILAN rayu OIC pujuk Arab Saudi henti ugut Qatar

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata KEADILAN akan merayu Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk campur tangan dalam krisis di antara Arab Saudi dan sekutu-sekutunya dalam negara Teluk serta Qatar selepas gabungan negara Arab itu mengemukakan 13 tuntutan untuk dipenuhi Qatar dalam masa 10 hari.
Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata ikhtiar itu dilakukan di samping gesaan terhadap Putrajaya untuk memanggil mesyuarat tergempar bagi mengusahakan langkah perdamaian di antara Qatar dan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya.
“Saya menggesa Putrajaya untuk memohon diadakan satu mesyuarat tergempar OIC untuk membincangkan langkah dan usaha perdamaian politik dan diplomatik di antara Qatar dan pihak dipimpin Arab Saudi.
“Mesyuarat ini boleh diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau kota Kuwait. Putrajaya juga patut pertimbang menawarkan Malaysia sebagai perantara kepada negara-negara Islam yang sedang bertelingkah ini.
“Pada masa yang sama, saya menjemput Setiausaha Agung OIC, Yang Berbahagia Dr. Yousef bin Ahmad Al-Othaimeen, untuk memujuk koalisi pimpinan Arab Saudi untuk pertimbang semula jangkamasa 10 hari yang diberi kepada Qatar untuk memenuhi 13 permintaan koalisi tersebut.
“Adalah diharapkan dengan langkah ini kedua-dua belah pihak boleh mengadakan rundingan dan perbincangan yang lebih membangun dalam usaha mendamaikan keadaan,” katanya dalam kenyataan.
Arab Saudi dan sekutu-sekutunya iaitu Mesiri, Emiriah Arab Bersatu, dan Bahrain menghantar 13 tuntutan untuk dipenuhi Qatar pada Jumaat lalu.
Di antara tuntutan tersebut adalah menutup rangkaian berita Al-Jazeera, menutup pengkalan tentera Turki di Qatar, dan memutuskan hubungan dengan Iran.
Qatar akan berdepan ‘sekatan diplomatik’ jika enggan memenuhi tuntutan-tuntuan tersebut.

Hadi lucutkan jawatan, Tuan Ibrahim lantik kembali, adakah PAS dalam masalah?


Hadi lucutkan jawatan, Tuan Ibrahim lantik kembali, adakah PAS dalam masalah?
‎Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man melantik semula empat pemimpin lama PAS yang sebelum ini dilucutkan jawatan oleh Hadi Awang, tindakan yang dilihat pemerhati petanda konflik kepimpinan parti Islam itu. 
PEMERHATI politik percaya pergelutan kuasa mungkin sedang berlaku di dalam parti Islam PAS selepas Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man melantik kembali beberapa pemimpin lama parti yang sebelum ini disingkirkan daripada jawatan mereka untuk memegang beberapa jawatan utama sewaktu ketiadaan Presiden Abdul Hadi Awang.
Veteran PAS Mustafa Ali ialah salah seorang pemimpin utama yang dibawa kembali untuk mengetuai lembaga penasihat PAS yang baru.
Mustafa yang sudah lama memegang jawatan sebagai pengarah pilihan raya parti itu sebelum ini digantikan dengan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bekas setiausaha politik Hadi Awang dalam penstrukturan semula awal Mei lepas.
Dalam balasan WhatsApp kepada The Malaysian Insight, Tuan Ibrahim mengesahkan pelantikan Mustafa.
“Ya, dia pengerusi,” katanya.
Mustafa,72, memberitahu The Malaysian Insight yang dia dimaklumkan pelantikan itu tetapi masih belum menerima surat lantikan rasmi.
“Saya difahamkan yang pelantikan saya dibuat dalam mesyuarat kedua yang dipengerusikan Tuan Ibrahim,” katanya.
Ahli politik veteran PAS yang lain seperti Dr Sanusi Daeng Mariok (bekas naib presiden), Abdul Halim Abdul Rahman (bekas bendahari di ibu pejabat PAS) dan Subky Latif (penulis veteran PAS) juga dilantik kembali Tuan Ibrahim.
Hadi yang sedang bercuti panjang selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara pada 16 Mei, sebelum ini mengarahkan keempat-empat mereka dilucutkan jawatan.

SKANDAL 1MDB: ISTERI MO1 AKAN SEGERA MERAIH SANJUNGAN DUNIA KIRANYA....

Kalau ikut logik Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan "Malaysian Official 1" adalah Najib Razak dan hanya orang bodoh saja tidak mengetahui fakta tersebut, bermakna "isteri MO1"  sudah tentulah Rosmah Mansor.

Ikut logik yang sama, hanya orang bodoh saja yang berani mengatakan "isteri MO1" bukan Rosmah, satu-satunya suri yang ada dalam hati Perdana Menteri.

Ikut logik berdasarkan nama pula, Leonardo Dicaprio, seorang artis Hollywood dan Miranda Kerr, model antarabangsa kelahiran Australia, sudah pasti bukan beragama Islam.
Malah, dalam kehidupan sehari-hari, kedua-dua selebriti tersebut juga tidak mungkin mengamalkan cara hidup Islam.

Namun, kejujuran dan intergiti mereka cukup tinggi serta boleh disanjung setulus hati apabila mengetahui hadiah yang mereka terima berasal dari sumber yang haram dan sedang disiasat oleh DOJ, pihak berkuasa undang-undang di Amerika Syarikat.

Dicaprio, sebaik mengetahui hadiah Oscar yang dimenangi Marlon Brando yang dihadiahkan kepadanya adalah berpunca daripada penggubahan wang haram 1MDB, dengan pantas memulangkan semula trofi tersebut.

Beliau yang pernah berlakon di bawah produksi Red Granite milik Riza Aziz, anak tiri Najib yang harta-hartanya turut menjadi sasaran DOJ untuk disita, dirampas dan dikembalikan kepada Malaysia, juga berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada penyiasatan yang sedang dijalankan.

Selepas Dicaprio, Miranda Kerr pula mengambil langkah terpuji dengan memulangkan barang kemas berharga AS$8.1 juta yang pernah dihadiahkan oleh Jho Low kepadanya.

Beliau nampaknya tidak teruja untuk terus memiliki perhiasan berjuta-juta lantaran mengetahui ia berpunca daripada wang 1MDB yang dicuri.

Skandal 1MDB: 'Isteri MO1 juga mesti pulangankan berlian'

Susulan tindakan bintang Holloywood Amerika Leonardo DiCaprio dan model Australia, Miranda Kerr memulangkan aset yang dicari seperti dinamakan dalam saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, tumpuan kini adalah kepada isteri ‘Malaysian Official 1'(MO1) untuk melakukan perkara sama.
"Dengan DiCaprio dan Kerr memulangkan hadiah berjuta-juta dolar Amerika dari (ahli perniagaan) Jho Low kepada DOJ, semua kini tertumpu kepada 'isteri MO1'," kata pemimpin parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Dua minggu lalu, DiCaprio memulangkan Oscar yang dimenangi oleh Marlon Brando kepada penyiasat Amerika susulan siasatan pengubahan wang haram terhadap 1MDB dan berusaha memulangkan barangan lain yang tidak dinamakan yang diterimanya sebagai hadiah untuk lelongan amal.
Sementara itu, hari ini, Kerr menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta kepada DOJ. Barangan kemas itu dikatakan dihadiahkan oleh hartawan Malaysia, Jho Low yang membelinya dengan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB .
DOJ memfailkan saman sivil ketiga berkaitan 1MDB dan kini meletakkan jumlah yang didakwa diselewengkan pada nilai AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas aset AS$1.7 bilion yang dituduh diperolehi dengan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.
Dalam pemfailan terbaru, DOJ juga menyenaraikan 28 barangan kemas lain, yang didakwa dibeli untuk isteri MO1, termasuk rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membidas DOJ sebagai tidak adil kerana menjadikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - sebagai sasaran dalam saman terbaru.
Menamakan Rosmah sebagai isteri MO1, Abdul Rahman berkata, DOJ memberi bayangan seolah-olah beliau terlibat dan maksud tersirat bahawa beliau telah melakukan kesalahan, sedangkan DOJ tidak merancang untuk merampas barangan kemas itu, termasuk kalung berlian 22 karat tersebut, yang didakwa dibeli untuk isteri MO1.
Sebelum ini, susulan pemfailan saman berkaitan 1MDB yang pertama, Rahman juga mengesahkan bahawa 'MO1' yang disebut dalam dokumen itu adalah Najib.

Kenapa Hadi tak cadangkan hudud ke atas Najib?

Amat mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mendakwa negara asing yang menyiasat skandal 1MDB sebagai cubaan campur tangan kuasa asing.
Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan di mana ia boleh mengelirukan rakyat.
Ini kerana agama dijadikan perisai bagi menutup salahlaku yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya dalam skandal berskala mega ini.
Kenyataan Presiden PAS yang mahukan undang-undang Malaysia bertindak menyelesaikan skandal 1MDB adalah satu kenyataan naif seorang ahli Parlimen.
Ini kerana laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibekalkan kepada beliau telah mendedahkan bahawa 1MDB telah membayar kepada Aabar BVI sebuah syarikat palsu yang ditubuhkan untuk mencuri wang 1MDB, sehinggakan IPIC dan Aabar sebenar menyaman 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Walaupun dengan bukti yang nyata ini, pihak berkuasa di negara ini termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal bertindak sehingga sekarang.

Malahan, peguam negara sendiri gagal mendakwa Najib walaupun bukti kemasukan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2.6 billion dari akaun Tanore dan RM42 juta dari SRC yang meminjam wang KWAP ditunjukkan sendiri oleh beliau.
Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah mengeluarkan kenyataan tidak akan menyiasat skandal 1MDB.
Pihak polis pula sampai ke hari ini masih menyiasat sedangkan Jho Low dibiarkan bebas.
Sikap membisu institusi penguatkuasaan undang-undang negara dalam skandal 1MDB ini telah mencemar keluhuran undang-undang negara ini. Ironinya, Presiden PAS pula boleh percayakan mereka.
Tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menyiasat dan menyita aset-aset mewah bukanlah satu campurtangan ke atas negara ini.
Sebaliknya, tindakan DOJ tersebut adalah akibat salahlaku jenayah berkaitan penyelewengan skandal 1MDB kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang dan sistem kewangan Amerika Syarikat.
Bukan sahaja Amerika Syarikat yang menyiasat skandal ini, malahan banyak lagi negara lain terutamanya Singapura yang setakat hari ini, telah menghukum lima orang pegawai bank dan mendenda lapan bank dengan dua bank Swiss diarahkan ditutup.
Negara-negara luar hanya bertindak atas nama integriti dan digniti yang gagal dilakukan pentadbiran negara hari ini.

Skandal 1MDB: Abdul Hadi tidak faham rentetan 1MDB


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa gagal memahami rentetan latar belakang sesuatu isu menjadi punca pihak yang menentang terpaksa mengundang campurtangan asing dalam isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Abdul Hadi Awang Pengarah Komunikasi Amanah Negeri Kedah Ridzwan Abu Bakar mengulas surat terbuka Abdul Hadi pada Sabtu lalu, berkata, Saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) adalah terhadap pihak yang berurusan di Amerika syarikat dan di atas kesalahan yang didakwa berlaku di Amerika.
Justeru ujarnya, Abdul Hadi perlu memahami rentetan itu terlebih dahulu sebelum beliau mendakwa adanya campur tangan asing dan undangan campur tangan asing ke negara ini.
"Demikian juga dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi bahawa ada pihak yang hanya mahukan kemenangan walaupun dengan campur tangan asing juga adalah kesimpulan yang silap, ini kerana beliau telah bersangka jahat terhadap semua pihak lain, seakan-akan pihak yang berjuang untuk 'selamatkan Malaysia' hanya pelahap terhadap kemenangan" ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Rizdwan lagi, penentangan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Najib akan tetap diteruskan di negara ini.
Ridzwan Abu Bakar"Penentangan terhadap Barisan Nasional, Najib dan sekutunya akan terus berlangsung di Malaysia.Sekarang pun pelbagai usaha telah dilakukan, saman, report SPRM, demostrasi, penyertaan dalam perbahasan di Parlimen telah dilaksanakan oleh parti pembangkang dan akan terus dilakukan.
"Datuk Seri Abdul Hadi juga perlu sedar bahawa segala saluran untuk membuktikan salahguna kuasa BN telah disempitkan oleh Najib dan BN, hattalaporan berkaitan 1MDB pun diOSAkan, bukankah Datuk Seri Abdul Hadi pernah nyatakan OSA adalah akta yang menafikan hak rakyat untuk mengetahui perkara yang sebenar.
"Adapun pengunaan beberapa nas yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi  dalam surat tersebut ternyata hanyalah kosmetik untuk menampakkan seruan tersebut adalah Islami. Apabila latarbelakang isu tidak difahami dengan tepat dan kesimpulan itu ternyata tempang, maka pengunaan ayat itu pun tidak tidak kena pada tempatnya," ujarnya.
Pada Sabtu lalu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyeru melalui surat terbukanya kepada pemimpin parti politik pembangkang agar jangan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman negara seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB.
Beliau meminta agar jangan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian isu dalam negara oleh mahkamah di negara asing kerana pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan negara ini.

Skandal 1MDB: Khalid digesa buktikan siasatan polis


Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak agar menyatakan sama ada pihak polis sudah atau belum menjalankan siasatan terhadap beberapa nama yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya memohon pencerahan daripaada Khalid sama ada PDRM sudah menyiasat Najib Razak, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz serta keseluruhan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat 1MDB?
"Semua penama-penama ini sudah dipanggil untuk proses siasatan ataupun belum?
"Kalau Khalid kata siasatan belum selesai macamana beliau kata saya ditangkap pada tahun 2016 kerana cuba sabotaj ekonomi negara?," soal Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau mengulas kenyataan Khalid pada Ahad yang dipetik berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB.
Khalid disoal wartawan sama ada terdapat sebarang arahan dari pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.
Polis menubuhkan sebuah pasukan penyiasat pada April 2016 untuk meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan berkenaan dibentangkan.
Pada April tahun ini, Khalid memberitahu bahawa siasatan itu telah selesai.
Pada 17 Jun lalu, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.
Khairuddin Abu Hassan 4Justeru Khairuddin berkata, beliau hairan dengan sikap Khalid yang berkata, peguan Negara mengarahkan PDRM menyiasat kes 1MDB secara lebih mendalam.
Ini kerana dakwa Khairuddin lagi, beliau telah membuat laporan sejak 3 tahun lalu, soalnya, adakah siasat masih belum diselesaikan?
"Kenapa negara-negara luar yang saya buat laporan seperti singapura, switzerland, amerika syarikat, hong kong, peranchis serta united kingdom sudah pun selesai dengan siasatan-siasatan mereka?!
"Malahan, di singapura dan amerika syarikat tindakan undang-undang sedang serta sudah diambil keatas semua pengkhianat yang terlibat dengan kes skandal kewangan terbesar di dunia pada dekad ini.

Skandal 1MDB: Tindakan DoJ berunsur politik, kata Apandi



Tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bersifat politik.
Apandi AliPeguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata ia berikutan DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
"Jika mereka minta (sebarang maklumat berkaitan 1MDB) adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi bantuan. Jadi saya buat rumusan tindakan itu berbaur politik.
"Tindakan DoJ juga dipercayai berdasarkan maklumat yang diberi oleh segelintir pihak dari Malaysia sendiri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Keluarga Tok Awang Gagah di Salor, Kota Bahru hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 800 anggota keluarga keturunan Tok Awang Gagah atau nama sebenarnya Awang Kamarudin yang merupakan salah seorang pendekar yang digeruni di Kelantan sekitar 1920-an. Mohamed Apandi merupakan cicit kepada Awang.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam surat terbukanya baru-baru ini dipetik sebagai berkata sejarah mengajar bahawa campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian.
Beliau turut dipetik sebagai berkata mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah ˜tidak beriman dan budiman".

Hadi jahil atau kroni Umno, kata pakar undang-undang


Hadi jahil atau kroni Umno, kata pakar undang-undang
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikecam kerana mengatakan skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB, harus diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan bantuan orang luar. 
PAKAR undang-undang dan aktivis mengecam Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana bersikap jahil apabila mengatakan skandal kewangan, seperti 1MDB, harus diselesaikan tanpa bantuan pihak asing.
Mereka berkata kesalahan yang didakwa dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilakukan di Amerika Syarikat dan ia berhak bertindak terhadap pelaku.
Hadi pada Khamis menerbitkan surat terbuka, mengatakan skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB, harus diselesaikan secara dalaman berbanding menjemput bantuan asing.
Peguam Ambiga Sreenevasan berkata tiada sebarang tindakan undang-undang di Malaysia, dengan agensi penguatkuasaan tempatan melengah-lengahkan siasatan terhadap 1MDB, manakala Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mengajukan tiga saman sivil untuk merampas aset yang dibeli dengan dana berjumlah AS$4.5 bilion (RM19.4 bilion) didakwa diambil daripada firma pelaburan negara.
"Sudah tentu, ramai yang gembira kerana ada sesuatu sedang dilakukan di luar negara tentang ibu semua skandal ini kerana penguatkuasa undang-undang di Malaysia tidak melihat sebarang kesalahan walaupun terdapat bukti besar yang berlawanan," kata Ambiga, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).
Mengenai surat terbuka Hadi, bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, ia mencerminkan "salah faham" tentang ciri tanpa sempadan aktiviti jenayah yang berkaitan dengan 1MDB.
"Ia tidak terhad kepada Malaysia. Ia bersifat antarabangsa. Dan setiap kerajaan luar, bagi setiap jenayah yang dilakukan di sana, ia mempunyai hak untuk mengambil tindakan. Kita tidak boleh menghentikannya," kata Ambiga.
"Sebenarnya, kita tidak sepatutnya mengganggu sistem perundangan mereka dan memberitahu mereka apa yang tidak atau boleh dilakukan. Mencadangkan ia ditangani secara domestik adalah sia-sia. Kami tahu tiada apa yang akan berlaku walaupun peguam negara nampaknya meminta polis untuk menyiasat lebih lanjut."
Pemimpin 'myopic'
Hadi berkata sama ada pihak berkuasa mengendalikan skandal kewangan dengan "sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri".
“Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita,” katanya.
Ramon Navaratnam, seorang pakar ekonomi yang mengetuai pemikir Pusat Pengajian Dasar Awam, berkata Hadi "sangat defensif dengan status quo".
"Kita tidak boleh menjadi 'myopic' (tidak berpandangan jauh) dan hidup sendiri," kata bekas pengerusi Transparency International.
"Kita perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh. Kita perlu mengalu-alukan kritikan membina," kata Ramon.

Skandal 1MDB: Model serah barangan kemas AS$ 8.1 juta kepada DOJ

Model kelahiran Australia, Miranda Kerr menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat seminggu selepas dokumen saman itu mendedahkan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low membelinya dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB.
Akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap model itu bahawa Kerr memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.
"Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan," katanya.
"Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya."
Menurut WSJ, DOJ enggan mengulas mengenai perkembangan tersebut.
DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$200 juta untuk membeli kemas.
Walaupun DOJ tidak menyenaraikan semua pembelian yang didakwa itu, ia bagaimanapun berkata, Low membelanjakan sekurang-kurangnya AS$9.9 juta untuk barang kemas untuk Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.
Low juga didakwa membelanjakan AS$28.6 juta untuk barangan kemas isteri ‘Malaysian Official 1'.
Menurut DOJ, pembelian pertama yang direkodkan oleh ahli perniagaan itu yang didakwa menggunakan wang yang diselewengkan dari 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin berlian dan padanan anting-anting berlian untuk ibunya.
Bersama-sama dengan cincin pertunangan dengan "wanita yang tidak dikenali", jumlah bil Low untuk barang kemas dari Lorraine Schwartz ialah AS$2.84 juta.
Pada 5 Disember 2012, Low didakwa membayarnya menggunakan sebahagian daripada AS$1.367 bilion yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB dalam apa yang DOJ gambarkan sebagai fasa Aabar BVI.
Ini meningkat kepada 40 peratus daripada hasil yang diperoleh melalui dua tawaran bon, didakwa telah dipindahkan kepada entiti British Virgin Islands yang dipanggil Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI).
Aabar BVI adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang didakwa diwujudkan untuk memberi gambaran palsu bahawa ia adalah anak syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC).
Wang untuk membayar barang kemas ibu Low ibu telah melalui Good Star Limited serta akaun bapa ahli perniagaan itu di Singapura.

Skandal 1MDB: Semua negara berkomplot jatuhkan k’jaan Najib?

Banyak kenyataan telah dibuat tentang pengumuman siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas ‘Malaysia Official 1' (MO1) dalam isu 1MDB.
Ada yang meminta kerajaan Malaysia mengambil tindakan sepatutnya untuk mendapatkan kembali hasil yang dikatakan hak rakyat yang telah diselewengkan.
Ada juga pihak pemerintah serta ahli kerajaan dan penyokong dari golongan awam dan juga para penasihat agamawan yang menafikan tuduhan serta meminta tabayun dahulu.
Sememangnya tabayun itu dituntut oleh Islam tetapi pihak yang menuntut bertabayun itu mestilah juga berbuat perkara sama pada siasatan dan tuduhan itu. Tabayun mestilah datang dari semua pihak untuk membuat kesimpulan yang tepat dan adil.
Dakwaan kuasa asing Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia mesti dikutuk sekeras-kerasnya jika ia benar, namun perlu diketahui bahawa bukan hanya Amerika sahaja mengambil tindakan undang-undang sedemikian rupa ke atas Malaysia.
Turut berbuat demikian adalah negara-negara seperti Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Luxembourg, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.
Adakah negara-negara Arab, Eropah, Asean dan Asia ini semua ini pun berhasrat menjatuhkan kerajaan Malaysia juga?
Perlu diingat semua negara yang disebut merupakan Pusat Kewangan Dunia terkemuka di mana reputasi perniagaan kewangan dan bank mereka dihormati dunia termasuk oleh Malaysia.
Kalau tindakan mereka salah, maka Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang sekaligus mampu merosakkan nama baik sistem kewangan serta bank mereka.
Maka persoalannya, apa motif negara yang lebih kaya dari Malaysia hendak menjatuhkan Malaysia?
Abu Dhabi, Singapura dan Switzerland, selain dari Amerika, telah menutup beberapa bank utama yang besar dan menangkap serta menghukum beberapa tokoh bank, kewangan dalam kalangan rakyat mereka sendiri kerana isu 1MDB.
Ini adalah tindakan yang amat serius yang boleh menjejaskan sistem bank mereka sekiranya tidak betul langkah tersebut.
Perlu juga difahami bahawa mereka telah bertindak di dalam sistem negara mereka sahaja untuk menjaga sistem kewangan mereka kerana wang haram dari Malaysia dibawa ke sana dan adalah satu kekeliruan jika mendakwa mereka hendak masuk campur dalam sistem Malaysia.
Malahan di Amerika mereka merampas wang serta harta haram untuk dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang berhak menerimanya. Samalah di Malaysia, kita juga mempunyai sistem undang-undang anti penggubalan wang haram.
Perlu diingat Jho Low adalah seorang rakyat Malaysia yang merupakan rakan kongsi niaga yang rapat dengan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membawa wang 1MDB ke Amerika, Abu Dhabi, Singapura; Switzerland dan Hong Kong.
Najib adalah MO1 dalam 1MDB seperti yang diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Negara-negara ini berhak menyiasat dan menghukum perbuatan haram di negara mereka seperti kita juga berhak menghukum mati pengedar dadah asing yang melakukan jenayah tersebut di Malaysia mengikut undang-undang kita.
Negara asing tidak boleh masuk campur tindakan mahkamah Malaysia ke atas warga mereka kerana jenayah berlaku di negara kita.

SEPERTI TAHUN2 SEBELUMNYA, NAJIB "HILANG" LAGI DI HARI RAYA KEDUA

Seperti suatu kemestian, bahkan bagai acara tahunan, Najib Razak bercuti lagi ke luar negara pada Hari Raya kedua kali ini.

Menurut laporan beberapa media Indonesia, Najib dan keluarganya akan menghabiskan masa selama lima hari bercuti di Bali bermula semalam.

Di Bali, beliau dan keluarganya akan menginap di Hotel St. Regis, hotel yang sama pernah menjadi tempat penginapan Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti sebelum ini.
Turut sama berada di Bali ialah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Namun, tidak dipastikan mereka akan bertemu atau sebaliknya.

Selepas menghabiskan cuti selama lima hari di Bali, Najib difahamkan akan terbang pula meneruskan lagi percutiannya ke Perth, Australia.

Namun, seperti tahun-tahun sebelumnya juga, percutian Najib dan keluarga di Hari Raya kedua ini dilakukan secara senyap-senyap dan tidak ada menteri kabinet, pemimpin UMNO dan penyokong yang menghantar untuk mengalu-alukan pemergiannya.

Menjelang Hari Raya baru-baru ini, askar maya pro Najib sibuk mengecam Tun Mahathir Mohamad yang diketahui akan menyambut lebaran di London bersama keluarganya.

 Gambar-gambar beliau ketika berada di KLIA dan kemudian menunaikan solat sunat Aidil Fitri di London malah tular di media-media sosial.

Tanpa usul periksa dan memahami bahawa Tun Mahathir ada beberapa jemputan rasmi di London dan pemergiannya itu kemudian turut disertai anak-anak serta ahli keluarganya yang lain kerana mereka ingin menyambut Hari Raya bersama-sama, ramai askar maya pro Najib mempertikai dan menyindir tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

Hakikatnya, mereka lupa, Najib hampir setiap tahun, sebaik saja selesai majlis hari raya pada hari pertama di Seri Perdana, biasanya akan terbang bercuti ke luar negara untuk setidak-tidaknya selama dua minggu lamanya.

Kedai runcit semakin tenggelam, gagal bersaing pasar raya moden


Kedai runcit semakin tenggelam, gagal bersaing pasar raya moden
Walau ada kedai runcit yang masih bertahan, ia dijangka berakhir dengan persaingan sengit daripada pasar raya lebih besar dan menarik seperti KK Mart dan 99 Speedmart.
IA wujud sejak bertahun lamanya, tetapi prospek kedai runcit tradisional kelihatan semakin suram kerana banyak dijangka ditutup dengan kedatangan pasar raya baru yang lebih moden.
Walaupun, sesetengahnya masih mampu bertahan disebabkan pelanggan tetap yang ada, tren itu dijangka berakhir dengan persaingan sengit seperti KK Mart, 99 Speedmart dan lain-lain kedai lebih menarik.
Pengenalan pasar raya moden bukan satu-satunya masalah kerana ramai berdepan pelbagai isu seperti pewaris, kadar sewa yang tinggi dan kos lain.
Bagi pemilik pasar mini As-Sakhiya, Abdul Alim Sidique, 59, mengakui bertungkus-lumus dalam perniagaan untuk terus mempertahankan kedainya.
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun lalu, lima kedai runcit di kawasan Taman Melawati ditutup kerana terpaksa bergelut untuk terus hidup.
"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, jualan saya dapati turun hingga 30%. Di kawasan ini dulu ada enam kedai runcit dan kini hanya saya yang masih tinggal," katanya kepada The Malaysian Insight.

Abdul Alim Sidique terpaksa bekerja keras untuk memastikan kedai runcitnya terus bertahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2017.
Abdul Alim Sidique terpaksa bekerja keras untuk memastikan kedai runcitnya terus bertahan.
Alim berkata untuk terus bertahan, mereka menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan seperti penghantaran barangan ke rumah.
"Kelebihan kedai runcit kami, lebih kenal pelanggan kami. Bukan seperti pasar raya yang datang dan pergi. Kami juga buat servis hantar barang ke rumah dengan syarat harga barang dibeli melebihi RM50," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mengatur strategi agar setiap peruncit bergabung membeli barangan secara pukal untuk mendapatkan harga lebih murah.
Penasihat Mawar, Bazeer Ahmed berkata barang yang tahan sekurang-kurangnya enam bulan juga menjadi pilihan peruncit.
“Selepas kemunculan pasar raya besar, kita peniaga kecil tidak dapat bersaing. Mereka beli barang 1,000 kotak, kami hanya 200 kotak. Harga lebih mahal. Kami tidak dapat membeli barang secara pukal seperti mereka.
“Jadi, setiap peruncit digalakkan berkongsi untuk pembelian ini.
“Sebagai contoh, barangan seperti susu tepung bayi atau susu cair, kicap, kita beli bersama kedai runcit lain untuk mendapatkan harga lebih murah. Barangan juga perlulah mempunyai tarikh luput sekurang-kurangnya enam bulan.
“Kami jual barang alternatif yang jarang digunakan di mana tidak dijual di pasar raya. Semua benda kami jual seperti kapur barus,” kata pemilik Syarikat Sri Alam.
Strategi itu turut dilakukan Shukriah Mat Ali, 46, yang sudah hampir 20 tahun mengusahakan Pasar Mini As-Syakirin bersama suaminya.
Kedainya turut menyediakan perkhidmatan alternatif seperti menjual barangan basah untuk pelanggan.
“Kami ada lori, jadi setiap pagi kami akan ambil sayur dan ayam di pasar. Ia tidak boleh disimpan kerana pelanggan mahu yang segar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shukriah turut menambah, perkara paling penting adalah pemilik perlu sentiasa memantau dan mengetahui semua keperluan di kedai.
Malah, beliau juga sudah melatih beberapa anaknya untuk mewarisi perniagaan tersebut.
“Kami hampir menutup kedai beberapa tahun lalu yang berpunca daripada masalah pekerja yang tidak amanah tetapi lepas itu kami bangkit.
“Kami perlu menjaga kaunter bayaran sendiri, dan paling penting orang yang kita percaya iaitu waris sendiri untuk menjaga kedai.
“Kita tidak boleh berharap kepada pekerja sahaja. Pemilik kedai perlu tahu melakukan semua kerja,” katanya lagi.
Beri perkhidmatan terbaik
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng sedar kebanyakan kedai tidak mempunyai perniagaan yang bagus dan menasihati ahlinya agar memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan yang lebih baik.

AKHIRNYA SABAH, SARAWAK TOLAK CUKAI PELANCONGAN, DIMANA SUARA "MENTERI JANTAN"?

Pada 15 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan isu cukai pelancongan yang mencetuskan perbalahan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz dengan Sabah dan Sarawak, telah selesai.

Menurut Zahid, isu itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan persetujuan telah dicapai bahawa tiada lagi kenyataan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.
"Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan kami memutuskan bahawa isu tersebut telah selesai, dan tiada lagi kenyataan boleh dikeluarkan sama ada daripada pegawai kerajaan negeri atau persekutuan.

"Saya sendiri bertemu dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak pada Rabu. Isu ini telah ditutup dan mari kita buka buku baharu," kata beliau pada sidang media di sini.

Itu kata Zahid pada 15 Jun lalu, tetapi apa jadi hanya tidak sampai dua minggu setelah pengumuman selesai itu diucapkannya.

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg berkata, cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan di Sarawak pada 1 Julai ini kerana perbincangan mengenainya dengan Putrajaya masih lagi berjalan.

Kata beliau, segala-galanya belum muktamad, hanya cara kerja yang selesai, sedangkan ada isu lain yang perlu dibincangkan, antaranya ialah berkaitan tempahan awal bilik-bilik hotel.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun juga senada dengan Sarawak bahawa cukai pelancongan tidak akan dikuatkuasakan di negeri itu pada 1 Julai depan ini.

Alasan beliau ialah hotel-hotel belum lagi mendaftar untuk cukai tersebut.

"Jadi, bagaimana kerajaan akan mengutip cukai itu," katanya sambil menambah, persediaan logistik lain juga masih belum selesai.