Sabtu, 1 Julai 2017

NAJIB - NAMA YANG MUNGKIN PUPUS DI MALAYSIA

Walaupun karier politik Tun Mahathir Mohamad penuh warna-warni, tetapi oleh kerana beliau tiada skandal peribadi atau melakukan pencurian wang untuk diri sendiri, sanjungan, penghargaan serta penghormatan tidak pernah berkurangan diterimanya.

Bukan saja ia diluahkan melalui lafaz kata, tulisan atau dalam bentuk kad ketika berkuasa,  ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, ramai yang menamakan anak dan cucu mereka sempena namanya.

Malah, setelah berbelas tahun bersara, baru-baru ini di Langkawi ada sepasang suami isteri yang masih mahu menamakan anak mereka dengan nama Mahathir.

Tetapi, adakah sesiapa di Malaysia ini mahu menamakan anak atau cucu mereka dengan nama Najib?

Di kalangan pemimpin UMNO, yang diketahui ada anak bernama Najib hanyalah Isa Samad, bekas Pengerusi Felda dan FGV yang kini diberi tugas baru menerajui SPAD. 

Itu pun pemilihan nama tersebut dibuat lama sebelum ini, sebelum Najib menjadi Perdana Menteri dan belum terkait lagi dengan skandal 1MDB yang membuatkan namanya "busuk" serta diperkatakan di seluruh dunia.

Najib, anak Isa itu kini sudah dewasa dan merupakan salah seorang Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Bagi pemimpin dan ahli UMNO yang lain yang gigih membela dan mempertahan Najib, jika mereka ada anak baru, tidak kira dengan isteri lama atau isteri baru, sediakah mereka menamakannya dengan nama Najib?

Begitu juga bagi pembela, penyokong serta pengampu Najib, di alam nyata atau di alam maya, mahukah mereka menamakan anak, cucu atau keturunan mereka dengan nama Najib sebagaimana mereka menyanjung, membela dan mempertahankan Perdana Menteri yang bernama Najib itu?

Pas kesal campur tangan asing dalam Skandal 1MDB..??


KOTA BHARU - Pas kesal apabila isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan campur tangan negara luar sedangkan tindakan itu boleh merugikan Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas secara jelas menolak 1MDB kerana ia didakwa merupakan satu perniagaan yang salah, sama ada dari sudut syarak atau hukum perniagaan.
“Jabatan Kehakiman (DOJ) berhak untuk melakukan siasatan ke atas siapa yang dia mahu yang melibatkan negara masing-masing termasuk isu 1MDB, tetapi kita rakyat Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa campur tangan dengan negara asing.
“1MDB ini bukan payah untuk difahami kerana rakyat sudah tahu ia adalah satu perniagaan yang dianggap melibatkan riba dan harta rakyat sebagai jaminan dalam perniagaan itu, malah banyak tadbir urus yang salah, juga ada campur tangan terutama politik,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata, mencukupi atau memuaskan hati rakyat sekiranya suruhanjaya bebas ditubuhkan, namun apa yang menjadi masalahnya kata beliau, kerajaan dianggap gagal untuk berbuat demikian.
“Mereka bahkan cuba menyembunyikan sesuatu dalam siasatan 1MDB, jadi rakyat sudah boleh buat keputusan bahawa kerajaan BN memang gagal menangani isu 1MDB dan kita tidak perlu campur tangan negara asing.
“Kita tak akan jadikan DOJ sebagai rujukan kerana kita sendiri sudah ada kepakaran untuk menyiasat dan kita yakin isu 1MDB ini boleh disesuaikan dengan cara pembentukan suruhanjaya bebas, malah penubuhan itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk pembangkang dan suara rakyat sendiri,” katanya.
Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, hanya BN sahaja yang menolak penubuhan suruhanjaya bebas tersebut, oleh itu segala tangungjawab terhadap isu 1MDB terletak kepada mereka.
“Pas berharap rakyat dapat menilai dengan baik dan menyeru rakyat supaya bangkit memastikan pemerintahan politik kembali ke landasan yang benar dan diurus tadbir dengan baik,” katanya.

Pakatan Harapan di Selangor tumbang jika PKR masih bersama Pas

Ir Izham Hashim Amanah
PKR di Selangor boleh berkongsi kerusi mereka pada masa ini dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika berminat untuk terus bekerjasama dengan Pas di luar daripada kerangka Pakatan Harapan, tegas Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim.
Walau bagaimanapun, ujarnya, komposisi majmuk pengundi di negeri itu dijangka mengundang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya tetap bekerjasama dengan Pas yang kini dilihat mesra Umno-BN.
"Sekiranya, pengundi bukan Melayu menolak Pakatan Harapan kerana masih bersama Pas maka kerajaan Pakatan Harapan Selangor akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang," ramalnya.
Timbalan Pengarah Strategi Amanah Nasional itu berkata, sebarang keputusan untuk bertanding mana-mana kerusi akan diputuskan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan.
"Pas bukan komponen dalam Pakatan Harapan. Amanah tidak bersedia untuk berkongsi kerusi dengan parti yang bukan daripada Pakatan Harapan," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Kedudukan semasa Dun di Selangor menyaksikan Pakatan Harapan (PKR-Amanah-DAP) menguasai 30 kerusi, Pas 13, BN 12 dan Bebas 1 kerusi.
Mengulas sikap pengundi bukan Melayu, Izham berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun tahun lalu bukti segmen pengundi terbabit menolak Pas.
"Kemungkinan tinggi mereka menolak parti lain yang masih mahu bekerjasama dengan Pas seperti kata Datuk Husam Musa, jangan kita anggap bahawa pengundi bukan Melayu akan sentiasa berpihak dengan kita," ujarnya.
Husam yang merupakan Naib Presiden Amanah kelmarin berpendapat Pakatan Harapan di Selangor terancam jika PKR masih mahu bekerjasama untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di 15 Dun yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
Beliau dalam program Dialog Isu Semasa Perantau Bersama Pakatan Harapan di Kota Bharu itu berkata, risiko kerajaan Pakatan Harapan di negeri berkenaan tumbang tidak dapat dielak memandangkan Pas hampir pasti kalah di kesemua kerusi yang mempunyai kira-kira 20 peratus pengundi Cina.
Lanjut, Izham menjangkakan pengundi bukan Melayu mungkin mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi jika sudah sampai tahap "menyampah" dengan BN dan Pakatan Harapan.
"Mungkin juga mereka (pengundi bukan Melayu) akan pilih calon-calon yang dirasakan berakhlak dan membawa mesej perubahan sahaja daripada Pakatan Harapan dan bukan semua calon Pakatan Harapan," ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegur penggunaan kata "kerajaan PKR" di Selangor memandangkan, jelasnya, tanpa DAP dan Amanah, PKR tidak akan mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Saya ke Pantai Timur dengan mesej kesederhanaan, kata Kit Siang


Saya ke Pantai Timur dengan mesej kesederhanaan, kata Kit Siang
Lim Kit Siang baru sahaja balik dari melawat 12 bandar di Pantai Timur semasa Aidilfitri dengan misi untuk memerangi ekstremisme.
SECARA politik, DAP tidak banyak berusaha di negeri majoriti Melayu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Tetapi pemimpin DAP Lim Kit Siang baru-baru ini berkunjung ke sana dengan mesej kesederhanaan dan muhibah kerana ketiga-tiga negeri itu dikira, bukan dalam jumlah undi berpotensi untuk parti, tetapi kerana mereka adalah sebahagian daripada Malaysia.
Baru sahaja balik dari melawat 12 bandar di Pantai Timur semasa Aidilfitri, Lim berkata beliau sedang dalam misi untuk memerangi ekstremisme, walaupun beliau mengakui pilihan raya akan datang adalah penting untuk masa depan Malaysia.
Beliau berkata, apa yang lebih penting daripada parti-parti politik adalah ujian yang kini dihadapi Malaysia - membina negara, dan sama ada negara ini menjadi negara yang lebih berjaya atau gagal.
"Kita perlu mempromosikan nilai penting kesederhanaan dan muhibah, bukan ekstremisme yang semakin bercambah," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Pulau Pinang di Nibong Tebal hari ini.
Ketua Parlimen DAP itu berkata, terdapat kebimbangan unsur IS sedang berakar di Asia Tenggara, walaupun kumpulan pengganas itu diarah kembali ke Syria dan Timur Tengah.
"Tetapi IS mempunyai penyokong di seluruh dunia, termasuk di Asia. IS Asia meliputi negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Myanmar, Thailand dan Jepun.
"Kami juga mempunyai tokoh penting dari Malaysia, seperti pembuat bom yang dahulu menjadi pensyarah Universiti Malaya ... kita tidak boleh biarkan pelampau membuat rusuhan.
"Kita perlu mewujudkan keadaan, di mana kita mempunyai semua kaum dan agama yang beroperasi secara sederhana dan kemudian kita boleh bercakap mengenai Malaysia mencapai zaman keemasan, bukannya menjadi kleptokrasi global di mana hak asasi manusia tidak dihormati."
Dan inilah sebab mengapa Lim mengembara ke negeri-negeri Pantai Timur, di mana DAP tidak bertanding dengan cara yang besar dalam pilihan raya umum akan datang.
"Pantai Timur juga merupakan sebahagian dari Malaysia. Di negara ini, saya percaya kita semua orang yang sederhana, tanpa mengira kaum dan agama kita.
"Saya sepatutnya menjadi 'jembalang'," katanya sambil memetik label yang diberikan pesaing politik yang menggelarnya sebagai anti-Melayu, anti-Islam, komunis, ejen asing dan juga syaitan.

Mustahil PRU14 dalam 3 bulan terakhir tahun ini, kata penganalis



Mustahil pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan pada bulan Oktober, November atau Disember kerana bajet 2018 yang dibentang pada bulan Oktober hanya akan diluluskan selepas mendapat persetujuan ahli parlimen.
Dewan Rakyat akan bersidang pada 23 Oktober hingga 30 November manakala persidangan Dewan Neagra hanya akan bermula pada 4 November hingga 19 Disember.
Dr Awang Azman Awang PawiHal ini sekali gus menolak spekulasi bahawa parlimen dibubarkan selepas pembentangan bajet dengan andaian kerajaan akan mengumumkan bonus kepada penjawat awam yang menjadi penyokong kuat BN dan akan menggembirakan mereka.
Pelbagai projek pembangunan akan diumumkan bagi tahun 2018 dijangka mampu dapat memancing lebih banyak lagi pengundi.
"Bulan November dan Disember pula ialah cuti sekolah. Ramai rakyat Malaysia bercuti di luar kawasan mereka sama ada dalam mahupun luar negara.
"Pada bulan November dan Disember juga dikaitkan dengan musim tengkujuh dan banjir. Sudah tentu pihak kerajaan mengelak untuk mengadakan PRU pada bulan November dan Disember," kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi seperti disiarkan Sarawak Voice.
Beliau juga berkata, pada bulan Oktober terdapat dua peristiwa penting bagi negara iaitu lawatan bersejarah Presiden China Xi Jinping dan perasmian Xiamen University Malaysia yang melambangkan kerjasama ampuh Malaysia-China diyakini mampu meningkatkan imej positif kerajaan Barisan Nasional.
"Pada ketika itu semua jemaah kabinet akan hadir maka tidak mungkin parlimen dibubarkan pada bulan Oktober ini. Sekiranya dibubarkan, kemungkinan lawatan bersejarah Presiden China ditangguhkan," katanya.
Namun beliau berkata, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin melanggar arus jika mengadakan PRU14 pada tahun ini.
Menurut beliau, hal ini pernah dilakukan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membubarkan parlimen pada bulan November sedangkan pada ketika itu bajet belum diluluskan lagi oleh parlimen.
"Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1999, apabila bajet tahun 2000 dibentangkan pada Oktober 1999. Kesan daripada tindakan Tun Mahathir tersebut, telah menyebabkan Daim selaku Menteri Kewangan melakukan pembentangan semula bajet pada bulan Februari tahun 2000.
"Sebenarnya, agak jarang dalam sejarah BN, PRU diadakan pada bulan November. Ia hanya dilakukan apabila BN berasa agak besar cabaran, terdesak dan besar hambatan yang perlu dipikul untuk memenangi PRU," katanya.
Faktor Sukan SEA
Awang Azman juga berkata, sudah tentu PRU tidak akan diadakan pada bulan Ogos kerana pada bulan tersebut kerajaan sibuk membuat persediaan menjadi tuan rumah sukan Asia Tenggara yang berprestij itu.

Tiada perancangan, Pas Kelantan digelar 'kerajaan melancong'



Kerajaan Pas Kelantan didakwa tidak mempunyai perancangan dalam memajukan bidang pelancongan dengan memanfaatkan kekayaan alam semula jadi dan warisan budaya di negeri itu.
Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri lebih tertumpu kepada sektor perlombongan dan pembalakan yang bersifat tidak mampan.
"Aset pelancongan kita di Kelantan terlalu banyak berbanding sumber lombong dan balak yang tidak boleh diteruskan secara berpanjangan.
Husam Musa"Sungai kita dari hulu sampai ke kuala dan segala cabangnya, pulau, tinggalan sejarah, warisan budaya, kedudukan strategik kita semuanya aset pelancongan yang dibazirkan kerajaan Pas Kelantan hari ini," bidasnya.
Menurutnya, hal tersebut terjadi akibat Exco Pelancongan tidak fokus sebaliknya lebih banyak melancong ke luar negara.
"Exco Pelancongan dulu Datuk Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas). Saya minta maaf. Saya kena buat satu penilaian. Anda sendiri boleh buat penilaian.
"Apa yang dibuat oleh Datuk Taki sebagai Exco Pelancongan? Apakah yang dibuat oleh Datuk Mejar Anizam sekarang sebagai Exco Pelancongan?
"Bolehkah kerajaan Kelantan bentangkan apakah perancangan lima tahun akan datang? Jawabnya, tidak ada. Yang ada adalah kerajaan melancong," tempelaknya pada program Dialog Isu Semasa Perantau Bersama Pakatan Harapan di Kota Bharu kelmarin.
Untuk rekod, Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan pada masa ini dipengerusikan Datuk Mejar (B) Mohd Anizam bin Abdul Rahman.
Husam yang juga Naib Presiden Amanah turut mendakwa pemimpin kerajaan negeri Kelantan memiliki ejen pelancongan dan pada masa sama kerap melancong ke luar negara bukannya merangka usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
"Semua pesanan untuk melancong melalui ejen pelancongan yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan negeri Kelantan. Pergi ke Sepanyol lebih 30 orang. Balik dari Sepanyol, pergi ke China.
"Sampai hari ini, soalan saya mengenai jadual pelancongan kerajaan negeri kelantan ke luar negara tidak boleh dijawab. Kita ini melancong lebih daripada membawa pelancong," ujarnya.
Sehubungan itu, Husam berhasrat untuk Amanah Kelantan membentangkan Pelan Pembangunan Pelancongan Negeri Kelantan yang berpatutan, mampan tetapi menarik.
Mengulas lanjut, beliau menceritakan pengalaman negara seperti China dan Vietnam membangunkan sektor pelancongan yang pada masa sama menyumbang kepada pertambahan pendapatan masyarakat setempat.
"Di China, mereka buat pelancongan yang mudah. Ada satu orang anak kampung dengan latar kampungnya gunung dan sungai terfikir untuk buat satu pentas terapung atas sungai.
"Letak unsur pencahayaan dan bunyi. Speaker yang baik, cahaya lampu yang cantik. Sinar yang mengenai pentas terapung itu bila orang buat persembahan macam lari atas air.

NURUL IZZAH MAHU JK PILIHAN PARLIMEN BIDANG PERTAHANAN


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi desakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi bidang pertahanan.
“Parlimen seharusnya menjadi medan membincangkan isu pertahanan negara yang menjadi keprihatinan semua Ahli Dewan Rakyat tanpa menjejaskan kesiap sagaan negara berdepan sebarang kemungkinan.
“Saya khuatir, kealpaan pihak berkuasa negara ini untuk bertindak membuka jalan berulangnya serangan kimia Nerve Agent VX di KLIA2 tidak lama dahulu,” kata beliau dalam kenyataan.
Kegagalan pihak berkuasa mengesan senjata yang merupakan bahan kimia yang paling berbahaya di dunia dan dikategorikan sebagai ‘senjata pemusnah besar-besaran itu’ ternyata meletakkan ribuan penumpang KLIA2 dalam bahaya, jelas beliau.
Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata demikian susulan kes ‘kehilangan’ radar berteknolgi tinggi yang kemudiannya dilaporkan sudah sampai ke Belanda.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Datuk T Subromaniam memaklumkan radar berkenaan sudah sampai ke Pelabuhan Rotterdam, Belanda.
Siasatan yang dijalankan Kastam menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Pemerdagangan Strategik 2010.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, semua pihak belum jelas mengenai peralatan berteknologi tinggi yang dimaksudkan itu selain kurang faham fungsi dan kemampuan sebenar peralatan itu.
“Adakah ini bermakna peralatan terbabit masuk ke negara ini tanpa permit yang diperlukan. Apakah kandungan siasatan berkenaan dan apakah hasilnya.
“Bagaimanakah peralatan ini keluar dari negara kita tanpa disedari atau tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa,” tanya beliau.

SOALAN KEPADA BERSATU DARI AHLI DAP

Umno pada hari ini adalah Umno versi Kleptokrasi. Datuk Seri Najib Razak telah merampas Umno Baru yang dicipta oleh Tun Mahathir ketika krisis kepimpinan Umno 88/89 dahulu.
Maka itu saya melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini seakan-akan jelmaan kembali Umno 89, bukan Umno 46 yang bersifat nasionalis.
Umno 89 mempunyai kelebihan pada masa itu apabila mereka ada semua tokoh-tokoh penting. Begitu juga dengan PPBM ini, memiliki ketokohan dalam barisan kepempinan kanannya.
Pemimpin kanan BERSATU yang kebanyakkannya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan terdahulu telah mencadangkan kepimpinannya dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).
Saya ambil cadangan ini sebagai suatu hal yang positif. Namun, saya bermasalah sedikit dengan cadangan ini kerana ia hanya datang dengan tiket untuk menumbangkan Najib, tiada pakej lain.
AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah jelaskan pakejnya. Selain mahu menjadikan Umno BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda-agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.
Idea dari naskhah Buku Jingga sekurang-kurangnya telah menjadi model asas pakej-pakej tersebut. Apapun, ia pastinya perlu disusun kembali sesuai dengan keperluan dan kehendak zaman ini.
Pakej tawaran BERSATU
Tetapi bagaimana dengan pakej tawaran dari rakan baru HARAPAN, iaitu BERSATU?
Tawaran untuk menumbangkan Umno Najib dengan mengetuai jentera HARAPAN, bagi saya tidak memadai. Saya merasakan tidak ada yang baru dengan tawaran ini.
Maksud saya, saya belum dapat melihat tawaran BERSATU yang lebih mengiurkan buat rakyat, khususnya orang Melayu yang menjadi tunjang dan sasaran BERSATU.
Ya, barangkali benar BERSATU mampu tembus ke kawasan yang gagal ditembusi oleh HARAPAN (dulunya Pakatan Rakyat). BERSATU juga mampu menarik sejumlah besar pendengar untuk datang mendengar ceramahnya.
Tetapi tawarannya apa?
Berkempen dengan hujah untuk menumbangkan Najib tidak akan sama dengan kempen dan hujah untuk membina kembali negara yang telah rosak ini.
Hujah untuk menumbangkan Najib akan tertumpu mencari kelemahan Najib dan memperlekeh Najib. Mengkritik Najib ini saya kira satu kerja yang sangat mudah ketika ini, bagi PKR, DAP atau AMANAH, mengkritik Najib ini hal kacang, skrip dah ada.
Model pentadbiran BERSATU
Apatah lagi hari ini skandal Najib terkenal seantero dunia, hinggakan anak muda yang tidak kenal Umno pun tahu nak ‘troll’ Najib.
Adakah hujah untuk menumbangkan Najib akan menjadi kekuatan penting kepada BERSATU atau HARAPAN?
Tokoh-tokoh kanan pimpinan BERSATU mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kerajaan, saya akui. Saya yakin jika mereka bersama-sama dengan tokoh-tokoh dalam HARAPAN, pasti boleh menyusun kembali pentadbiran negara ini.
Tetapi apakah model pentadbiran yang akan diajukan oleh BERSATU? Hingga kini, saya belum dapat lihat model itu. Adakah BERSATU akan mencadangkan model yang sama dengan kerajaan Umno 89?
Berpolitik bukan sahaja soal nak menang, tetapi membina imaginasi untuk mencapai kemenangan.
Jika ia filem, mana naskhah skripnya? Jika ia kereta, mana lukisan teknikalnya? Jika ia perniagaan, mana model perniagaannya?
Disamping itu, saya juga tertanya-tanya dimanakah Deklarasi Rakyat yang dirumus dan dibacakan dahulu? Adakah ia sudah tidak relevan?
Deklarasi Rakyat
Adakah Deklarasi Rakyat itu boleh dicanai oleh BERSATU dalam bentuk-bentuk polisi ekonomi, sosial, kebajikan dan kebudayaan dalam konteks sebuah naskhah untuk membina kembali negara ini?
Tun Mahathir Mohamad mengatakan, siapa calon perdana menteri tak penting, yang penting menang dahulu. Saya faham dan bersetuju, tetapi bagaimana mahu menang jika agenda nak membangunkan negara itu pun belum BERSATU kemukakan.
Bagi saya, selain hujah untuk menumbangkan Najib, tawaran untuk membina kembali negara yang telah rosak ini, lebih penting. Ia akan menjadi faktor penarik kepada rakyat untuk yakin dan memangkah HARAPAN.

PERJANJIAN 1963: S’WAK HANTAR PEGUAM KE LONDON


Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) bagi menentukan hak-hak sebenar negeri ini yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
“Memang kita teruskan usaha Tok Nan (bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) untuk medapatkan hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia. Sebab itu kita hantar Sharifah Hasidah dan kumpulan peguam ke London untuk melihat dan mencari rujukan,” katanya.
Berucap pada majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) malam tadi, Abang Johari bagaimanapun tidak menyatakan bila dan tempoh masa pasukan berkenaan berada di London.
“Perjanjian ini bukan sebarang perjanjian, kita mahu dapat fakta-fakta yang betul. Sebab apabila kita hendak menuntut hak, kita mesti buat ‘homework’, kalau tidak, kita tembak (tuntut) sebarangan, susah,” jelas beliau.
Pada masa sama, kajian yang betul perlu dibuat dan melihat mana-mana peruntukan yang harus dipertahankan, katanya.

AS DAKWA JHO LOW MILIKI DUA PASPORT

Amerika Syarikat mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, 36, mempunyai dua pasport, satu dari Malaysia manakala satu lagi dari St Kitts dan Nevis, lapor The Edge.
Malaysia tidak membenarkan warganegaranya memiliki pasport dari negara lain dan tidak pasti bila Jho Low mendapatkan dokumen tersebut.
St Kitts adalah sebuah negara Caribbean kecil yang mempunyai reputasi untuk membeli pasport dengan harga serendah AS$250,000 (RM1,073,500), mana-mana warga asing boleh membeli kerakyatan tanpa perlu bermaustatin di situ.
Barang kemas MO1 hanya sekadar cerita, tiada bukti
Penguatkuasaan Jenayah Kewangan (FinCEN) sebelum ini pernah memberi amaran kepada St Kitts yang memberikan pasport kepada warganegara asing yang menyalahgunakan Program Kewarganegaraan oleh pelaburan untuk terlibat dalam kegiatan kewangan tidak sah.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman sivil untuk merampas aset yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.2 billion) di mana Jho Low dituduh bersama beberapa individu lain mencuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan pada tahun 2009.
Jho Low juga merupakan individu utama dalam semua urusan melibatkan pihak bank namun sehingga kini beliau tidak disabitkan mana-mana kesalahan sama ada di Singapura atau Malaysia.

Pemuda Amanah mahu Jamil Khir desak sumber tajaan haji 1MDB diaudit



Pemuda Amanah Nasional menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membangkitkan isu ketelusan tajaan haji oleh 1MDB bagi memastikan ia bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Timbalan ketuanya Faiz Fadzil berkata, ini kerana 1MDB tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh - modal perniagaannya diperoleh daripada pinjaman berkonsepkan riba.
Faiz Fadzil 1“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas urusan haji dan hal ehwal agama, seharusnya Jamil Khir mendesak untuk sumber tajaan ini diaudit bagi memastikan ia halal dan bersih serta bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dan korupsi agar ibadat haji rakyat Malaysia yang ditaja 1MDB ini tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak tahun 2011, seramai 5,711 jemaah telah ditaja menunaikan haji dengan perbelanjaan sebanyak RM56 juta melalui program khas Perdana Menteri -Yayasan 1MDB.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan Datuk Jailani Ngah, pada tahun ini pula seramai 1,100 jemaah ditawarkan menyertai program tersebut.
Faiz juga berkata, skandal 1MDB diibaratkan sebagai rompakan terbesar dunia dan kini menjadi subjek penyiasatan di pelbagai negara termasuk yang terbaru dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
“Pendedahan ini telah membuktikan wujudnya kes prima facie salah laku jenayah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak. Pendedahan ini juga telah memprejudiskan kedudukan politik Najib Razak dan populariti beliau juga semakin merosot.
“Maka, dalam keadaan politik Najib Razak yang terumbang-ambing sekarang, timbul persoalan sama ada tajaan haji ini sebagai langkah terdesak Najib Razak untuk menutup segala kepincangan yang berlaku dalam skandal berskala mega ini dengan menggunakan helah agama dan kebajikan sebagai kelubung,” katanya.
Jabatan Keadilan Amerika (DoJ) baru-baru ini memfailkan tuntutan undang-undang sivil kali ketiga dengan tujuan merampas semula aset yang didakwa dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.
Saman tersebut juga mendedahkan bahawa sebanyak AS$4.5 bilion wang 1MDB telah diseleweng.

Tiada cukai pelancongan jika PH ambil alih, kata Wan Azizah

PAKATAN Harapan akan menghapuskan Akta Cukai Pelancongan jika mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kuching, Sarawak hari ini.
Cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan, katanya.
"Kegagalan Putrajaya (dalam menaikkan cukai) dilihat sebagai penarikan kerajaan Sarawak daripada Lembaga Pelancongan Malaysia. Ini adalah penunjuk politik yang buruk untuk Barisan Nasional (BN)," kata Wan Azizah.

Penubuhan RCI bongkar individu lindung kerugian Bank Negara sembang menteri Umno


Ismail Sabri

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an akan membongkar mereka yang bertanggungjawab melindungi isu tersebut.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata RCI mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat, memanggil pihak yang berkaitan dan mendapatkan dokumen termasuk yang dikategorikan sebagai rahsia besar dalam menjalankan siasatan mereka.
Katanya, penubuhan RCI itu juga suatu langkah tepat kerana jumlah kerugian BNM terlalu besar, melebihi daripada dakwaan RM9 bilion yang didedahkan kepada umum sebelum ini.
"Kita lihat seolah-olah ada pihak yang ingin menutup segala yang berlaku kerana jawapan di Parlimen mengelirukan. Jika kerugian yang melibatkan puluhan bilion ringgit boleh ditutup, pasti ada pihak tertentu yang mengarahkan supaya kes ini diselewengkan atau ditutup.
"Rakyat sudah pasti ingin tahu siapa sebenarnya di belakang segala isu. RCI juga adalah badan bebas yang bukan dilantik kerajaan, tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka ada kuasa yang meluas dan kita ada lebih peluang untuk mendapatkan kebenaran," katanya.
Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kerayong hari ini, yang dihadiri lebih 20,000 penduduk Bera dan kawasan sekitar.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa penubuhan RCI bersifat politik kerana penubuhan suruhanjaya itu bermula daripada dapatan Pasukan Petugas Khas yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Pasukan petugas itu turut mendapati ada percubaan untuk menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kerugian itu, dengan maklumat mengelirukan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen dan wujud kes prima facie yang perlu dijawab oleh BNM, katanya.
"Malah, dalam kes ini juga tiada tempoh masa. Jadi sekarang adalah masa untuk kita mendapatkan kebenaran dan ketelusan daripada siasatan RCI," katanya.

Skandal 1MDB: Khairuddin beri tempoh empat hari untuk Nasrudin mohon maaf


Nasrudin Hassan
Koordinator Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (gambar)  memanggil Nasrudin Hassan sebagai "berotak udang" dan akan mengenakan tindakan saman ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas itu yang mengaitkan pelapor berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai meminta campur tangan asing.
Khairuddin dalam kenyataannya mencabar Ahli Parlimen Temerloh itu untuk menyebut secara jelas nama individu yang membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang di Switzerland, United Kingdom, Perancis, Singapura, Hong Kong serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
"Tolong bagitahu Ketua Penerangan Pas yang bangang ini agar jangan berkias-kias lagi dalam tuduhannya yang tidak berasas itu!
"Sekiranya mempunyai sikap bertanggungjawab, Nasrudin Hassan mesti sebut nama 'pelapor' secara jelas dan buktikan secara sahih orang yang pergi buat laporan di lima negara luar tersebut meminta kuasa asing campur tangan dalam urusan negara Malaysia.
"Kalau Ketua Penerangan Pas yang bangang ini tidak berani sebut nama saya secara jelas serta terbuka sebagai pelapor di negara-negara luar tersebut maka saya ingin nyatakan Nasrudin Hassan seorang yang 'bacul'," tempelaknya.
Khairuddin Abu HassanSehubungan itu, Khairuddin (foto) menuntut ahli Majlis Syura Pas berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka di atas fitnah terhadap dirinya.
"Beliau ada empat hari mulai hari ini (30 Jun) bagi merakamkan permohonan maaf tersebut kerana walaupun beliau tidak menyebut nama saya sebagai fakta yang nyata semua orang di seluruh dunia tahu bahawa sayalah pelapornya.
"Seandainya Ketua Penerangan Pas yang bangang ini gagal berbuat demikian maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya," tegasnya.
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu menyifatkan Nasrudin serta pemimpin Pas lain tidak tahu fakta sebenar skandal kewangan yang dianggapnya sebagai terbesar di dunia pada dekad ini.
"Mungkin kerana takut disaman atau diambil tindakan undang-undang maka dia bercakap dengan bahasa kiasan saja. Bila saya lawan Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz serta keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB, saya buat laporan PDRM serta SPRM dan sebut nama-nama mereka secara jelas lagi terbuka.
"Setiap hari, saya naik turun mahkamah untuk pertahankan diri serta prinsip perjuangan untuk menegakkan kebenaran bagi selamatkan Malaysia," jelas ahli perniagaan itu.
Khairuddin yang secara konsisten memanggil Nasrudin sebagai bangang dan dungu itu turut menyifatkan pemimpin Pas yang kerap mencetuskan kontroversi itu sebagai gagal memahami pentakrifan 'kesalahan jenayah pengubahan wang haram' di luar negara dengan campur tangan kuasa asing.
"Bila masa saya pergi ke luar negara untuk meminta negara-negara asing campur tangan dalam hal ehwal dalaman tanah air kita?

Skandal 1MDB: Peguam Negara tidak perlu dirujuk dalam saman DoJ



Apakah peguam negara benar-benar tidak mengetahui bahawa beliau tidak perlu dirujuk oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam saman sivil berkait dana 1MDB yang diselewengkan ataupun beliau hanya berpura-pura tidak tahu bertujuan mempertahankan perdana menteri.
Malah tuduhan Tan Sri Apandi Ali bahawa DoJ 'berniat politik' kerana tidak menghubungi beliau sebelum tindakan saman sivil itu diambil sangat mengecewakan pelbagai pihak dan dilihat sebagai 'membodek' untuk 'menyelamatkan' perdana menteri atau MO1 (dalam laporan DoJ), kata pengarah strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.
Apandi Ali"Ada tiga tafsiran boleh saya berikan terhadap komentar Apandi ini. Pertama, sememang Apandi tidak membaca laporan 251 muka surat 'complaint' DoJ itu.
"Kedua, kalau beliau sudah terbaca maka Apandi perlu kembali 'disekolahkan'.
"Ketiga, beliau sememang buat-buat bodoh dan buat-buat tak tahu. Dengan kata lain punya niat jahat menuduh DoJ mengambil tindakan ini semata-mata atas alasan 'politik' untuk menggugat atau apa pun 'niat politik DoJ'!" tegas beliau.
Dr Dzulkefly juga mempersoalkan sama ada Apandi atau para pegawainya tidak membaca laporan DoJ sehingga tidak mengetahui kewujudan istilah 'in rem' yang digunakan berulang kali dalam laporan DoJ.
Menurut beliau, di muka surat 7 di bawah tajuk 'Nature of Action' (Sifat Tindakan Saman) laporan terbaru DoJ tentang 1MDB menyatakan:
This is a civil action 'in rem' to forfeit assets involved in and traceable to an international conspiracy to launder money misapproptiated from 1Malaysia Development Berhad (1-MDB)...
"Kalau Apandi telah membaca istilah 'in rem' dan bukan 'in personan' yang digunakan DoJ, lalu kekal bertegas dengan kenyataan bahawa DoJ berniat 'political' dalam membawa saman sivil ini, maka jelasnya Apandi tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau tak faham apa makna istilah 'in rem' tersebut," katanya.
Beliau bagaimanapun penuh yakin peguam negara memahami maksud 'civil action in rem' yang digunakan DoJ iaitu segala tindakan undang-undang yang akan dijalankan dan dikelolakan pihak Mahkamah (Pendakwa/DoJ), tidak akan melibatkan pemilik dana iaitu 1MDB.
Sehubungan itu, beliau yakin Apandi sengaja memain emosi rakyat bahawa DoJ berniat jahat dan bermotif politik kerana tidak merujuk Kamar Peguam Negara (AGC).

IPT M'sia 'terperangkap', walaupun ada status autonomi

Kertas kerja terbitan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mendakwa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia tidak diberi kuasa autonomi sewajarnya, walaupun diberi status sedemikian.
"Walaupun universiti awam diiktiraf sebagai badan berkanun Persekutuan, mereka masih dikehendaki mematuhi rangka kerja tadbir urus yang sama seperti perkhidmatan awam dari segi skala gaji, kriteria promosi dan prosedur," tulis Wan Chang-Da yang menulis kertas kerja tersebut.
Kertas kerja bertajuk "Sejarah Autonomi Universiti di Malaysia" itu mengetengahkan perkembangan yang membawa kepada keadaan autonomi universiti semasa.
Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata, penemuan kertas kerja itu menjurus kepada semakan semula cadangan untuk memberikan autonomi kepada universiti di Malaysia.
"Pada masa ini, 17 daripada 20 IPTA dianugerahkan status autonomi.
"Bagaimanapun, kita perlu bertanya sama ada ia hanya retorik, atau jika ada komitmen yang sebenarnya untuk memberi lebih banyak kuasa ke universiti," kata Wan Saiful dalam kenyataan, semalam.
Beliau memberikan contoh bagaimana universiti di Malaysia tidak mempunyai kawalan penuh ke atas peruntukan dana dan geran penyelidikan kerana pematuhan yang ketat terhadap prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan.
Malah universiti swasta yang tidak menerima sokongan kewangan dari kerajaan adalah tertakluk kepada arahan 'lebihan perundangan' dan pekeliling yang sama, tambah beliau.
Wan Saiful berkata, ini berbeza dengan bagaimana universiti termasuk IPTA mempunyai autonomi sepenuhnya suatu masa dahulu.

Kalau PAS mahu jadi khadam UMNO, apa kita boleh buat?

Alasan PAS menolak pelawaan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dalam menangani skandal mega 1MDB menjadi isyarat bahawa PAS sudah tenggelam dalam skrip UMNO.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata PAS tidak sama sekali akan “terikut-ikut” dan “terpengaruh” dengan pihak luar, merujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
“Pakatan Harapan hari ini musuh kepada PAS dan mereka juga menuduh PAS kononnya mendapat duit daripada Umno dan sebagainya,” ujarnya dilaporkan media.
Sebagai reaksi kepada kenyataan terbabit, Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY) Muhammad Shakir Ameer mempersoalkan sama ada PAS tidak langsung peduli tentang penyelewengan yang berlaku.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, Khairuddin harus sedar betapa serius isu ini atau saja buat tidak tahu?
“Saya pelik dan geli dengan gelagat PAS baru baru ini. Dan tertanya-tanya saya adakah PAS ingin kembali dengan Barisan Nasional seperti dibawah Ust Asri Muda sesuatu masa dahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Shakir lagi, sikap PAS yang seolah-olah dilihat sebagai kuda tunggangan UMNO menimbulkan tanda tanya bahawa adakah parti tersebut lebih rela menjadi ‘macai’ kepada ‘Malaysian Official 1’ daripada melawan salah guna dana awam.
DOJ baru-baru ini mendedahkan butiran lanjut mengenai skandal pengubahan wang haram melibatkan dana terkait 1MDB yang digunakan untuk membeli hak cipta filem, serta barang kemas untuk seorang model, dan juga isteri kepada karakter ‘Malaysian Official 1’ yang disahkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
PAS mengambil pendirian aneh dengan menyifatkan tindakan undang-undang DOJ terbabit sebagai campur tangan asing, meski kesalahan melibatkan dana 1MDB itu dilakukan di luar negara.
“Sebagai parti politik yang sudah lama dalam kancah politik, PAS hendaklah membuat keputusan untuk bersama mereka yang korup atau mereka yang melawan korupsi,” tegas Shakir.

Skandal 1MDB: PH akan undang bekas pegawai kanan kerajaan sertai jawatankuasa tindakan 1MDB

SELEPAS mengundang parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menjemput bekas pemimpin kanan kerajaan termasuk bekas hakim untuk menyertai Jawatankuasa Tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jawatankuasa tersebut akan menggunakan pendekatan “Operation Big Bird” seperti dilakukan di Filipina untuk mendapatkan kembali wang yang hilang semasa zaman pemerintahan Ferdinand Marcos.
“Kita akan melibatkan pegawai kanan kerajaan seperti bekas hakim kanan, bekas pemimpin kanan Bank Negara, bekas diplomat kanan, pesuruhjaya Suhakam, ahli akademik, pakar ekonomi dan pemimpin NGO,” kata setiausaha politik ketua pembangkang Yusmadi Yusoff kepada The Malaysian Insight.
“Kita akan guna pendekatan seperti ‘Operation Big Bird’ untuk mendapatkan kembali wang 1MDB yang disembunyikan atau tersembunyi dari seluruh dunia.”
Yusmadi berkata, bekas pemimpin kanan kerajaan itu dijemput menyertai jawatankuasa kerana kredibiliti dan kepakaran dalam bidang masing-masing yang akan membantu merungkai misteri skandal 1MDB.
Katanya, nama pegawai kanan kerajaan tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama lagi.
"Operation Big Bird" dilancarkan di Filipina pada 1986 semasa zaman Presiden Corazon Aquino untuk mendapatkan kembali wang dan aset tersembunyi bekas diktator Ferdinand Marcos sebanyak AS$7.5 bilion dari seluruh dunia yang dikatakan “dicuri” daripada negara itu.
Wan Azizah pada Isnin mengumumkan di Parlimen yang PH akan menubukan jawatankuasa dan mengadakan perhimpunan rakyat pada September sebagai protes terhadap skandal 1MDB susulan langkah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3bilion) yang didakwa dicuri daripada syarikat itu.
Wan Azizah turut menggesa semua parti pembangkang termasuk PAS mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama membawa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya memberitahu The Malaysian Insight partinya akan berbincang mengenai undangan itu dan akan mengumumkannya dalam jangka masa terdekat.
Menurut Yusmadi, Jawatankuasa Tindakan 1MDB itu akan turut menyediakan satu laporan terperinci berhubung skandal 1MDB untuk membantu siasatan.
“Dengan mandat 52% undi popular pada PRU13, ketua pembangkang mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan jawatankuasa ini memandangkan pasukan petugas khas Putrajaya bagi menyiasat 1MDB seperti tidak berfungsi lagi,” kata bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu.
Kerjasama bongkar skandal 1MDB
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan melibatkan orang ramai untuk membongkar skandal 1MDB melalui pendekatan “crowd investigation”.
“Konsep sama seperti ‘crowd funding’. Kita gesa orang ramai yang mempunyai bukti mengenai skandal 1MDB supaya berkongsi maklumat dengan jawatankuasa ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin yang turut bersama dalam mesyuarat penubuhan jawatankuasa itu di Parlimen pada Isnin berkata, mereka mempunyai pelbagai pendekatan bagi menjayakan matlamat pembongkaran skandal 1MDB.
“Selain jelajah di seluruh negara dan perhimpunan rakyat, kita juga mendesak Perdana Menteri Najib Razak membentangkan kertas putih mengenai skandal 1MDB di Parlimen.
“Jika benar bukti didedahkan DoJ itu tidak benar dan cuba mengganggu kedaulatan negara, Najib perlu adakan sidang tergempar Parlimen dan bentang kertas putih,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.

MEMBELA DAN MEMPERTAHAN NAJIB ADALAH KERJA PALING SIA-SIA DI DUNIA

Untuk tujuan memikat hati, Najib Razak ketika tahun-tahun awal menjadi Perdana Menteri pada 2009, selain memperkenalkan slogan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang ditujukan buat seluruh rakyat, juga turut melaungkan peringatan "Rebah Jika Tak Berubah" khusus untuk UMNO dan BN.

Tentang 1Malaysia, yang yang terus tertonjol ke seluruh dunia sehingga sekarang hanyalah 1MDB, sebuah syarikat sarat hutang dan penuh skandal sehingga beberapa negara telah pun mengambil tindakan berkaitan penyelewengan dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Selebihnya, apa yang tinggal?

Klinik 1Malaysia dikhabarkan hanya ada panadol saja, manakala Kedai Runcit 1Malaysia boleh dikatakan agak lengang, malah kedai runcit biasa lebih lengkap dan menawarkan banyak pilihan. Dihebohkan hanya sardin 1Malaysia yang jelas murah tapi sesuailah pula dengan rasanya yang tiada apa-apa.

Kedai Kain 1Malaysia pula dengar-dengarnya hanya indah khabar dari rupa. Begitu juga dari dari hubungan kaum, di sebalik 1Malaysia yang sepatutnya menyatukan semua bangsa, retorik-retorik bangsa untuk tujuan menang pilihanraya terus bebas berleluasa.

Sebab itu, bukan saja sebutan 1Malaysia tidak lagi kedengaran sekarang ini, malah Najib juga barangkali sudah lupa bagaimana menyebutnya.

Dalam konteks menuntut ahli UMNO segera berubah berikutan keputusan buruk pilihanraya 2008, Najib menyeru agar mereka berubah dengan memberi peringataan, "rebah jika tak berubah."

Buat seketika ungkapan tersebut terdengar begitu mengasyikkan dan memperlihatkan Najib benar-benar seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu membawa perubahan dan memulihkan kekuatan UMNO dan BN, seterusnya dapat membela rakyat serta memajukan negara dengan lebih baik lagi.

Tapi apa jadi akhirnya?

Sementara beliau meminta orang lain berubah menjadi lebih baik dengan harapan UMNO dan kerajaan mendapat penerimaan positif daripada rakyat, beliau sendiri mengubah dirinya menjadi lebih buruk dan lebih banyak menjurus kepada negatif berbanding positif.

Pelbagai segmen pembaziran, suka bermewah, membeli-belah, karenah isterinya Rosmah yang tidak terkawal, berlagak jadi First Lady, mengguna jet sesuka hati dan 1001 macam lainnya yang terdedah adalah antara sebab-sebab keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk berbanding 2008.

Hakikatnya, di sebalik menyeru kepada perubahan dan memberi ingatan dengan ungkapan "rebah jika tak berubah", Najib sendiri sebaliknya menunjukkan teladan buruk dengan tidak mahu berubah dan gagal sama-sekali mengajak keluarganya untuk sama-sama menjadi lebih baik.

Lebih dahsyat, di sebalik memberi amaran "rebah jika tak berubah" dan berlaku pelbagai perkara negatif lain, Najib juga membenarkan kemasukan wang RM2,600 juta yang menurut penyiasat antarabangsa adalah berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan ke dalam akaun bank peribadinya hanya beberapa bulan sebelum pilihanraya 2013.

Mujurlah isu wang RM2,600 juta itu hanya terdedah pada 2015. Jika sebelum pilihanraya 2013 pdrkara itu sudah diketahui rakyat dan menjadi bualan, pastilah UMNO dan BN sudah benar-benar rebah sekarang ini disebabkan angkara Najib itu.

Kini, isu 1MDB dan wang RM2,600 juta terus menghimpit Najib, UMNO dan BN ke dinding yang semakin sempit berikutan ia sudah merebak dengan beberapa negara telah melakukan penyiasatan, ada yang mendenda dan menjatuhkan hukuman serta DOJ dalam proses merampas harta-harta yang dikaitkan dengannya.

Skandal 1MDB: Mengapa 1MDB hanya dedah maklumat tajaan haji?


Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoal 1MDB yang boleh mendedahkan berapa banyak yang dibelanjakan untuk menaja jemaah haji sejak 2011 tetapi belum lagi mendedahkan penyata kewangan penuhnya selama tiga tahun yang lalu.
Najib Kit Siang 1MDB“Jumlah hutang 1MDB boleh berada sekitar RM50 hingga RM55 bilion – yang mana RM56 juta yang digunakan 1MDB untuk menaja Jemaah haji ke Mekah sejak enam tahun lalu sejak 2011 berada di sekitar 0.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang 1MDB.
“Jika 1MDB boleh mendedahkan perbelanjaan RM56 juta sejak enam tahun lalu menaja 5,711 jemaah haji ke Mekah, mengapa 1MDB tidak boleh mendedahkan laporan kewangannya sejak tiga tahun lalu?” kaanya dalam kenyataan.
Sejak tahun 2011, seramai 5,711 jemaah telah ditaja menunaikan haji dengan perbelanjaan sebanyak RM56 juta melalui program khas Perdana Menteri -Yayasan 1MDB.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan Datuk Jailani Ngah, pada tahun ini pula seramai 1,100 jemaah ditawarkan menyertai program tersebut.
Kit Siang mendakwa, berkemungkinan hanya kira-kira 0.01 peratus daripada anggaran jumlah hutang 1MDB yang berjumlah RM50 hingga RM55 bilion digunakan untuk program penajaan haji.
"Ini seolah-olah peruntukan besar kepada amal, tetapi sebenarnya hanya secebis berbanding hutang 1MDB," katanya.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga berkata, kali terakhir akaun 1MDB diaudit dan diterbitkan ialah pada bulan Mac 2014.
Sejak tarikh itu sehingga sekarang, penyata kewangan syarikat sarat hutang tersebut masih menjadi misteri termasuk kepada menteri-menteri kabinet.
“Saya menyeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya memikul tanggungjawab penuh sebagai individu, kerajaan dan perdana menteri terhadap skandal 1MDB dengan mendedahkan kepada orang awam perincian kewangan 1MDB hutang-hutang dan segala peruntukan yang dikeluarkan.
“Bukannya sekadar mendedahkan maklumat tertentu sahaja seperti penajaan menunaikan haji sebanyak RM56 juta sejak 2011,” katanya lagi.

SKANDAL 1MDB: BERANIKAH KETUA PENERANGAN PAS MENYAHUT CABARAN?

Susulan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan semalam yang mengecam pihak-pihak tertentu yang pergi “meronda” membuat aduan ke beberapa negara mengenai 1MDB, beliau kini dicabar untuk berterus-terang mengenainya.
Dua individu yang sebelum ini diketahui membuat aduan mengenai 1MDB di Paris, London, Switzerland, AS, Hong Kong dan Singapura sehingga ditangkap dan dipenjarakan di bawah undang-undang Sosma, Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang secara terbuka mencabar Nasruddin untuk menyebut nama mereka.
“Saya cabar Nasruddin untuk sebut nama saya secara terbuka sebagai pelapor yang dimaksudkan jika beliau anak jantan.
“Kalau takut nak sebut nama saya, tolong jangan campurtangan dalam isu 1MDB yang beliau serta pemimpin-pemimpin Pas lain tidak tahu fakta mengenai skandal kewangan terbesar di dunia pada dekad ini,” tegas Khairuddin.
Peguam Matthias Chang juga mencabar Nasruddin menyatakan sama ada beliau yang dimaksudkan sebagai individu yang mempelawa campurtangan asing oleh Ahli Parlimen Temerloh itu.
“Saya mencabar beliau menyatakan sama ada dia merujuk kepada saya dan Khairuddin dalam dakwaannya itu,” kata Matthias lagi.
Malah, beliau juga menawarkan ganjaran RM1 juta kepada Nasruddin sekiranya dapat membuktikan dirinya terbabit berpakat dengan pihak berkuasa AS dalam isu 1MDB.
Lalu, apa lagi? Ada hadiah RM1 juta pulak?
Alang-alang macam beria-ia sangat nak membela dan mempertahankan Najib Razak, UMNO dan BN dalam skandal 1MDB yang menjadi sebutan seluruh dunia sehingga mengumpamakan saman DOJ seperti meminta beruang menampar nyamuk di muka kancil, diharap Nasruddin dapatlah menyebut secara terbuka, terang dan nyata nama Khairuddin dan Matthias sebagaimana yang dicabar itu.
Takkan takut pulak?
Kalau boleh janganlah beliau sekadar keluarkan kenyataan saja, sebaliknya buatlah satu  sidang akhbar khas supaya nama Khairuddin dan Matthias yang disebut itu dapat didengar dengan terang dan videonya pula dapat ditularkan.
Dan Najib, UMNO serta BN yang melihat keberanian  beliau menyahut cabaran itu pun tentunya akan tumpang bangga sama.
Itu pun kalau benar-benar anak jantanlah!!

SKANDAL 1MDB: KHAIRUDDIN CABAR NASRUDIN JADI ANAK JANTAN, ANCAM SAMAN


Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang telah membuat aduan terhadap 1MDB di beberapa negara, mengancam untuk menyaman Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan.
Ini berikutan kenyataan Nasrudin bahawa tindakan individu tertentu membuat laporan berhubung skandal berkenaan adalah bukti campur tangan asing di negara ini.
“Saya cabar Nasrudin Hasan untuk sebut nama saya secara terbuka sebagai pelapor kalau dia anak jantan.
“Saya nak berjumpa dengan beliau dalam kamar mahkamah dan biarkan proses undang-undang membuktikan siapa yang benar serta siapa yang bersalah.
“Kalau takut nak sebut nama saya tolong jangan campur tangan dalam isu skandal 1MDB, yang beliau, pemimpin-pemimpin serta PAS tidak tahu fakta hakikat kes skandal kewangan yang terbesar di dunia pada dekad ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairuddin menambah, sama ada Nasrudin menamakannya atau tidak, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin PAS itu sekiranya tiada permohonan maaf dibuat.
“Beliau ada empat hari mulai hari ini bagi merakamkan permohonan maaf tersebut kerana walaupun beliau tidak menyebut nama saya, sebagai fakta yang nyata semua orang di seluruh dunia tahu bahawa sayalah pelapornya.
“Seandainya ketua penerangan PAS yang bangang ini gagal berbuat demikian maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya!” kata Khairuddin.
Semalam, Nasrudin mempersoalkan motif di sebalik aduan terhadap 1MDB di luar negara dan mendakwa Amerika Syarikat cuba berlagak seperti polis dunia.
Beliau juga berkias dengan mengatakan ‘jangan undang beruang untuk tampar nyamuk di muka kancil’.
Bagaimanapun, Khairuddin membidas Nasrudin kerana menyamakan skandal 1MDB dengan “nyamuk”.

Skandal 1MDB: Walaupun tanpa saman sivil DoJ, peguam negara boleh dakwa penyangak 1MDB



Tindak tanduk peguam negara yang berbuat bising membantah saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dana yang diselewengkan daripada  1MDB menimbulkan persoalan memandangkan beliau sepatutnya sudah bertindak terhadap 'geng penyangak' yang menyelewengkan dana syarikat pelaburan negara itu bersandarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dr Dzulkefly AhmadPengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, keengganan Tan Sri Apandi Ali untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas sesiapa pun dari 'geng penyangak' yang merompak dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dipersoalkan kerana ia adalah kecelakaan pertama yang menimpa Malaysia.
Malah beliau yakin situasi ini akan kekal selagi Apandi menjawat Peguam Negara.
"Sebenarnya Apandi tidak perlu tunggu akan 'tiga tindakan undang-undang DoJ' atas pensonglapan dana 1MDB! Berbuih mulut pembangkang dan pihak NGO serta individu-individu bekas institusi Kehakiman Negara supaya beliau boleh mula sebaik sahaja Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibentang sesi Parlimen Ketiga Belas pada tarikh keramat 7 April 2016," ujarnya.
Dr Dzulkefly menjelaskan, laporan 106 muka surat PAC itu sudah cukup untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Sharul Azrai Ibrahim Hilmi.
Ini kerana katanya, padai muka surat 94, Jadual 15 laporan PAC, dirumuskan pelbagai kesalahan Sharul termasuk memindahkan US$700 juta kepada akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik Jho Low pada 29 September 2009.
Sambil menyifatkan tindakan Sharul itu sebagai 'rompakan pertama' dana 1MDB, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa pindahan bernilai ratusan juta dolar Amerika itu jelas satu perbuatan 'pecah amanah'.
Bagaimanapun beliau kesal kerana sehingga hari ini Sharul dibiarkan bebas bahkan boleh memegang jawatan penting dalam GLC yang lain!
"Kalau tidak celaka namanya, apakah bala yang sedang menimpa Malaysia ini?" soal beliau.
Menyentuh tentang saman sivil DoJ, beliau berkata laporan pertama DoJ setebal 136 muka surat pada 20 Julai 2016 sudah cukup untuk meruntuhkan segala maruah dan integriti kepimpinan negara oleh MO1 yang merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Malah katanya, 251 muka surat laporan ketiga DoJ telah 'melondehkan' segala perihal 'rompakan penyangak' ke atas dana malang 1MDB termasuk perihal US$620 juta (RM2.6 bilion) 'derma' yang telah dipulangkan (returned donation) kembali kepada 'penderma budiman Pak Sheik Arab Saudi' oleh Najib.
"Dalam laporan ketiga ini, Jho Low, penerima US$620 juta itu, telah antara lain didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membeli 'kalung berlian merah jambu' bernilai US$27.2 juta untuk isteri MO1!

Skandal 1MDB: Switzerland siapkan kes jenayah tetapi...

Saman pelucutan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menyediakan dokumentasi paling meluas mengenai skandal 1MDB hingga kini dengan tuntutan penyalah gunaan dana Malaysia.
Walaupun ramai pemimpin BN memilih untuk berdiam diri, khususnya Umno, melakukan serangan balas dengan menuduh AS melakukan campur tangan asing atau cuba menggulingkan kerajaan Islam.
Bagaimanapun, walaupun sebelum DOJ memfailkan saman sivil pertamanya pada Julai 2016, pihak berkuasa Switzerland menjadi yang pertama kali bersuara mengenai siasatannya terhadap 1MDB.
Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengumumkan pada 29 Januari tahun lepas bahawa pihak mensyaki sekitar AS$4 bilion telah disalah gunakan dalam dana Malaysia tersebut.
OAG telah meminta bantuan undang-undang dari Malaysia dan berbuat demikian pada 10 Oktober tahun lepas berhubung dengan tambahan AS$800 juta yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun tidak melayani kedua-dua permintaan berkenaan.
Walaupun menjadi yang pertama mendedahkan kepada umum mengenai 1MDB, pihak berkuasa Switzerland memberikan maklumat secara berhati-hati kepada umum berbanding DOJ.
Perbezaan antara keduanya adalah pihak berkuasa Swiss sedang menyiapkan kes jenayah manakala AS adalah tindakan sivil, walaupun DOJ enggan mengatakan jika tindakan jenayah akan menyusuli.
OAG Switzerland dalam balasan e-mel kepada Malaysiakini berkata kes jenayah itu masih belum selesai dan itulah sebabnya pihaknya tidak dapat memberikan maklumat selanjutnya.

Tun Mahathir kesal pemimpin Umno, BN tak peduli reputasi buruk negara akibat 1MDB



Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kecewa dengan sikap pemimpin Umno dan BN yang terus mendiamkan diri walaupun mengetahui pemimpin mereka menyalahgunakan kuasa dan menjadi tumpuan siasatan dan tuduhan negara luar.
Tun Dr Mahathir MohamadPara pemimpin Umno dan BN, katanya mengetahui tentang saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan penahanan jurubank serta penutupan bank di Singapura yang dikaitkan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan (Datuk Seri) Najib (Razak) bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan (perdana menteri). Dia telah menghancurkan Umno dan negara,” dakwa Dr Mahathir dalam catatan terbaru di blognya, chedet.cc semalam.
Dr Mahathir menamakan Menteri Multimedia dan Komunikasi Mohd Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed sebagai antara mereka yang mengetahui perkara sebenar tetapi didakwa memilih untuk terus mendiamkan diri.
Dia juga kesal kerana pemimpin parti komponen BN daripada MIC dan MCA dan semua menteri Kabinet lepas tangan daripada masalah itu.
"Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi kerajaan yang baik yang dibina pemimpin terdahulu.
"Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur.
"Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai di antara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah,” kata Tun Mahathir yang kini menjawat pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau turut memberi amaran kepada pemimpin pembangkang supaya berwaspada kerana mereka sedang ditakutkan dan membayangkan mereka mungkin akan ditahan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Terdapat beberapa tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti.
"Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang. Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan," katanya.
Dia kemudian merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk menolak Najib pada PRU 14 walaupun pemimpin pembangkang terpaksa merengkok dalam penjara.
"Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini, mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan perkhidmatan yang diberikan.
"Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali," tegas beliau.