Jumaat, 7 Julai 2017

Campurtangan asing: Kenapa kerajaan tidak putus sahaja hubungan dengan Amerika?

KUALA LUMPUR, 7 JUL:  Jika benar tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) itu merupakan campur tangan asing yang menggugat keharmonian dan kestabilan negara, kerajaan Malaysia wajar memutuskan hubungan dengan Amerika.
Namun sebaliknya, perkara tersebut katanya tidak berlaku malah kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga kuat mencemuh tindakan DOJ kelihatan gembira meraikan ulangtahun kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat di majlis anjuran Kedutaan Amerika di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.
Demikian kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menempelak kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang dilaporkan berkata tindakan DOJ tersebut memalukan kerana bertindak berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
“Sekiranya Amerika begitu jahat, Aziz sepatutnya mendesak presiden partinya yang kebetulan juga Perdana Menteri, untuk menghentikan operasi kedutaan Amerika di Malaysia dalam rangka menghentikan usaha-usaha jahat negara itu bagi menghancurkan keharmonian dan kestabilan negara.
“Kenapa Aziz tak ikut sekali (ke majlis itu) dan nyatakan tuduhannya terhadap DOJ dan kerajaan Amerika?” soalnya lagi.
Menurutnya lagi, jika tindakan DOJ itu berdasarkan maklumat yang tidak tepat, bagaimana mungkin empat pegawai bank Singapura telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara kerana terlibat dalam skandal tersebut

Peguam Negara hilang kredibiliti pertahan perompak wang rakyat

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Sikap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang enggan memulakan tindakan undang-undang ke atas individu yang terkait penyelewengan 1MDB menggambarkan seolah-olah beliau cuba mempertahankan perompak wang rakyat kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
“Keengganan Tan Sri Apandi untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas sesiapa pun dari perompak dana 1MDB adalah satu tindakan yang seolah-olah cuba untuk mempertahankan perompak wang rakyat.
“Di mana kredibiliti beliau sebagai seorang peguam negara?,” soalnya dalam kenyataan.
Kenyataan ini dibuat mengulas bantahan yang dilakukan peguam negara  membantah saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung dana yang diselewengkan dari 1MDB.
Menurut Mohamad, tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil selagi mana peguam negara tidak bebas dari pengaruh politik penguasa.
“Sekiranya Apandi seorang yang bertanggungjawab, sudah lama tindakan telah beliau ambil tanpa perlu menunggu akan ‘tiga tindakan undang-undang DOJ’ atas pensonglapan dana 1MDB!
“Berkali-kali Pakatan Harapan dan NGO serta individu bekas institusi kehakiman negara mendesak beliau agar memulakan tindakan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Sharul Azrai Ibrahim Hilmi.
“Beliau sepatutnya sudah bertindak tegas terhadap perompak dana syarikat pelaburan negara bersandarkan laporan tempatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.
Laporan PAC ujar Mohamed Sabu secara jelas pada muka surat 94, Jadual 15 menyatakan pelbagai kesalahan Sharul termasuk memindahkan AS$700 juta kepada akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik Jho Low pada 29 September 2009.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, Sharul dibiarkan bebas malah boleh memegang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

Tarik diri jadi PM, berbaloikah Anwar beri peluang Pakatan Harapan tentukan siapa PM?

Pertikaian calon Perdana Menteri Pakatan Harapan diredakan buat sementara setelah Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengambil langkah untuk menarik diri. Langkah ini boleh dibaca sebagai asakan Anwar dari penjara dengan berganjak selangkah ke belakang.
Tekanan kini beralih ke bahu Dr Mahathir Mohamad dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU), yang dilihat bercita-cita tinggi untuk merangkul tampuk pimpinan HARAPAN.
Politik hanya khayalan yang berlegar-legar di alam maya seandainya tidak berpijak pada bumi. Biar kita berterus-terang, usaha untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai PM berdepan dengan pelbagai rintangan.
Beliau disekat dari segi undang-undang untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, dan kemungkinan besar juga PRU15. Pengampunan daripada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk mengalihkan sekatan tersebut perlu melalui prosedur yang berlapis-lapis.
Dengan kata lain, jikalau usaha di mana-mana peringkat itu tergendala, maka terburailah hasrat untuk mengangkat Anwar sebagai PM, meskipun HARAPAN menawan Putrajaya dalam PRU14.
Dalam konteks ini, tidak sukar untuk kita memahami mengapa Dr Wan Azizah diletakkan sebagai calon PM, sungguhpun beliau reluctant politician yang sememangnya gagal menyaingi Mahathir dari segi pengalaman berurusan dengan jentera negara, percaturan strategi, penguasaan dan pengolahan isu.
Faktor-faktor inilah yang menjurus kepada pandangan bahawa mungkin tiba masanya Anwar dan keluarga melepaskan tangan, agar gerakan pembangkang boleh mara ke depan.
Saya yakin ramai yang bersimpati terhadap pengorbanan Anwar dan keluarga sepanjang perjuangan ini, namun pada masa yang sama, mengidamkan perubahan untuk berlaku dalam masa terdekat. Dilema ini bukan sahaja menambat hati, tetapi juga langkah gerakan pendemokrasian Malaysia.
Risiko untuk perubahan
Izinkan saya menggariskan pemisah zaman pada September 1998, tanpa melupakan perjuangan pendemokrasian yang diwarisi sejak zaman kemerdekaan, sama ada barisan sosialis mahupun gerakan Islam yang turut sama menyuburkan pendemokrasian tanah air.
Kebanyakan manusia membuat pertimbangan berdasarkan pengalamannya. Ketika Anwar berada di persimpangan hayat politiknya pada September 1998, beliau telah menyaksikan sendiri bagaimana Musa Hitam memilih untuk berundur lantaran tidak sehaluan dengan Mahathir pada 12 tahun lalu.
Anwar sudah pasti tidak lupa pengalaman bagaimana Semangat 46 yang berpecah dari Umno, akhirnya kembali ke pangkuan Umno pada tahun 1996 kerana gagal menyaingi Umno yang diterajui Mahathir ketika itu.
Pengalaman ini cukup untuk meramalkan malapetaka yang bakal menimpa dirinya jikalau laungan “Undur Mahathir” diteriak di tengah-tengah jalan raya. Hakikatnya, ia jauh lebih dahsyat apabila segala jentera negara dikerah untuk mematahkan kemaraan gelombang Reformasi.
Anwar hilang jawatan dan kebebasan, ditelanjang dan diterajang. Namun beliau sempat kembali kepada rakyat jelata untuk menggembleng sokongan massa, dan beliau membuat keputusan berani untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat) yang membuka keahliannya kepada semua kaum pada hujung abad ke-20.
Anwar tidak berdiam diri sebagaimana Abdullah Ahmad Badawi, yang akhirnya berjaya mewarisi jawatan PM daripada Mahathir. Anwar tidak menubuhkan sebuah parti Melayu, seperti Tengku Razaleigh Hamzah untuk bersaing dengan Umno, sebagaimana Semangat 46.
Lebih-lebih lagi, walaupun bertahan dengan hanya satu kerusi parlimen antara tahun 2004 hingga 2008, PKR tidak dibubarkan untuk kembali semula ke pangkuan Umno.
Pengorbanan yang tak dimanfaatkan
Umno-BN dibadai “tsunami politik” dalam PRU12 pada tahun 2008, selepas 10 tahun gerakan Reformasi melalui liku-likunya. Skandal seks menjelma semula dalam pelbagai bentuk, sama ada lafaz sumpah atau klip video hitam-putih, setelah kebangkitan Anwar dikenalpasti sedang menggugat kedudukan Umno-BN.
Kita semua sedar bahawa kes Liwat 2 yang mengheret Anwar ke penjara pada 10 Februari 2015 adalah keputusan politik. Penghakiman sama ada Anwar bersalah atau tidak, tiada kaitan dengan kebenaran sama ada Anwar melakukannya atau tidak.
Kali ini, Anwar yang telah melalui sendiri pengalaman tahun 1998, sudah tentu menjangka apa yang bakal berlaku pada dirinya. Beliau boleh memilih untuk melarikan diri ke luar negeri, dan terus memimpin pembangkang dari luar sana.
Sekurang-kurangnya Anwar terdedah kepada perkembangan yang sedang berlaku, dan rundingan strategi bersama pemimpin lain boleh dilakukan tanpa diawasi polis di sekelilingnya.
Susuk tubuh yang berusia 70 tahun itu boleh bergerak bebas (kecuali dalam negeri), hidup selesa, dan lebih penting, kekal relevan kerana sekurang-kurangnya beliau tidak tersisih dari dunia online.
Namun Anwar memilih untuk kembali ke Malaysia, yang juga bermakna kembali ke penjara Sungai Buloh. Beliau tidak melarikan diri ke London, bukan Turki, dan tidak juga pulau Bali.
Anwar cuba memimpin melalui teladan bahawa jikalau dirinya dengan usia yang sedemikian mampu melakukan pengorbanan demi Malaysia, maka anak-anak muda akan lebih yakin bahawa mereka juga mampu berbuat sesuatu untuk tanah air kita.
Hasrat yang murni ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyuntik semangat perjuangan kepada rakyat. Pembangkang tidak menjadikan pengorbanan Anwar sebagai faktor untuk menyatukan semua pihak dan bangkit menentang kezaliman Umno-BN.
Sebaliknya Pakatan Rakyat dikuburkan, tidak lama selepas Anwar disumbat ke penjara. Tiada kempen tersusun yang berterusan untuk mendesak agar Anwar dibebaskan.
Apabila Pakatan Rakyat berkecai, Mahathir diberi laluan masuk untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan PAS. Malah apabila Mahathir dicadangkan sebagai calon PM, alasan diberikan bahawa hakikatnya Anwar telah dilupakan rakyat Malaysia.
Berbaloikah korban Anwar?

PH: Tiada monopoli, cuma tawar menawar - Tun M

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan parti itu tidak menguasai Pakatan Harapan (HARAPAN), sebaliknya ia hanyalah keputusan 'tawar menawar'.
Mahathir memberikan analogi itu apabila ditanya mengenai dakwaan bahawa BERSATU memonopoli jawatan tertinggi dalam HARAPAN.
"Tak ada. Tiada monopoli. Kita bincanglah. Macam jual barang. Pertama kita minta harga tinggi, kemudian kamu beri dan putuskanlah," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya mengenai jawatan yang sedang diintai BERSATU, Mahathir bagaimanapun enggan mendedahkannya.
"Ini adalah perkara dalaman, kita akan bincang, kemudian kita akan buat keputusan," katanya.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menafikan bahawa parti itu memonopoli jawatan tertinggi dalam HARAPAN dan menegaskan bahawa semua parti dalam gabungan itu mempunyai kedudukan yang sama.
"Seorang atau dua yang dinamakan itu tidak bermaksud monopoli, tidak ada satu pihak boleh memonopoli kerana kita mengamalkan dasar-dasar yang saksama, jadi tanggapan itu bagi saya tidak betullah," kata Muhyiddin kepada wartawan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bulan lalu menolak kemungkinan pemimpin BERSATU akan mengisi jawatan pengerusi dan presiden HARAPAN, dengan menyatakan ia merupakan monopoli dalam gabungan itu.
Pakar strategi BERSATU Rais Hussin Mohamed Ariff kemudian menjelaskan bahawa parti itu hanya mencadangkan Mahathir sebagai pengerusi dan tidak ada elemen monopoli.

Rafizi juga terima 'manfaat' 1MDB dalam industri IPP sembang Rahman

Sesuatu yang menarik apabila Rafizi Ramli tidak mempertikaikan persoalan utama mengapa pembangkang tidak lagi membangkitkan isu perjanjian berat sebelah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang menguntungkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) sejak 2013.
Ini kerana perjanjian berat sebelah ini sudah diperbetulkan melalui pelbagai polisi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuk penglibatan 1MDB dalam industri IPP.
Saya ulangi bahawa penglibatan 1MDB dalam industri IPP sebelum tahun 2012 bersama usaha kerajaan telah menamatkan ‘perjanjian manis’ PPA yang direka oleh perdana menteri sebelum ini yang mentadbir selama 22 tahun dan kini bergabung tenaga dengan Pakatan dan Rafizi.
Ini adalah salah satu masalah legasi oleh pentadbiran negara lalu dan sudah diperbetulkan oleh kerajaan hari ini.
Penjimatan oleh TNB
Penyelesaian beban ini berpotensi memberi perjimatan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerajaan dan rakyat sebanyak RM200 bilion dalam 20 puluh tahun akan datang.
Melalui jawapannya, Rafizi mempersoalkan mengapa PPA yang lebih adil tidak memanfaatkan masyarakat melalui pengurangan kadar elektrik Malaysia.
Pada masa yang sama, Rafizi tidak menyedari kadar elektrik Malaysia adalah antara yang termurah di rantau ini.
Rafizi harus tahu kadar elektrik dikekalkan murah berikutan subsidi gas dari Petronas dan keuntungan TNB yang berkurangan, di sebalik perjanjian berat sebelah PPA itu.
Selepas dibebaskan dari beban perjanjian berat sebelah itu, TNB mencatatkan keuntungan dengan dividen yang lebih tinggi selain harga saham lebih tinggi.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Tabung Haji adalah tiga dari pemegang saham utama TNB.
Rafizi sebelum ini pernah mengakui secara terbuka, mempunyai jutaan ringgit dalam simpanan di KWSP, ASB dan Tabung Haji.
Dividen kepada Rafizi
Untuk itu, beliau tentu sekali turut menerima manfaat dari dividen diterima dari tiga tabung utama ini lantaran peningkatan keuntungan dan kenaikan harga saham TNB, selain berpuluh juta rakyat Malaysia yang turut menyimpan wang mereka dalam KWSP, ASB dan Tabung Haji.
Rafizi turut membuat kenyataan yang tidak betul dengan mengatakan subsidi Petronas kepada IPP pada masa ini adalah lebih rendah berikutan harga gas global yang rendah.
Malah carta harga gas dunia yang dikongsi Rafizi melalui blognya turut membuktikan kenyataannya tidak betul kerana ia menunjukkan harga gas stabil bagi tahun 2012, 2013 dan 2014.

Parti baru pro-BN mahu tanding di Selangor, Wilayah Persekutuan

Parti baru yang diasaskan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) berhasrat untuk bertanding di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) Mohd Ridzuan Abdullah enggan mendedahkan kawasan yang akan ditandingi parti itu kerana masih menunggu kelulusan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kita tunggu kelulusan ROS dulu baru kita akan umumkan kawasan mana yang akan kita bertanding," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu negara hari ini.
Mohd Ridzuan turut memberitahu, sehingga hari ini pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada ROS berhubung permohonan parti baru itu.
Justeru, ketika ditanya sekiranya parti tersebut tidak mendapat kelulusan, Ridzuan berkata, beliau bersama anggota Pekira akan berkumpul di hadapan bangunan ROS.
"Kita dah hantar borang ke ROS sejak bulan Mei. Kita masih menunggu kelulusan pihak ROS. Setakat ini belum dipanggil lagi.
"(Jika ROS tak luluskan) kita akan kumpul beramai-ramai di hadapan ROS dan akan desak kenapa tak nak luluskan," katanya.
Selain itu, Ridzuan memaklumkan, Pekira kini telah mempunyai seramai 10,000 anggota parti. Malah, beliau turut menyasarkan 200,000 anggota di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
"Sehingga hari ini kita dah capai 10,000 keahlian yang telah sertai Pekira. Kita sasarkan sebelum Disember tahun ini, lebih kurang 200,000 ahli di seluruh negara.
"Kita tidak akan curi mana-mana ahli parti lain. Ahli kita ialah orang yang atas pagar dan tidak pernah menyertai mana-mana parti," katanya lagi yang turut berjanji bahawa parti berkenaan akan mewujudkan pelbagai program bagi meningkatkan kos sara hidup.
Menurut Ridzuan lagi, anggota Pekira kebanyakannya terdiri daripada peniaga serta golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, parti baru Pekira itu akan turut membantu BN memenangi pilihan raya umum ke-14.
Ridzuan turut dilaporkan berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung hasrat partinya itu untuk membantu BN.

RoS kata pemilihan 4 tahun lepas tidak sah, DAP tunggu surat rasmi


RoS kata pemilihan tidak sah, DAP tunggu surat rasmi
DAP akan menunggu surat rasmi RoS sebelum membuat keputusan mengenai jawatankuasa tertinggi pusat parti itu. 
JABATAN Pendaftar Persatuan (RoS) sudah mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan semula untuk jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) parti itu, lapor BH Online hari ini.
Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah dipetik sebagai berkata yang CEC yang dipilih pada 29 September 2013 sebagai tidak sah.
Dalam jawapan segera kepada The Malaysian Insight, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata yang parti itu akan menunggu arahan rasmi daripada RoS.
“CEC kemudiannya akan berjumpa dan memutuskan tindakan seterusnya. Ada banyak pilihan tetapi lebih baik kita kaji dahulu surat rasmi RoS.
“Jadi saya harap RoS akan menulis kepada kita secepat mungkin memaklumkan keputusan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Masalah DAP dengan RoS bermula selepas kesilapan teknikal menyebabkan masalah pengiraan undi ketika pemilihan parti itu pada Disember 2012.
Kesilapan itu kemudiannya dibetulkan tetapi ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada RoS, menyebabkan CEC yang dipilih diisytiharkan tidak sah. DAP mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
Apabila masalah mula timbul dengan RoS, wujud kebimbangan sama ada calon DAP boleh menggunakan logo parti untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2013 yang diadakan pada bulan Mei. Bagaimanapun, parti itu berjaya mengharungi pilihan raya tanpa sebarang masalah.

Guan Eng rasa arahan ROS 'luar biasa' selepas 4 tahun...

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau pihaknya berasa aneh apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti itu membuat pemilihan semula hanya selepas empat tahun.
"Setakat ini berdasarkan kepada apa yang kita baca dalam kenyataan (ROS) itu, kami berpendapat ia luar biasa kerana DAP mengadakan pemilihan semula pada 2013. Itu ialah empat tahun lalu.
"Mengapa mereka mengarahkan DAP membuat pemilihan semula sekarang?" katanya pada sidang media di George Town, Pulau Pinang hari ini.
ROS awal petang tadi menyatakan DAP perlu mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semula kerana pemilihan pada 29 September lalu sebagai tidak sah.
Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
Bagaimanapun Mohammad Razin berkata ROS tetap menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini tidak berniat untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.
Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo pula berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan namun belum menerima surat rasmi daripada ROS.
"Saya harap ROS akan menulis surat secara rasmi supaya kami boleh melihat isu itu sebelum membuat keputusan lanjut.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata DAP beliau sendiri tidak tahu sama ada kandungan surat rasmi itu sama dengan kenyataan dikeluarkan hari ini atau tidak.
"Namun ini adalah tindakan serius dan DAP akan menanganinya dengan serius juga," katanya.
Menurut anggota parlimen Bagan itu, DAP juga akan mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur petang esok.
Parti itu juga akan mendengar semua pandangan anggota CEC dalam pertemuan berkenaan.
Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berakhir.
"Saya ingin menegaskan, keputusan akhir akan dibuat CEC. Memang kami tidak puas hati tetapi sama ada pemilihan baru akan dibuat atau tidak, ia bakal diumumkan esok berdasarkan kepada surat ROS," katanya.

Khalid akui sukar tangani rasuah dalam pasukan polis


Khalid akui sukar tangani rasuah dalam pasukan polis
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata beliau merupakan orang yang paling tidak gembira apabila timbul isu membabitkan integriti polis. 
RASUAH dalam pasukan polis sememangnya sukar untuk ditangani, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini.
Beliau mengakui kewujudan budaya itu menjejaskan reputasi polis.
“Saya setuju, rasuah memang berlaku. Kami telah mengambil langkah drastik terhadap mereka yang terlibat,” katanya pada sesi soal jawab di Universiti Teknologi Malaysia hari ini.
Pada program itu, seorang penuntut ijazah doktor falsafah turut berkongsi pengalaman bagaimana pelajar antarabangsa diganggu anggota polis ketika berpindah ke bandar itu. Dia mendakwa, pelajar terbabit perlu membayar anggota polis pada pemeriksaan sekatan jalan raya.
“Ini sebabnya kita mengarahkan unit peronda untuk tidak menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing melainkan terdapat pegawai atasan atau bersama mereka untuk memantau pemeriksaan .”
Tambahnya, beberapa minggu lalu, beliau menahan unit peronda di Semenyih dari menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing.
Anggota terbabit berdepan siasatan dalaman berikutan insiden terbabit.
Khalid pada akhir sesi itu berkata, sebagai ketua pasukan polis beliau paling tidak gembira apabila timbul isu membabitkan integriti dan ketelusan pasukan keselamatan itu.
“Saya sentiasa tidak gembira. Tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi semua pengarah saya. Saya yakin kita semua akan melakukan yang terbaik untuk memastikan negara kita selamat dan rakyat bebas untuk bergerak dan melakukan apa sahaja.”
Terdahulu, Khalid menyampaikan kuliah bertajuk “Cabaran dan strategi untuk dekad akan datang”.

Saifuddin tidak pernah lalui jerih kami 18 tahun, kata Johari


Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul menyifatkan Datuk Saifuddin Abdullah mungkin ‘janggal’ dengan situasi dalaman pakatan pembangkang ekoran latar belakang politiknya yang sebelum ini merupakan ahli Umno.
Johari Abdul (kiri)  dan Saifuddin Abdullah"Datuk Saifuddin tidak pernah melalui betapa jerih dan peritnya kami 18 tahun dahulu.
“Semua orang ini yang telah pun melalui detik-detik yang amat membimbangkan pada 18 tahun yang dulu. Jadi mungkin Datuk Saifuddin dia dari Umno. Dia tidak pernah dapat merasai betapa jerihnya, peritnya kami 18 tahun yang dulu. Dan dia sedang belajar.
“Itu adalah asam garam politik. Bukan mudah untuk kita satukan semua kepala. Apatah lagi kita nak satukan dengan orang pernah kita tempur selama 18 tahun. Keadilan (PKR), DAP, Amanah sebelum ini Pas, bertempur dengan (Tun) Dr Mahathir selama 18 tahun. Ada yang ke penjara, lokap, cedera parah, macam-macamlah.
“Harus diingat, setiap orang ada sejarah masing-masing. Kita ada sejarah dengan Dr Mahathir, kita ada sejarah dengan Barisan Nasional (BN) dengan Umno.
"Jadi bila mereka menjadi serpihan kepada Umno iaitu tubuhkan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) maka adalah wajar untuk memberikan sedikit masa,” katanya seperti dilapor Antarapos hari ini.
Johari dipercayai berkata demikian kerana diminta mengulas status berbaur ‘patah hati’ dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menerusi laman Facebook, pada Sabtu lalu.
Saifuddin dalam status facebooknya berkata:"Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih,” demikian tulisan Saifuddin dalam laman sosial itu.
Walaupun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menulis secara berkias, status tersebut seolah-olah memberi gambaran mengenai situasi ‘celaru’ yang melanda gabungan yang disertai oleh PKR, DAP, Amanah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

SPR siasat persempadanan semula di Selangor

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan usahanya dalam menyelesaikan urusan siasatan tempatan kali kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor dalam tempoh masa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas tidak membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk menghalang SPR daripada meneruskan proses siasatan tempatan kali kedua bagi persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri-negeri Tanah Melayu.
“Keputusan ini bermakna SPR boleh meneruskan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan urusan siasatan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. SPR amat menghargai dan sentiasa menghormati keputusan tersebut,” katanya dalam
Disember lepas, SPR menangguhkan prosiding siasatan tempatan terhadap cadangan persempadanan semula di Selangor selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan itu.
Berhubung permohonan kedua Kerajaan Selangor untuk menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Perlembagaan Persekutuan, Mohd Hasim berkata keputusan kedua yang diperintah oleh pihak mahkamah itu tidak akan menjejaskan apa-apa proses berkaitan persempadanan bahagian pilihan raya negeri-negeri Tanah Melayu.
"SPR sentiasa mematuhi dan menghormati keputusan kedua mahkamah yang menerima permohonan pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk menghalang SPR daripada menyerahkan laporan akhir syor persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri-negeri Tanah Melayu ini kepada Perdana Menteri tanpa memasukkan Negeri Selangor dalam laporan itu," katanya.
Mohd Hasim menjelaskan ini kerana SPR sedia maklum bahawa laporan akhir hanya boleh diserahkan kepada perdana menteri setelah proses siasatan tempatan di Melaka dan Selangor diselesaikan dan kes semakan kehakiman dimuktamadkan oleh mahkamah.

NGO jemput SPRM jelaskan 'pilih kasih' kes Teoh, MO1

Sebuah NGO menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan mengapa berlakunya 'pilih kasih' dalam siasatan terhadap Malaysian Official 1 (MO1).
Amanah Beng Hock Untuk Demokrasi berkata, layanan SPRM terhadap MO1 adalah sangat berbeza dengan Teoh, bekas setiausaha politik exco DAP yang disiasat dan ditemui mati di luar ibu pejabat SPRM di Shah Alam.
NGO itu menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menjawab soalan di forum yang akan dianjurkannya berjudul "Reformasi SPRM: Jalan menuju tata kelola yang baik dan hak asasi manusia".
Bagi tujuan itu, wakil-wakil dari NGO yang diketuai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyampaikan jemputan itu di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
"Kenapa SPRM menyoal siasat Teoh hingga mati, tetapi tidak menggunakan kaedah siasatan serupa terhadap MO1?" kata setiausaha NGO berkenaan, Faisal Mustaffa hari ini.
Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat kesimpulan bahawa kematian Teoh didorong oleh taktik soal siasat agresif oleh tiga pegawai SPRM.
Dalam forum yang dijadualkan pada 16 Julai ini, kumpulan itu juga mahu SPRM menjelaskan mengapa tindakan tidak diambil terhadap tiga pegawai SPRM itu dan apa jenis pembaharuan yang akan dilaksanakan untuk menjamin hak-hak asasi mereka yang ditahan.
Lima wakil menunggu kira-kira 20 minit di ibu pejabat SPRM untuk berjumpa Dzulkifli tetapi diberitahu oleh kakitangan keselamatan yang mereka hanya dapat masuk jika meninggalkan telefon bimbit dan kamera.
Ini menyebabkan protes oleh kumpulan itu yang menyatakan alatan berkenaan perlu untuk membuktikan jemputan telah diserahkan kepada Dzulkifly.
Pada ketika ini, adik perempuan Teoh, Teoh Lee Lan menegaskan bahawa beliau sebelum ini pernah menemui perdana menteri di parlimen tetapi dibenarkan membawa telefon bimbit.
"Kalau PM tak takut membawa telefon bimbit ke dalam, kenapa datuk (Dzulkifli) bertindak seolah-olah ada (ancaman) pengganas," Soalnya.
Kerana kecewa, kumpulan itu akhirnya menampalkan undangan mereka di dinding luar pejabat SPRM.

ROS arah DAP buat pemilihan semula selepas jumpa TPM

DAP dikehendaki mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata arahan itu dibuat ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.
Kata Mohammad Razin, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
"Ingin ditegaskan di sini bahawa ROS menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini ROS tidak berniat sama sekali untuk membatalkan (pendaftaran) DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohammad Razin ROS berpendapat pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan pada 2013 adalah tidak sah.
Tak puas hati
"Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
"Justeru, ROS mengambil pendirian supaya DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC diiktiraf.
"Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP," katanya.
DAP mengadakan pemilihan pada 15 Disember 2012 tetapi berlaku kesilapan teknikal sehingga menjejaskan keputusannya.
Parti itu kemudian secara sukarela mengadakan pemilihan semula pada 29 September 2013, namun sebahagian daripada anggota parti tidak berpuas hati kerana mendakwa belaku kepincangan.
Mereka kemudian membuat aduan kepada ROS.
Tunggu surat rasmi
Jika DAP mematuhi arahan yang dikeluarkan ROS hari ini, parti itu akan mengadakan pemilihan kali ketiga untuk jawatan bagi tempoh 2013 hingga 2016.
Mandat anggota CEC dan pemimpin lain parti itu berakhir pada September lalu namun perlembagaan DAP membenarkan pemilihan ditunda sehingga 18 bulan.
Mohammad Razin menjelaskan, pemilihan semula itu penting kerana pelantikan bagi jawatan utama sesebuah parti memberi kesan kepada kesahihan urusan pertubuhan berkenaan.
Katanya, penyandang jawatan utama mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"ROS akan mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula 20 anggota baru yang sah berpandukan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP bagi membolehkan ia diiktiraf," katanya.
Sementara itu Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan namun belum menerima surat rasmi daripada ROS.
"Saya harap ROS akan menulis surat secara rasmi supaya kami boleh melihat isu itu sebelum membuat keputusan lanjut.
"Ada ramai rang bercakap macam-macam, jadi saya fikir lebih baik untuk saya melihat surat itu terlebih dulu dan membincangkannya sebelum membuat tindakan lanjut," katanya kepada Malaysiakini.

Dah 2 Tahun....Selasa Bakal Tiba Lagi..!!

Aritu bukan main heboh canang seluruh negara ckp, ugut nak failkan saman terhadap WSJ pd hari Selasa DUA TAHUN YANG LALU. MANA SAMANNYA !!!

atau nak tunggu SELASA TAHUN 2050 KA ??!

DAN SATU LAGI... dah LEBIH SEBULAN pendedahan skandal Najib bayar RM9.5 juta kpd pendakwaraya Shafee dibuat, TETAPI NAJIB & SHAFEE MASIH MEMBISU hingga kini.. kenapa??!

Akhirnya RAKYAT JADI MANGSA !!! RAKYAT WAJIB BAYAR #GST !!!

 
Naiktaraf jalan sebegini yg hanya sepanjang lebih kurang 250 meter telan kos RM2.27 juta sedangkan harga tender yg telah dipersetujui hanyalah RM1.89 juta.. ??!

SELEBIHNYA RM373 RIBU itu masuk poket mana ??!

Tak heranlah bila Najib kata perbelanjaan negara semakin meningkat..

Apa tidaknya tiap-tiap tahun Jabatan Audit Negara melaporkan k'jaan Najib sentiasa berlaku ketirisan.

SKANDAL 1MDB: MAU TAK TERGAMAM?

Dalam siri jelajah pertama Pakatan Harapan di Penaga, Kepala Batas semalam untuk tujuan menghuraikan mengenai saman DOJ berkaitan 1MDB kepada orang kampung dan penduduk luar bandar, ramai yang hadir dilaporkan tergamam dengan butir-butir pendedahan berkenaan syarikat pelaburan kerajaan itu.
Selepas di Penaga, ceramah bertajuk  “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” itu dijadual akan menjelajah ke tempat-tempat lain di seluruh negara.
Kenapa mereka tergamam?
Hutang 1MDB – lebih RM50 bilion.
Duit yang dipercayai hilang berdasarkan  siasatan DOJ – AS$4.5 bilion atau kira-kira RM20 bilion.
Masuk dalam akaun peribadi MO1 sebagaimana dapatan DOJ – AS$731 juta atau lebih kurang RM3,000 juta.
Nilai barang kemas mewah yang dihadiahkan Jho Low kepada isteri MO1 – RM128 juta.
Jho Low juga tentunya dapat bilion-bilion.
Jika tidak, mana mungkin Jho Low mampu beli hotel, jet, kapal layar, lukisan mahal, menghadiahkan barang kemas kepada selebriti ternama dan bersuka-ria di pesta arak serta kasino?
Belanja haji oleh 1MDB – hanya RM56 juta sejak 2011.
Mau orang kampung tak tergamam?
 Rupa-rupanya lebih banyak dibelanja di Amerika dan untuk bersuka-ria daripada membuat pahala atau pahala yang digembar-gamburkan tidak lebih semata-mata hanya untuk menutup banyak dosa?

Siasat dana risikan RM7j: Polis serah SPRM

Polis menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan seorang pegawai kanan risikan negara menerima wang daripada Datuk Seri Najib Razak.
Kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, polis tidak akan menyiasat dakwaan berkenaan kerana ia hanya boleh dilakukan berdasarkan kepada arahan yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Tidak. Apa juga siasatan yang kita buat - seperti yang saya cakapkan sebelum ini - adalah berlandaskan arahan kabinet yang juga berpandukan kepada laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara).
Ketua polis negara sebelum itu ditanya mengenai kemungkinan polis akan menyiasat Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung dakwaan Sarawak Report yang mendakwa perdana menteri menyalurkan dana kepada "Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan" kira-kira sebulan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu.
Portal itu mendakwa perdana menteri menyerahkan RM7 juta kepada seseorang bernama "Lt Jen Datuk Abdul Hadi Bin Haji Hussin" pada 8 April 2013.
Pada masa bayaran itu didakwa dibuat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, merupakan menteri pertahanan ketika itu.
Hishammuddin berkata pihaknya "tidak ada apa-apa untuk disembunyikan" dan kementerian terbabit "tidak pernah dipolitikkan".
"Jadi, jika ada langkah diambil untuk siasatan, biarkan mana-mana agensi siasat.
"Biarkan siasatan (dijalankan) kerana kita bukan mahu memutar-belit dan membuat spekulasi, tetapi saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan," katanya semalam.
Menurut Khalid, soalan sama ada siasatan akan dibuat atau tidak, sepatutnya diajukan kepada SPRM.
"Oh... itu jangan tanya saya, tanya SPRM," katanya.
Menurut beliau pemisahan itu perlu bagi mengelakkan berlaku kekeliruan.
"Itu saja mandat yang diberi, untuk kita (polis) laksanakan siasatan.
"Kalau tidak nanti, tidak ada sempadan, dan apabila tak ada sempadan, dia punya cerita pun tak berhenti-henti," katanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu Khalid hadir ke majlis menandatangani memorandum persefahaman antara UTM dengan PDRM yang memfokuskan kerjasama pembangunan dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.
BSPP adalah agensi perisikan bersama Angkatan Tentera Malaysia. Ia memberikan laporan terus kepada penglima angkatan tentera.

TPM: Ada keperluan wujudkan satu lagi jawatan Timbalan KPN


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara terutama dalam menangani ancaman keganasan.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata selain itu, cadangan untuk mewujudkan semula Jabatan Antikeganasan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat boleh memperkukuhkan dan memperbesarkan keanggotaan dalam unit keganasan itu dalam usaha menangani ancaman itu.
"Saya tidak menolak, tidak mengesahkan dan tidak mahu menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar (berbahasa Inggeris) mengenai keperluan mewujudkan dua jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kerana sebagai Menteri KDN (Kementerian dalam Negeri) yang mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya PDRM, pengumuman hanya akan dibuat selepas mesyuarat (sama ada) mengesah atau menolak cadangan berkenaan.
"Walau bagaimanapun, memang terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan seorang lagi Timbalan Ketua Polis Negara dan mewujudkan semula Jabatan Antikeganasan kerana kita tahu ancaman keganasan bukan semakin berleluasa di rantau ini tetapi kita harus tahu PDRM perlu memperkukuhkan dan memperbesarkan lagi keanggotaan dalam unit keganasan ini dengan meningkatkan kepada taraf sebuah lagi jabatan dalam PDRM di Bukit Aman," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat hari ini.
Mengenai calon yang akan dilantik bagi Timbalan Ketua Polis Negara yang kedua, katanya, pengesahan hanya akan dibuat setelah diluluskan oleh Suruhanjaya PDRM selain mendapat perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris tentang PDRM yang sedang melalui rombakan besar dan bakal melihat satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan naik taraf Unit Antikeganasan kepada taraf jabatan.
Buat masa ini, unit berkenaan hanya mempunyai 200 anggota.

'Selamatkah' kerusi Kelana Jaya untuk PKR, soal Wong Chen

Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen berkata, isu audit dan pembekuan peruntukan yang membabitkan kerusi Parlimen yang diwakili beliau pada masa ini mungkin menjejaskan peluang parti itu untuk mengekalkannya pada pilihan raya umum akan datang, jika tidak diselesaikan dengan segera.
Pada sidang akhbar hari ini, Wong berkata, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 28,827 dalam pilihan raya umum 2013 yang menjadikannya 'kerusi yang sangat selamat untuk PKR'.
"Ia adalah kerusi kedua terbaik (untuk PKR) selepas Pandan.
"Ia adalah kerusi yang (PKR) tidak akan kalah secara teori tetapi jika terdapat ura-ura mengenai skandal pejabat, bukan sahaja menjejaskan saya malah dan peluang PKR juga," kata beliau di pusat khidmatnya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menegur Wong kerana mempersoalkan urusan audit yang dijalankan ke atas peruntukan kawasan Parlimen itu dengan mengatakan audit dijalankan tanpa menghiraukan hubungan politik.
Ia selepas Wong mendedahkan kepada umum laporan mengenai audit pejabatnya bersama-sama dokumen sokongan selepas kerajaan negeri membekukan peruntukan untuk kawasan Parlimen itu.

Dr M hina perundangan, demokrasi M'sia sembang Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuduhan terbaru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan suatu penghinaan kepada sistem perundangan dan amalan demokrasi di negara ini.
​"Tuduhan oleh Mahathir bahawa terdapat campur tangan dalam keputusan kes liwat Anwar itu secara lansung mempersoalkan kebebasan dan intergriti Badan Kehakiman.
"Anwar telah melalui semua proses yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mempertahankan diri termasuk mengemukakan rayuan kepada lembaga pengampunan.
"Justeru, tidak timbul persoalan Anwar merupakan mangsa dendam politik seperti yang didakwa," kata beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno dalam kenyataan.
Semalam, sambil menyatakan sokongan kepada Anwar untuk diangkat menjadi perdana menteri, Mahathir mendakwa bekan timbalannya itu tidak dilayan dengan adil serta keputusan mahkamah dalam kes Anwar jelas dipengaruhi kerajaan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, dakwaan oleh Mahathir yang kini menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia bahawa Anwar adalah mangsa dendam politik hanya memakan diri sendiri.
"Adakah Mahathir lupa yang penyingkiran Anwar daripada pentadbiran kerajaan adalah ketika zaman pemerintahan beliau pada tahun 1998.
"Hari ini, Anwar menjalani hukuman atas sebab kes peribadi beliau di bawah kesalahan jenayah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
"​Tindakan Mahathir yang kerap kali membuat pusingan U juga menunjukkan sikap sebenar pembangkang yang sanggup menggadai prinsip hanya kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi," tambah Azalina.

TANGANI RASUAH, PENYELEWENGAN DAN KRONISME MELALUI PERALIHAN KERAJAAN

Skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin mendapat perhatian rakyat. Betapa sadisnya wang rakyat yang dikatakan sebanyak RM20 bilion telah disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkait rapat dengan MO1 untuk kegunaan peibadi termasuk sewaan kapal layar mewah, perkhidmatan hotel, pembuatan filem lucah dan lain-lain perkara yang merugikan rakyat dan negara.

Kini kerajaan Umno BN pula memainkan isu forex dalam mengalih tumpuan rakyat yang berasa marah dan dukacita mengenai penyelewengan  1MDB. KEADILAN mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai mana-mana isu atau skandal yang melibatkan wang negara.

Sebarang perlindungan penyelewengan 1MDB hanya akan memalukan nama negara bahkan dengan mudah masyarakat antarabangsa melabel Malaysia sebagai sebuah negara korup atau negara ditadbir golongan kleptokrat.

1. Saya ingin menyeru rakyat memikirkan tentang kos rasuah, penyelewengan dan kronisme yang selama ini diamalkan oleh Umno BN. Perkara ini bukan sahaja melibatkan 1MDB, malah juga merangkumi kes-kes besar seperti penyelewengan air di Sabah, kekayaan luar biasa pemimpin pemerintah secara tidak sah dan skandal perumahan bumiputera di Johor.

2. Hakikatnya kerajaan Umno BN, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan segelintir penjawat awam kini terlibat dalam gejala-gejala yang merugikan negara sendiri.

3. Hanya melalui reformasi dan peralihan kerajaan, maka peluang-peluang untuk mengatasi masalah ini akan terbuka, dibandingkan dengan mengekalkan Umno BN yang sudah terpalit dengan pelbagai cerita buruk dan isu yang memalukan negara.

Malahan jika peralihan kerajaan direalisasikan, rakyat sendiri akan mengetahui pelbagai kes yang sebelum ini tidak diketahui umum mahupun disebarkan oleh pihak media. Apa yang diketahui selama ini hanyalah “tips of the iceberg”.

4. KEADILAN bertekad untuk menyiasat skandal-skandal besar negara, terutama yang 'melenyapkan' sejumlah wang besar rakyat untuk tujuan kemewahan peribadi. Penubuhan RCI akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menyiasat kes-kes skandal dengan lebih mendalam.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Audit Negara dan pihak mahkamah perlu adil dalam proses siasatan dan penghukuman. Badan-badan pelaksana ini tidak seharusnya dicampur tangan oleh mana-mana parti politik demi memastikan orang yang bersalah diheret ke muka pengadilan.

5. KEADILAN akan bekerjasama dengan pihak-pihak negara luar dan Interpol bagi memastikan mereka (penjenayah) ini tidak lari berlindung di luar negara atas nama suaka politik, apabila kemenangan diberikan kepada Pakatan Harapan pada PRU14 kelak.

Hishammuddin perlu berhenti elak persoalan RM7 juta dari Najib..!!

LIM Kit Siang hari ini mempersoalkan mengapa Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein tidak menjawab sama ada “ya” atau “tidak” dakwaan ketua pengarah bahagian perisikan pertahanan menerima RM7 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak sebelum pilihan raya pada 2013.
Ketua parlimen DAP itu berkata, menteri itu cuba “mengelak” isu dengan mengatakan “beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan”.
“Tidak salah untuk beliau menjawab pertanyaan sama ada ketua pengarah bahagian risikan kementerian pertahanan menerima wang dari Najib sebulan sebelum pilihan raya umum lalu,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
“Isunya bukan dia tiada apa yang nak disembunyikan, tetapi kenapa sebagai menteri pertahanan beliau tidak mampu menjawab persoalan sama ada wang itu dibayar dan mengapa bayaran luar biasa itu dibuat.”
Pihak pemberi maklumat, Sarawak Report baru-baru ini melaporkan pegawai tertinggi dari Bahagian Perisikan Pertahanan menerima RM7 juta daripada Najib pada April 2013.
Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah persoalkan sama ada Hishammuddin “berani untuk tidak mahu tahu dan bertanya sama ada laporan Sarawak Report itu benar.
“Ia berkata, angka dari transaksi itu datang daripada pasukan petugas yang menyiasat 1MDB dari Mac 2015 hingga ia dibubarkan lima bulan kemudian.
"Adakah ini benar atau Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan tidak mahu tahu dan berani tidak mahu tahu?"
Semalam, Hishammuddin memberitahu media beliau belum dapat mengesahkan sama ada wang itu dibayar dan apa pun jawapan beliau isu lain akan dibangkitkan kerana jawatannya sebagai menteri pertahanan.
Katanya, pihak tentera tiada apa untuk disembunyikan dan menambah terserah kepada agensi berkenaan untuk menjalankan siasatan kerana mereka tidak mahu terbabit “memutarbelitkdan isu dan menimbulkan spekulasi”.
Lim berkata, Hishammuddin sepatutnya boleh menjawab “ya” atau “tidak” berhubung isu itu.
Katanya, sekiranya Sarawak Report “menipu” sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin kerajaan, dakwaan terbaharu ini adalah “peluang yang baik dan sukar dicari” untuk membuktikan portal itu menyiarkan berita palsu dan maklumat salah.

Mengapa Hadi sukar terima Najib dalang skandal 1MDB..??

TERDAPAT perbezaan antara skandal kewangan yang berlaku pada era Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, dan menyalahkan bekas perdana menteri untuk mulakan rasuah hanya untuk mengalihkan isu skandal 1MDB membabitkan perdana menteri sekarang, kata aktivis.
Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, tindakan menyalahkan Dr Mahathir sebagaimana yang dilakukan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mewujudkan “kepimpinan melalui teladan” dalam rasuah, tidak akan menyelesaikan dakwaan penyalahgunaan dana pelaburan negara.
Menurut pemerhati dan aktivis lain, Hadi gagal memahami kesan daripada skandal itu dan tujuan siasatan ke atas 1MDB oleh pihak berkuasa asing.
Gabriel berkata, skandal forex Bank Negara yang berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir dan 1MDB di bawah Najib adalah dua jenayah berbeza.
Hadi perlu sedar 1MDB secara langsung membabitkan Najib, yang memegang jawatan perdana menteri, katanya. Beliau turut menegaskan mengenai beberapa  perstiwa di bawah Najib di mana tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya atau 1MDB.
“(Skandal forex dan 1MDB) perlu disiasat, tapi perbezaannya kini adalah Najib merupakan perdana menteri dan beliau didakwa terbabit dalam korupsi, bermakna dia menjadi dalang bagi aliran kewangan rentas sempadan yang merupakan satu kesalahan.
“Penting baginya untuk meletakkan jawatan kerana ia jelas pasukan penyiasat yang ditubuhkan pada awal bantahan awam dibubarkan, kemudian peguam negara dipecat, timbalan perdana menteri dipecat (kerana menentang Najib) dan peguam negara baharu dilantik.
“Apa yang berlaku kepada pasukan penyiasat itu? Ia tidak lagi wujud. Jelas terdapat campur tangan dalam siasatan,” kata Gabriel.
Dia turut mempersoalkan siasatan kerajaan ke atas skandal forex Bank Negara yang lebih dilihat sebagai “permainan politik” daripada perjuangan menentang rasuah.
“Walaupun Dr Mahathir adalah perdana menteri sebelum ini untuk tempoh yang lama dan banyak mengubah institusi demokratik di negara ini, beliau tidak pernah disiasat oleh pihak berkuasa asing atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kesalahan rasuah.
“Tiba masanya untuk kita persoalkan mengapa pihak berkuasa hanya berdiam berhubung perkara itu hingga kini sekiranya memang ada isu?
"Sudah lebih 20 tahun dan baru sekarang kita mahu suruhanjaya siasatan diraja,” tambah Gabriel.
Hadi turut menamakan skandal forex dan beberapa kes membabitkan dakwaan rasuah - Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Petronas, Skyhawk, Maika Holdings dan Port Klang Free Zone – yang berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir.
Gabriel berkata, Hadi seorang yang “naif” kerana mengatakan penyiasat asing tidak sepatutnya menyiasat 1MDB.
Katanya, entiti terbabit berbuat demikian untuk melindungi intergriti kewangan mereka dan membanteras penggubahan wang haram di negara mereka.
“Mereka mahu memastikan sistem tidak berkompromi, sebab itu pembekuan aset dibuat.”
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tiga saman untuk membekukan aset yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB. Aset ini termasuklah barang kemas, kapal layar, hartanah mewah dan hak penyiaran.

Gandingan Dr Mahathir-Anwar kuatkan PH, mampu singkir BN, kata pemimpin


Gandingan Dr Mahathir-Anwar kuatkan PH, mampu singkir BN, kata pemimpin 
Pemerhati politik tanah air yakin kerjasama Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mampu menjadi kekuatan yang bakal mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bagi menyingkirkan kerajaan kleptokrat.
PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), menyambut baik kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam, mengatakan gandingan bekas perdana menteri itu dan Anwar Ibrahim akan kembali mengukuhkan gabungan pembangkang yang selama ini dilihat retak.
Mereka berkata, kenyataan pengerusi Bersatu itu sekaligus menamatkan perseteruan di antara Dr Mahathir dan Anwar yang berlaku sejak 1998 ketika kedua-duanya masih bersama Umno dan kerajaan.
“Gandingan Dr Mahathir-Anwar serta seluruh kepimpinan PH dan jenteranya adalah kekuatan yang bakal mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bagi menyingkirkan sebuah kerajaan kleptokrat yang rakus serta hilang arah,” kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insight.
“Apakah sudah sampai waktu dan detiknya yang dinanti-nantikan rakyat supaya 'agenda tertangguh' untuk menobatkan anak didiknya Anwar akan tertunai jua akhirnya?"
Dalam temubual bersama akhbar Britain The Guardian yang disiarkan semalam, Dr Mahathir mengatakan beliau tiada masalah menyokong Anwar menjadi perdana menteri selepas dibebaskan daripada penjara.
Pada 1998, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno di atas tuduhan liwat. Anwar kemudiannya dipenjarakan di atas tuduhan salah guna kuasa.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata, Dr Mahathir dan Anwar “berjiwa besar” kerana sanggup mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk melakukan perubahan di Malaysia.
“Isunya bukan mengenai siapa bakal jadi PM, tetapi Dr Mahathir dan Anwar berganding bahu untuk melakukan perubahan.
“Ini merupakan perkara besar dalam sejarah politik Malaysia,” kata ahli Parlimen Batu itu.
Perseteruan Dr Mahathir-Anwar
Sebelum dipecat pada 1998, Anwar merupakan anak didik Dr Mahathir yang diberikan laluan mudah dalam Umno dan kerajaan sehingga menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Gandingan kuat dua pemimpin itu dalam Umno dan kerajaan dianggap “tidak terkalahkan” sehinggalah krisis ekonomi melanda Malaysia pada akhir 1990 an dan tercetusnya perbezaan pendapat sehingga menyebabkan Dr Mahathir memecat Anwar.
Selepas berpecah, kedua-dua tokoh itu menjadi musuh ketat dalam politik Malaysia sehinggalah pada September 2016 apabila Dr Mahathir hadir ke mahkamah bagi menyokong Anwar memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Bagaimanapun sebahagian penyokong Anwar dalam PKR masih tidak berpuas hati kerana Dr Mahathir masih belum meminta maaf secara terbuka kerana “menzalimi” ketua umum PKR itu.
Ia juga menyebabkan PH masih lagi tersekat untuk menamakan senarai pimpinan mereka untuk dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Proses bina semula negara: Invoke lancar program jelajah


Invoke Malaysia
Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli akan menjelajah dari daerah ke daerah di seluruh negara bermula Julai 2017 ini untuk berjumpa seramai mungkin rakyat bertujuan menggalakkan orang ramai turut serta di dalam proses membina semula negara bermula dengan menukar kepimpinan di Putrajaya.
Dalam satu kenyataan media, Rafizi menjelaskan akan singgah di setiap daerah dengan trak kempen yang telah diubahsuai untuk menyampaikan tiga mesej utama iaitu  menuntut agar kenaikan gaji dikuatkuasakan melalui undang-undang; menuntut agar kerajaan mengawal kenaikan harga barang bagi mengurangkan kos sara hidup yang membebankan; dan menuntut agar kebanjiran pekerja asing dihentikan serta merta.
"Tiga isu ini adalah isu yang paling penting bagi rakyat biasa seperti anda," katanya.
Menurut beliau, walaupun rakyat mengetahui tentang skandal 1MDB namun ia tidak ditrasai dan mendatangkan kesan kepada kehidupan mereka.
Bagaimanapun rakyat, ujarnya terkesan dengan kenaikan harga barang, gaji yang tidak mencukupi dan kehadiran terlalu ramai pekerja asing.
"Anda mungkin tidak sukakan politik tetapi orang politik menentukan gaji anda, mengutip cukai dari anda dan membenarkan majikan membawa masuk pekerja asing di sekeliling anda.
"Datang berjumpa dengan saya bila saya singgah di daerah anda. Saya akan berdialog dengan anda dalam keadaan santai. Ada BBQ dan aiskrim, ada kaunter mendaftar undi dan sukarelawan," ujarnya.
Jadual jelajah Invoke bagi pusingan pertama adalah Johor Bharu pada 9 Julai; Tg Malim, Padang Rengas dan Tambun di Perak (15 Julai), Balik Pulau di Pulau Pinang (16 Julai); Ledang, Sembrong dan Segamat (22 Julai); Melaka (23 Julai), Kuala Terengganu dan Dungun (28 Julai); Kuantan dan Temerloh (29 Julai).

Kerajaan Msia patut malu: Dakwaan Abdul Aziz buat MPT Bersatu menangis dan ketawa



Susulan kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno,Datuk Abd Aziz Kaprawi berkenaan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang dikatakan “memalukan”, terus mendapat kecaman parti gabungan Pakatan Harapan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tariq Ismail membidas kenyataan Abdul Aziz yang berkata, beliau berasa mahu menangis dan tertawa dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang Timbalan Menteri.
Tariq Ismail ""Terus terang saya mengaku, saya antara menangis dan tertawa membaca kenyataan YB Datuk. Saya menangis kerana kenyataan ini dibuat oleh seorang Timbalan Menteri yang sepatutnya membuat kenyataan dengan berhemah dan diplomatik terutama sekali apabila mengulas tentang urusan dengan negara-negara luar kerana ini sahaja tahap intelek seorang Timbalan Menteri di Malaysia.
"Saya tertawa kerana jelas sekali kenyataan ini dibuat tanpa usul periksa atau pengetahuan langsung tentang proses penyiasatan berkait undang-undang kleptokrasi di Amerika Syarikat dan kaitannya dengan kesalahan pengubahan Wang haram. Ini kerana YB Datuk tidak dapat membezakan antara tuduhan mencuri dan tuduhan mengubah wang haram." ujarnya dalam kenyataan hari ini
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dilaporkan berkata tindakan DoJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB adalah memalukan kerana pihak DoJ katanya bertindak berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
Abdul Aziz menganggap saman sivil oleh DoJ sebagai janggal kerana difailkan tanpa mendapat maklumat tepat kerana tidak memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda memberikan keterangan, menunjukkan kejahilannya berkaitan prosedur undang-undang.
Mengulas lanjut Tariq berkata, Abdul Aziz perlu faham bahawa 1MDB tidak perlu di panggil memberi keterangan kerana wang disalur dari pihak negara lain yang berurusan dengan badan-badan dan individu-individu yang terlibat dengan 1MDB.
"Jika YB Datuk ingat, tahun lalu lagi, DoJ sudah pun memanggil individu-individu yang terlibat secara langsung sahaja. Setahu saya hanya MO1 yang belum dipanggil memberi keterangan.
"Oleh kerana Arul Kanda tidak terlibat secara langsung dalam transaksi bagi menyalurkan wang tersebut ke Amerika Syarikat, maka Arul Kanda tidak dipanggil memberi keterangan.
"Tindakan ini sahaja menunjukkan bahawa bukti yang digunakan dalam penyiasatan ini terbatas kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Amerika Syarikat sahaja.
"Sepatutnya, yang perlu malu ialah pihak Kerajaan Malaysia kerana enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara luar seperti Switzerland yang sedang menjalankan siasatan pengubahan wang haram ke atas sumber kewangan yang disalurkan daripada 1MDB.
"Tidak sekali-kali negara-negara tersebut menjalankan siasatan jenayah mencuri secara langsung, sehinggalah dapat disahkan bahawa wang yang disalurkan telah disalurkan dengan tidak sah dari 1MDB, dan bukti menunjukkan terdapat unsur-unsur penipuan, penyelewengan dan kecurian ke atas 1MDB oleh mereka-mereka yang dipertanggungjawabkan ke atas urusan 1MDB. Harus kita ingat, walau bagaimana sinisnya kita ke atas dasar luar Amerika Syarikat, mereka tidak berkepentingan untuk mendapatkan balik wang dan aset yang diseleweng dari 1MDB bagi pihak rakyat Malaysia. Untuk ini, saya berterima kasih kepada mereka.
"Jadi persoalan akhir saya kepada YB Datuk, bilakah Datuk akan mempertahankan yang benar dan menuntut keadilan bagi pihak rakyat Malaysia?," soalnya.

Skandal 1MDB: 300 hadiri ceramah sulung Pakatan Harapan

Ceramah sulung Pakatan Harapan mengenai dakwaan skandal 1MDB telah berlangsung di Penaga malam tadi.
Ceramah bertajuk 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi', itu diadakan di Dewan JKKK Penaga untuk membawa isu tersebut ke kawasan luar bandar di Pulau Pinang dan di tempat lain.
Para pemimpin DAP tempatan berpuas hati sekurang-kurangnya 300 orang mengisi ruang dewan walaupun kekurangan publisiti dan sensitiviti mengenai isu tersebut.
Mereka tersentuh dengan minat yang ditunjukkan oleh mereka yang gagal mendapatkan kerusi di dalam dewan, tetapi sanggup duduk di tepi jalan, dan mendengar ceramah yang ditayangkan di skrin TV yang dipasang di pagar di luar dewan.
Lay Hock Peng, yang mempengerusikan jawatankuasa komunikasi DAP Kepala Batas, berkata beliau gembira kerana dewan itu "penuh" walaupun terdapat cabaran yang dihadapi pasukannya dalam menganjurkan ceramah itu.
"Ia adalah topik yang sensitif dan kami menganjurkannya di sini di sebuah kubu kuat Umno, tetapi kami dapat menarik kehadiran ini. Kepada kami, ia agak baik," kata Lay kepada Malaysiakini ketika ditemui di majlis ceramah itu.
Beliau mendakwa semua sepanduk mereka mengenai acara itu telah dirampas oleh orang yang tidak dikenali.
"Tetapi kami dapat menyebarkan maklumat itu secara mulut," tambah penolong setiausaha DAP negeri itu.

Pemuda Pas diminta nyatakan pendirian isu 1MDB jika ia bukan campur tangan asing

SUBANG: Pemuda Pas didakwa masih dilema membuat keputusan sama ada untuk bersama Umno atau mereka yang menegakkan kebenaran dan keadilan berhubung soal 1MDB.
Setiausaha Organisasi DAPSY Subang, Shukri Mokhtar berkata, jika benar Pemuda Pas dan parti itu percaya siasatan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan pendedahan The Wall Street Journal adalah satu bentuk campur tangan asing, maka jalan keluar terbaik adalah dengan memaksa dilakukan penyelesaian skandal 1MDB di negara ini secepat mungkin.
“Hasil siasatan suruhanjaya khas 1MDB perlu didedahkan kepada awam dengan telus.
“Atau pun sebenarnya Pemuda Pas dan parti itu makin jauh dilema, kerana lama-lama sudah mempunyai keyakinan bahawa 1MDB ini sudah bersih sebersihnya dan suci daripada dosa seperti yang dikatakan Datuk Seri Najib Tun Razak?” katanya dalam satu kenyataan.
Shukri berkata, Pas kini menggunakan ‘punchline’ yang senada dengan UmnoBN, kononnya pengendalian kes 1MDB adalah satu bentuk campur tangan asing.
“Isu pokok dalam 1MDB adalah skandal salah guna kuasa dan wang. Siasatan dan tindakan DOJ adalah disebabkan aktiviti kleptokrasi 1MDB yang berlaku di negara mereka, bukan satu bentuk campur tangan asing seperti dimomokkan.
“Pendedahan dan tindakan undang-undang yang diambil telah mengesahkan berlakunya salah guna kuasa dan wang dalam 1MDB itu sendiri.
“Bukan ekonomi sahaja merentas sempadan negara hari ini, jenayah juga merentas sempadan negara, yang tidak faham tentang rompakan rentas sempadan ini mungkin hidup di zaman lampau,” katanya.

Kenapa PAS tidak peduli masalah kleptokrasi 1MDB?

SHAH ALAM, 6 JUL: PAS seharusnya bimbang tentang masalah kleptokrasi dan skandal 1MDB dan bukannya hal ehwal dalaman Pakatan Harapan, kata Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer.
Katanya, skandal yang berlaku di bawah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja telah memalukan negara di peringkat antarabangsa, malah telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prestasi ekonomi negara.
“Pendirian PAS yang tidak mempedulikan akan kleptokrasi 1MDB di mana skandal penyelewengan tersebut yang mendapat perhatian dunia dan melanggar beberapa undang-undang kewangan negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Tindakan undang-undang diambil mengikut negara masing-masing bukannya bermaksud ‘campurtangan asing’ seperti yang didakwa oleh PAS dan BN. Ini adalah isu yang benar dan sahih yang sedang berlaku dan amat memalukan bagi negara kita.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang mempersoalkan sokongan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan.
“Apa salahnya Kit Siang memberikan cadangan sebegitu? Apa yang PAS risaukan? Kenapa PAS tidak menunjukkan kerisauan terhadap isu kleptokrasi 1MDB di bawah pentadbiran BN?
“Bukankah isu ini lebih lebih genting berbanding isu lain? Siapakah Mohd Akmal untuk mencabar dan melenting Kit Siang yang lebih berpengalaman dan lebih bijaksana dalam percaturan politik?” soal Shakir.
Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut melahirkan kekecewaan terhadap sikap PAS yang sejak akhir-akhir ini semakin mengikut rentak dan skrip UMNO sehingga dilihat seolah mempertahankan penyelewengan parti pemerintah itu.
“PAS harus sedar diri sendiri dan tepuk dada tanya selera akan pendirian mereka mengenai hala tuju politik di negara kita di bawah BN yang kleptokrat dan zalim jika mereka hendak menjadi relevan di dalam politik tanah air.
“Persoalannya sekarang, adakah PAS tidak menghiraukan isu-isu penyelewengan yang merugikan di negara sendiri?” katanya.

Adakah 4 negara maju bertindak bodoh kerana siasat skandal 1MDB?

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mungkin terpengaruh dengan maklumat palsu berhubung saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) sehingga menganggap usaha merampas aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng sebagai 'memalukan'.
Ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng juga yakin komen ahli majlis tertinggi Umno itu dibuat berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
Menurut Lim, empat pegawai bank telah disabitkan kesalahan dan dipenjara di Singapura kerana terlibat dalam skandal 1MDB manakala siasatan sedang berjalan di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat terhadap jenayah pengubahan wang haram berkait 1MDB.
"Adakah si Aziz ini sedang cuba menyatakan bahawa keempat-empat pegawai bank tersebut tidak bersalah dan telah dihukum secara tidak adil oleh mahkamah Singapura berdasarkan keterangan dan bukti-bukti palsu?
"Adakah si Aziz juga menyatakan bahawa empat negara tadi benar-benar bodoh kerana menghabiskan begitu banyak masa, wang dan tenaga menyiasat maklumat palsu melibatkan 1MDB?
"Kenapa Malaysia begitu terkebelakang dari segi ekonomi dan pendidikan jika dibandingkan dengan empat negara 'bodoh' ini?" soal Lim sinis.
Beliau turut mengulas kenyataan Aziz bahawa hampir semua campur tangan Amerika Syarikat di negara asing telah memusnahkan keharmonian dan menjejaskan kestabilan negara terlibat.
Bagi Lim, Aziz sepatutnya mendesak presiden partinya yang juga perdana menteri untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat jika benar-benar serius menentang campur tangan Amerika Syarikat dalam hal ehwal negara lain.
"Hakikatnya Aziz mungkin telah tersilap percaya tentang maklumat palsu mengenai Amerika kerana baru sahaja kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik BN yang juga gigih menghentam tindakan DOJ ke atas 1MDB, kelihatan gembira meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat di majlis anjuran Kedutaan Amerika di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.
"Kenapa Aziz tak ikut sekali dan nyatakan tuduhannya terhadap DOJ dan kerajaan Amerika di majlis itu?" soal Lim.

Peniaga tidak bayar GST berdepan larangan ke luar negara


Peniaga tidak bayar GST berdepan larangan ke luar negara
Peniaga yang masih berhutang pembayaran GST membuat pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen untuk melihat sama ada nama mereka termasuk dalam senarai hitam. 
PENIAGA yang tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dihalang ke luar negara, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini.
Laporan Sin Chew Daily memetik Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy berkata, terdapat lebih 7,100 peniaga disenarai hitam kerana gagal membayar GST.
"Jika peniaga sudah melunaskan GST, Jabatan Kastam akan segera meminta Jabatan Imigresen mengeluarkan namanya daripada senarai hitam," kata Subromaniam.
Beliau juga menasihatkan peniaga yang masih berhutang GST melakukan pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen untuk melihat jika nama mereka termasuk dalam senarai hitam.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) Pheng Yin Huah kesal dengan larangan perjalanan kerajaan terhadap peniaga yang disyaki gagal membayar GST tanpa notis yang membangkitkan kemarahan di kalangan mereka.
Pada Ahad, seorang ahli perniagaan dari Sarawak berkata dia hanya mengetahui mengenai larangan itu sejam sebelum penerbangannya kerana GST tertunggak.
Walaupun membayar jumlah tertunggak sebanyak RM2,739.04 pada hari yang sama selepas memeriksa dengan pengarah syarikatnya, beliau berkata tetap dihalang kerana larangan itu hanya boleh dilakukan oleh Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata jabatannya akan mengikut arahan daripada agensi lain dan juga perintah mahkamah dalam mengenakan larangan perjalanan ke atas rakyat Malaysia.
"Jabatan Imigresen tidak membezakan ia cukai apa. Jika seseorang ingkar membayar cukai negara, sama ada cukai pendapatan peribadi, cukai korporat atau GST, selagi badan yang berkenaan meminta Imigresen mengenakan sekatan, jabatan akan melaksanakannya mengikut arahan," katanya kepada Sin Chew Daily.

Peduli apa dengan ideologi

DI sebalik kemelut politik Malaysia yang penuh dengan jerit-pekik jual agama dan kaum, serta siapa lebih jantan atau betina, keadaannya menjadi semakin tak keruan. Dalam hiruk-pikuk itu, ideologi sebagai asas prinsip politik semakin dilupakan. Ideologi seperti sudah tidak bermakna lagi dalam wacana politik semasa.
Mungkin bagi orang politik, ideologi tidak memberi apa-apa nilai. Mereka rasa sudah pandai dan tahu membezakan apa yang baik dan buruk. Mungkin ada benarnya pandangan seperti itu. Tetapi apakah asasnya untuk menentukan yang baik atau buruk?
Contohnya, ada orang menganggap konsert muzik popular adalah sesuatu yang buruk. Mereka menggunakan alasan agama untuk mengharamkan konsert tersebut. Bagi mereka, konsert pop adalah maksiat. Mereka juga mendakwa konsert menyebabkan orang lalai daripada amalan agama.
Sama ada tafsiran itu betul atau tidak, mereka menganggap hanya mereka sahaja  yang betul. Mereka tidak peduli sama ada orang yang sama agama dengan mereka atau yang berlainan agama, atau tidak ada kena-mengena dengan agama, mahu atau suka kepada konsert-konsert tersebut.
Dalam contoh ini, asas menentukan baik atau buruk adalah agama, atau lebih tepat lagi, tasfiran agama mereke sendiri. Tafsiran ini yang menimbulkan rasa tidak adil kerana ia adalah tindakan memaksa dan menafikan hak kebebasan berekspresi serta hak menikmati hiburan.
Dalam contoh ini juga, asas yang digunakan untuk menentukan baik atau buruk hanya menggembirakan satu kelompok tanpa mempedulikan hak orang ramai yang lain.
Satu contoh lagi ialah apabila kumpulan etnik menggunakan asas kaum untuk menentukan baik dan buruk. Misalnya, satu kumpulan kaum menganggap bahawa hanya mereka sahaja berhak mendapat keistimewaan ekonomi, pendidikan dan kawangan semata-mata kerana warna kulit mereka. Walaupun setengah abad lalu ia mungkin dianggap satu keperluan, hari ini ia sudah menjadi masalah antara kaum.
Sepatutnya, usaha membantu atau ‘affirmative action’ dilaksanakan mengikut keperluan, iaitu hak ekonomi, pendidikan dan kewangan diberikan kepada mereka yang miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, wilayah, agama atau gender.
Satu lagi contoh ialah ada orang yang percaya bahawa wanita hanya layak duduk di rumah dan tidak perlu bekerja. Ada pula orang yang mahu wanita hanya dibayar separuh gaji walaupun mempunyai jawatan yang sama dengan lelaki kerana menganggap wanita adalah kaum yang lemah dan tidak layak diletakkan sama taraf dengan lelaki.
Walaupun orang berkenaan mungkin menggunakan alasan agama atau adat resam, ia mendedahkan pemikiran diskriminasi dan menindas kerana tidak sepatutnya wujud perbezaan dalam isu gender. Ia adalah hak saksama.
Dengan contoh-contoh itu, tiada satu asas yang universal. Ia berbeza-beza mengikut keperluan kumpulan tertentu. Seeloknya penentu apa yang baik atau buruk dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama perlu bersifat universal.
Di sinilah pentingnya peranan ideologi. Daripada pelbagai jenis ideologi politik, sosial demokrasi merupakan satu jalan keluar ke arah perkongsian idea kerana sifatnya yang progresif tetapi tidak melampau serta berteraskan kepentingan rakyat. Ia mampu menawarkan asas yang adil dan saksama untuk menentukan apa yang baik atau buruk.
Ia berasal daripada sosialisme tetapi tidak radikal. Ia menentang amalan melampau. Ia menolak komunisme yang bersifat kuku besi kerana percaya kepada demokrasi pelbagai parti dan kebebasan; malah ia menerima pasaran asalkan kerajaan melindungi kepentingan rakyat, pekerja dan pengguna.
Ini adalah kerana nilai-nilai utama sosial demokrasi – kebebasan, keadilan dan solidariti – menjamin keadilan sosial untuk masyarakat. Memang ia bukan yang terbaik tetapi ia adalah alternatif yang lebih baik daripada apa yang ada di negara kita sekarang. Ia lebih baik berbanding ketidakadilan yang lahir daripada prejudis dan stereotaip bersifat diskriminasi.
Malah sosial demokrasi tidak membawa kepada amalan taksub ideologi. Jarang ada orang berideologi sosial demokrasi yang menganggap dirinya suci. Ia tidak melahirkan fanatik ideologi yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak faham realiti semasa.
Ideologi bukan ciptaan Tuhan. Ia adalah nilai-nilai asas politik insani dalam kehidupan seharian yang realistik. Ia bertujuan membantu kita meneruskan hidup dalam keadaan bersih tanpa rasuah dan salahguna kuasa. Ia bukan undang-undang untuk menghukum orang atau melarang orang atau mengharamkan itu dan ini.

Husam terima ancaman saman dari Tang Too Siah?

Selepas membuat pendedahan bertalu-talu mengenai wujudnya penyelewengan ala-ala penipuan persis Jho Low dalam skandal 1MBD terhadap kerajaan negeri Kelantan menerusi projek Carbon Credit akhirnya Husam Musa mendapat ancaman saman oleh oknum yang dikaitkan langsung dengan projek berkenaan.

Oknum yang terkait dalam pendedahan Husam itu adalah Tang Too Siag yang menjadi CEO kepada Climate Protector Sdn Bhd syarikat yang diberikan konsensi hutan simpan kekal (HSK) seluas 1 juta ekar yang kini riuh randah diperkatakan bukan sahaja di Kelantan tetapi Malaysia seluruhnya.

Maklumat ini dikhabarkan Husam menerusi satu kenyataan rengkasnya yang dikirimkan kepada blog ini.


Memberi reaksi kepada ancaman oleh oknum berkenaan Husam menyatakan beliau sedikit pun tidak tercabar dengan ugutan saman itu dan sedia menghadapinya demi negeri Kelantan.
"Ugutan saman tuan tidak boleh mengubah tugas dan tanggung jawab saya untuk terus bersuara InsyaAllah," demikian tegas Husam. 
Dalam hubungan sama Husam meminta PDRM membuat siasatan segera terhadap oknum berkenaan ekoran terdapat 11 laporan polis yang dibuat terhadaap oknum tersebut. Husam mahu kepastian dan juga jawaban daripada oknum bernama Tang Too Siah apakah orang sama yang melakukan penipuan di peringkat antarabangsa yang diterimanya sejak beberapa hari lalu. 
Di bawah ini disiarkan sepenuhnya kenyataan ringkas daripada Husam:
Ancaman Saman, Scam BTC Panda dan Siasatan Polis
Awal malam ini, saya membaca kenyataan Encik Tang Too Siah yang bercadang membuat saman malu ke atas saya ekoran kenyataan saya pada 3 Julai 2017.

Saya mengalu-alukan tindakan yang dicadang diambil oleh beliau. Banyak perkara mengenai kepentingan Negeri Kelantan, orang awam dan rakyat yang berbangkit sekarang dapat diselesaikan menerusi proses itu InsyaAllah.

Sementara itu, saya dan pembantu-pembantu saya bertali arus menerima pelbagai aduan, termasuk dari Indonesia dan luar negara yang lain mengenai tuduhan scam melibatkan BTC Panda dan TS Tang.

Seseorang bernama TS Tang telah banyak dikaitkan di dalam aduan itu. Beliau dikatakan terlibat melesapkan wang pelabur melalui skim bit coin anjuran BTC Panda.

Saya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan ini benar atau tidak.

Saya berharap En Tang boleh menjelaskan kepada umum sama ada beliau ada terlibat dengan dakwaan itu atau tidak. Juga sama ada TS Tang yang disebutkan oleh pengadu itu adalah beliau.

Jika TS Tang yang terlibat dengan BTC Panda adalah sama dengan Encik Tang Too Siah dari Climate Protector dan EcoBit, saya kira peringatan saya kepada Kerajaan Kelantan adalah penting dan mustahak.

Sehubungan itu juga, saya berharap pihak polis mempercepatkan siasatan ke atas isu ini, yang telah dilaporkan di pelbagai balai polis di seluruh negara.

Antara lain, senarai laporan polis berkait adalah seperti berikut:

Police reports :
1. SETAPAK/016422/16 , TARIKH 15 OCT 2016
2. SETAPAK/016420/16 , TARIKH 15 OCT 2016
3. SEK 6 / 008748/16
4. Cheras / 022817/16
5. RAWANG/012612/16
6. KAJANG/034742/16
7. Kepong/010759/16
8. USJ 8 / 012911/16
9. PAROI/002875/16
10. Sek 6 /009674/16
11. Pantai/013315/16

Saya memanjangkan tindakan BNM - menganggap Climate Protector sebagai menjalankan aktiviti secara unauthorized and unapproved di bawah undang-undang. Kenapa pula En Tang tidak ingin menyaman BNM?

Diikuti oleh kenyataan semalam, antara lain disiarkan oleh Malaysian Insight berbunyi :
"PROGRAM Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia menafikan terdapat sebarang kerjasama dengan EcoBit, yang menggunakan logo UNDP tanpa kebenaran pihak mereka.

Saman DoJ: Ahli MT Umno mahu bela PM tapi jahil undang-undang



Pemuda Amanah Nasional mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi (gambar) supaya mendapatkan nasihat daripada mana-mana peguam di negara ini sebelum membela Perdana Menteri berhubung isu saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak Aziz memberikan komen yang boleh mengelirukan rakyat.
Abdul Aziz Kaprawi
"Seharusnya, Datuk Aziz mendapatkan nasihat daripada mana-mana peguam di negara ini yang jumlahnya melebihi 12,000 orang bagi mendapatkan nasihat sebelum membela Perdana Menteri yang diakui sebagai MO1 oleh Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"Saya yakin jika beliau mendapat nasihat yang baik, sudah pasti beliau akan menasihatkan 1MDB, Perdana Menteri, isteri MO1 dan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan mencelah dan mencabar segala dakwaan saman tersebut," katanya.
Beliau berkata, nasihat yang baik juga membolehkan sebanyak mungkin keterangan dan saksi disediakan bagi menyangkal keterangan yang bakal dibawa DOJ.
"Secara prinsipalnya, DoJ tidak akan mampu memfailkan saman tersebut yang sarat dengan fakta tanpa memiliki bukti dan keterangan yang sahih dan kredibel," ujarnya.
Terdahulu, Aziz dilapor menganggap saman sivil oleh DoJ sebagai janggal kerana difailkan tanpa mendapat maklumat tepat kerana tidak memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda memberikan keterangan, menunjukkan kejahilan Datuk Aziz berkaitan prosedur undang-undang.
Mengulas lanjut, Faiz menjelaskan pihak yang didakwa harus memfailkan penyata pembelaan seperti mengikut amalan prosedur sivil bagi menjawab segala dakwaan yang terkandung di dalam 251 muka surat saman itu.
"Pihak ketiga yang terkilan (aggrieved) atau mempunyai kepentingan dalam saman tersebut pula seharusnya memfailkan permohonan mencelah (intervener) untuk mempertahankan hak atau menyangkal dakwaan dalam saman tersebut.
"Pihak pencelah pula seterusnya akan memfailkan penyata pembelaan bagi manjawab dakwaan saman tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut peguam itu, hanya setelah prosedur tersebut dipenuhi, satu perbicaraan akan ditetapkan apabila DoJ akan mengemukakan keterangan dan saksi bagi membuktikan segala dakwaan dalam saman tersebut.
"Di sinilah jelas kejahilan Datuk Aziz dan mana-mana individu yang mempertikaikan kesahihan saman tersebut dan nilai keterangan yang dimiliki DoJ.
"Tunggulah hari perbicaraan di mana kesemua keterangan dan saksi akan dipanggil dan memandangkan saman tersebut pun sudah menjangkau 251 mukasurat yang sarat dengan fakta yang begitu jelas dan probabel, sudah pasti lebih daripada dua saksi akan dipanggil memberikan keterangan," ujarnya.